Ancaman “DEWA” Ning Baizura

Setelah sekian lama menyepikan diri, penyanyi serta diva bertaraf antarabangsa, Ning Baizura membuat penampilan semula di arena seni tempatan menerusi album terbaru berjudul “DEWA”. Kelahiran Dewa yang merupakan album ke-12 Ning Baizura, diterbitkan oleh Ning Baizura bersama komposer tersohor tanah air, Audi Mok menerusi gabungan syarikat mereka iaitu Happenings (M) Sdn. Bhd. serta Satu Entertainment dan diedarkan Universal Music Malaysia.

“Dewa” yang mendefinisikan ‘cahaya’ dalam bahasa Sanskrit, menterjemahkan hala tuju baru Ning Baizura sebagai seorang wanita, isteri, ibu dan penghibur. Album ini memuatkan 8 buah lagu berkonsepkan balada, pop, ‘elektro’ dan ‘dance’ termasuk lagu ‘Mama Papa’, ‘Raksasa’ dan ‘Bila’ yang kini kerap diputarkan di corong-corong radio. Perubahan konsep yang dilakukan di dalam album ini adalah demi memenuhi keinginan peminat beliau yang mahu melihat dan merasai frasa perubahan dalam hidup serta mengenali definisi baru kehidupannya. Menurut Ning Baizura ketika sidang media diadakan, penerbitan album ini adalah yang paling peribadi baginya sepanjang 17 tahun pembabitan beliau sebagai anak seni kerana diadun mengikut citarasa beliau sendiri.

Pemilihan Audi Mok sebagai penerbit bersama dan komposer sepenuhnya untuk album ini juga berdasarkan kepada persahabatan, kepercayaan serta kualiti dan hasil kerja komposer itu sendiri. Selain itu, menerusi album ini juga Ning Baizura tidak ketinggalan untuk menulis lirik lagu yang berjudul ‘Propaganda’. Kebolehan Ning Baizura di dalam album ini ternyata ditonjolkan menerusi kepelbagaian teknik vokal dan bukan hanya soprano semata-mata. Sempena kelahiran album “Dewa”, beliau kini sedang merancang untuk mengadakan konsert di KL Live sekitar bulan Disember 2011.

Majlis pelancaran album yang diadakan di Zouk Club, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, dianjurkan oleh Universal Music Malaysia dengan sokongan stesen radio terkenal, ERA.FM yang juga bertindak sebagai radio rasmi. Pelbagai gimik dilakukan sepanjang majlis pelancaran tersebut. Saksikan sisipan khas dari kami Majalah Chanteq untuk tatapan pembaca.

Check Also

TIPS: Lokasi Bulan Madu Dan Romantik Di Korea

Mungkin ramai sudah tahu, Pulau Jeju dan Pulau Nami merupakan destinasi menarik untuk di kunjugi …