Enam Kumpulan Ke Lantai Cilik 2 Akhir

BDG_4857

Sebanyak enam kumpulan sudah mengesahkan tiket ke peringkat akhir malam kemuncak Lantai Cilik musim kedua. Pertandingan yang diperkasakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ini kembali berdasarkan sambutan memberangsangkan sejak musim pertama diwujudkan.

Kemuncak Lantai Cilik musim pertama saja mencatatkan rating lebih 1 juta penonton dan menyaksikan Kiawayan Dance Club (KDC) dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kiawayan, Tambunan, Sabah, muncul juara, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 serta hadiah sampingan. Malah Kumpulan tersebut telah dibawa mewakili Malaysia di Minggu Malaysia London, United Kingdom untuk persembahan kesenian anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sebagai insentif kemenangan mereka.

agnes likas

Bagaimana dengan kemuncak Lantai Cilik musim kedua yang bakal berlangsung 8 Mac depan di Auditorium Perdana Angkasapuri dan dipancarkan secara langsung di TV2? Ia bakal dihoskan Fimie Don dan Seri Nabilla serta menampilkan adik Nik Nur Amalin sebagai juri culik.

Enam kumpulan yang berentap ialah Tunas Tari Warisan, Sekolah Kebangsaan Tangga Batu (Melaka), Sekolah Kebangsaan St Agnes (Kota Kinabalu Sabah), De Art Convent Sekolah Kebangsaan St Francis Convent (Sabah), Sekolah Kebangsaan Sri Amar Kota Tinggi (Johor), Sekolah Kebangsaan Pulau Meranti Puchong (Selangor) dan Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong (Selangor).

sri amar

Hadiah berjumlah keseluruhan sebanyak RM 112,500 bakal dimenangi pada malam itu. Johan saja bakal membawa pulang wang tunai RM50,000,  Naib Johan bakal memperoleh wang tunai RM30,000 manakala tempat ketiga pula wang tunai sebanyak RM15,000. Hadiah turut diiringi sijil dan trofi.

Tiga lagi kumpulan tidak pulang dengan tangan kosong sebaliknya menerima hadiah saguhati bernilai RM2,500 berserta trofi dan sijil. Istimewanya penonton yang menyertai kuiz dianjurkan dan menjadi pemenang soalan terkumpul juga bakal merebut motosikal Modenas yang ditawar sebanyak tiga buah.

Pulau menanti

Sidang media mengumumkan finalis diadakan 22 Februari lalu di Lighthouse Cafe, Sunway Lagoon Resort. Ia dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Mohd Ismail, Ketua Pengarah  Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli dan Tuan Haji Mohd Anuar Abdul Hamid (Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia).

“RTM gembira dengan kerjasama erat bersama JKKN serta Kementerian Pendidikan Malaysia ini dan mengharapkan kemuncak Lantai Cilik kali ini akan gegak gempita dengan kehadiran penonton di Amphitheatre Sunway Lagoon serta Malam Kemuncak di Auditorium Perdana Angkasapuri dan di rumah. Kerjasama tahun lalu menerusi penganjuran yang sama cukup membanggakan RTM dan JKKN,” kata Norhyati.

SK Bukit Jelutong

Sementara itu, Norliza pula beranggapan  pengalaman JKKN dalam bidang tarian kanak-kanak hasil kerjasama dengan RTM dan Kementerian Pendidikan yang menyokong penuh usaha JKKN untuk terus melatih Kumpulan Tunas Budaya selaku katalis dalam menyediakan generasi akan datang yang celik seni dan budaya terus dipertingkatkan.

“Kami  terus komited untuk membimbing dan menggalakkan generasi muda Malaysia untuk mencintai seni dan budaya. Penggalakkan program berteraskan Pembangunan Modal Insan /Kelab Asuhan Seni seperti Kelab Asuhan Seni, Kelab Tunas Budaya (KTB), Kelab Giat Budaya (KGB), Bimbingan Seni Budaya Rakyat (BSBR), Kelab Siswa Budaya (KSB), Sekolah Seni dan Jurulatih Seni Budaya Negara terus  dipertingkatkan.

tangga batu melaka

“Begitu juga dengan program PERMATA Seni Koir dan PERMATA Seni Tari yang merupakan program di bawah naungan Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor melalui PERMATA Seni serta diselaraskan urusannya oleh JKKN bagi membimbing kanak-kanak yang berbakat cemerlang dalam bidang seni tari dan koir di bawah lingkungan umur 7 hingga 12 tahun.

“Jadi usaha ini tak akan pernah putus. Kerjasama strategik JKKN dengan RTM serta sokongan penuh Kementerian Pendidikan Malaysia menguatkan lagi apa yang mahu diperjuangkan. Buat enam kumpulan Lantai Cilik musim kedua selamat maju jaya dan buat yang terbaik pada malam kemuncak nanti,” katanya.

convent sabah

Lantai Cilik 2 (LC2)  menjadi manifesto berterusan dalam mencari bakat luar biasa menerusi cabang tarian tradisional dan kontemporari. Kerjasama strategik dan berterusan antara RTM dan JKKN serta dengan sokongan penuh Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi pertandingan tarian itu membuktikan kesungguhan ejen kerajaan itu memartabatkan kreativiti bakat muda di negara ini.

Program ini bukan sekadar mencari sang juara sebaliknya dalam perjalanan ke arah itu ia turut menonjolkan beberapa nilai positif dalam usaha mengembangkan kebolehan bakat muda terutama dalam tarian. Di samping itu ia dapat meningkatkan keyakinan diri, kerja pasukan serta daya saing yang boleh dicontohi generasi muda.

Jangan lupa kemuncak Lantai Cilik musim kedua bersiaran  di Auditorium Perdana Angkasapuri dan boleh ditonton secara langsung di TV2 mulai jam 9 malam pada 8 Mac ini.

Check Also

The Rock Emperor Penang Chapter Sukses Hiburkan 8,000 Penonton, Wings Bakal Bawa Konsert Ke Pantai Timur

Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang menjadi saksi 8,000 peminat rock pulang dengan senyuman selepas …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *