Dato Rohani Karim Gesa Dan Saran Rumah PPR Dibina Ciri Keselamatan Dan Diselenggara

RK3PETALING JAYA, 29 Januari: Rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) perlu sentiasa dipantau serta diselenggara bagi memastikan ia sentiasa selamat untuk penghuni terutama kanak-kanak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata, selain itu rumah PPR ini juga perlu dibina dengan ciri keselamatan bagi memastikan ia selamat dan mesra kanak-kanak.

“Ini adalah penting berikutan beberapa kejadian kanak-kanak maut akibat terjatuh dari kediaman mereka di kawasan PPR,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menziarahi keluarga Muhammad Zul Hazriq Danish Aiden, 5, yang meninggal dunia selepas terjatuh melalui jurang di antara pagar besi yang sudah rosak ketika sedang bermain bersama abangnya di koridor tingkat enam, Blok B, PPR Seksyen 8, Kota Damansara di sini, semalam.

Rohani berharap Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat mengkaji semula reka bentuk rumah PPR serta sentiasa memantau penyelenggaraan rumah-rumah tersebut bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Beliau berkata, perkara ini perlu dipandang serius memandangkan kejadian seumpama itu bukanlah kali pertama berlaku di kawasan itu seperti dimaklumkan oleh penduduk di kawasan itu, iaitu pada tahun lepas seorang kanak-kanak berusia empat tahun dari Blok D turut maut selepas terjatuh dari tingkat 14.

Rohani juga berharap orang ramai tidak cepat menuding jari dengan menyalahkan ibu bapa atas kemalangan itu kerana ia terjadi bukan berpunca daripada kecuaian sebaliknya atas faktor keselamatan di bangunan kediaman tersebut.

“Orang ramai jangan cepat nak salahkan ibu bapa kerana kemalangan ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Walaupun kita dah cuba sedaya upaya menjaga anak-anak, kalau keadaan kawasan kediaman kita rosak sana-sini ia mungkin boleh terjadi kepada anda juga,” katanya.

Rohani juga berkata kementeriannya akan menawarkan khidmat kauseling kepada keluarga berkenaan bagi memulihkan semangat ibu kanak-kanak itu Nor Sahura Sahara, 35, serta empat lagi anaknya, Nur Diana Aiden, 15, Muhammad Zul Hisham Aiden, 12, Nur Aldira Aiden, 10 dan Muhammad Zul Haiqal Daniel,7, yang kehilangan anak dan adik bongsu mereka.

Hadir sama menziarahi Nor Sahura ialah Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Datuk Norani Mohd Hashim yang turut menyampaikan bantuan RM400 sebulan kepada keluarga itu.

Sumber: Bernama

Check Also

Wahdinii Dan Hotel Thistle Johor Bahru Jalin Kerjasama, Dikuasakan Oleh Impact Music Entertainment

Wahdinii, pemilik dan pengasas dari Singapura, Puan Faridah, yang suaminya meninggal dunia tahun lalu, bergabung …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *