Bumiputra Rockers Buktikan Mereka Tetap Unggul

Selepas ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1985 kumpulan Bumiputra Rockers atau lebih sinonim dengan BPR akhirnya merayakan ulangtahun penubuhan 30 tahun mereka di Hard Rock Café Melaka pada 28 Oktober yang lalu.  BPR yang terdiri daripada Joey sebagai penyanyi, Awang pemain gitar juga merupakan seorang komposer lagu dan penerbit album. Mali sebagai keyboard atau gitar II, Yem Bai sebagai bass dan Enal sebagai drummer berjaya membuktikan bahawa mereka masih punya peminat apabila lebih 700 penonton membanjiri Hard Rock Café Melaka.

Seawal jam 3.00 petang lagi peminat sudah mula membanjiri lokasi persembahan yang turut diserikan dengan pelbagai aktiviti yang di anjurkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia.  Antara aktiviti yang di anjurkan adalah seperti Kempen Pencegahan Jenayah, Pameran Dadah, Persembahan Kawad Kaki dan lain-lain lagi.

Bumiputra Rockers tampil di atas pentas sekitar jam 4.30 petang dengan mempersembahan lagu pertama yang berjudul Barah Berbisa.  Lagu yang dipetik daripada album “Bisa” ini ternyata memikat ratusan rockers untuk memenuhi ruang di hadapan pentas.

“Terima kasih kerana sudi hadir ke persembahan berbayar kami, kami sungguh terharu dan menghargai sokongan anda semua yang tidak jemu-jemu mendengar lagu-lagu kami”, ujar Joey selaku vokalis utama.

BPR kemudiannya tampil dengan lagu kedua, 1511 yang di beri nafas yang lebih segar dengan susunan muzik yang lebih padat bersesuaian dengan citarasa pendengar masakini.  Setelah melangkau masa BPR kemudiannya membawa peminat melatari melodi serta lirik yang berkisar tentang ketuhanan melalui lagu Maghrib.

Peminat seakan tersentak apabila lagu Aku Hanya Serangga dipersembahkan.  Lagu yang dipetik daripada album “Bisa” ini turut membawa ratusan peminat melontarkan vokal mereka sekaligus merubah lokasi persembahan menjadi bingit seketika.  Rata-rata peminat yang hadir pada hari itu  sudah berkeluarga membuktikan bahawa mereka adalah peminat setia BPR sekaligus adalah pencinta muzik rock sejati.

Persembahan kemudiannya di hentikan seketika bagi memberi ruang kepada acara cabutan bertuah yang turut di senaraikan bagi menyambut ulangtahun BPR ke 30 tahun.  BPR kemudiannya menyampaikan lagu yang berjudul Sudah Sampai di Sini yang dipetik dari album “Kelab Jiwa Luka”.  Mereka mendendangkannya  dalam versi akustik

“Saya merasa bersyukur kerana muzik rock kini telah diterima umum walaupun satu ketika dahulu masyarakat mengecam peminat mahupun pemuzik yang minat muzik rock.  Asal mereka tengok rockers jer mulalah di kaitkan dengan elemen negatif”, ujar Joey menceritakan pengalaman beliau kepada hadirin.

Lagu Sillaturrahim kemudiannya diperdengarkan kepada hadirin. Turut kelihatan beberapa rakan artis yang hadir memberi sokongan kepada showcase 30 tahun BPR di HRC Melaka adalah Datuk Ramli Sarip, Bagio Damasutra dan Din FOR.

“Selama 30 tahun kewujudan BPR Datuk Ramli Sarip adalah individu yang bertanggungjawab membawa BPR ke persada seni hiburan tanahair. Malah nama BPR diilhamkan oleh beliau,” ujar Joey lagi.

BPR kemudiannya telah berkolaborasi dengan Datuk Ramli Sarip melalui lagu Kamalia. Pentas kemudiannya diserahkan kembali kepada BPR, lantas mengalunkan lagu Harum Subur Dihati dan Bersyukurlah yang dipetik daripada album “Selamat Pagi Malaysia”.

Setelah berehat selama 20 minit BPR kembali beraksi di atas pentas dengan mempersembahkan lagu Selamat Pagi Malaysia, lagu dipetik daripada album pertama yang telah diriliskan pada tahun 1987. Tanpa lagu Dari Sinar Mata mungkin showcase BPR tidak akan berseri, sekali lagi seluruh lokasi persembahan bergema dengan lontaran vokal peminat yang turut sama bernyanyi. Sebuah lagu yang berentak fast, Pudar Seri Primadona kembali mengembalikan energi peminat.  BPR sekali lagi mangajak peminat bernyanyi bersama melalui lagu Air Mata Jernih, Dajal dan Pontianak Gua Musang.

Demi meredakan situasi yang agak tegang dengan lagu lagu yang berentak laju, mereka kemudiannya mendendangkan lagu Seribu Tahun Takkan Mungkin.  Sekali lagi atmosfera di Hard Rock Café Melaka bergema dengan lontaran vokal di kalangan peminat.  Sebuah lagu saduran daripada kumpulan Deep Purple yang berjudul Smoke On The Water turut dipersembahkan oleh kumpulan Bumiputra Rockers.

Lagu Yakjud dan Makjud menjadi penutup showcase 30 tahun ulangtahun penubuhan kumpulan Bumiputra Rockers yang di lihat masih mampu mengundang peminat untuk hadir ke konsert-konsert berbayar.

*Kredit photo Azlan Yaacob

Check Also

The Rock Emperor Penang Chapter Sukses Hiburkan 8,000 Penonton, Wings Bakal Bawa Konsert Ke Pantai Timur

Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang menjadi saksi 8,000 peminat rock pulang dengan senyuman selepas …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *