Tuesday , March 19 2024

FTG dan Necrotic Chaos Bakal Gegar Hard Rock Cafe Melaka

Selepas kejayaan showcase eksklusif Sil Khannaz dan Brain Dead pada 14 November lalu, persada muzik underground tempatan terus mendapat tempat yang cukup istimewa di hati peminat tegar muzik ekstrim. Berita kejayaan kedua-dua kumpulan yang berjaya meletakkan diri mereka sebagai ikon Hard Rock Cafe Melaka terus di canang hingga kini.

Berlanjutan daripada evolusi yang telah ditempa, pentas Hard Rock Cafe Melaka sekali lagi akan menjadi medan tempur muzik ekstrim tempatan. FTG dan Necrotic Chaos bakal meledakkan nuansa thrash dan brutal death metal di pentas yang cukup berprestij itu.

Di bawah program “Live Music”, Hard Rock Cafe Melaka mempertaruhkan 2 jentera yang cukup dikenali di kalangan pemuzik serta pencinta muzik underground tempatan. Kewibawaan, kredibiliti, karisma serta energi dalam muzik genre yang di naungi sudah tidak perlu dipertikaikan lagi.

FTG adalah akronim kepada Freedom Thats Gone yang membawa irama thrash sudah tidak perlu di perkenalkan. Mereka umpama peledak kepada industri muzik berat tempatan kerana berjaya membolosi persada muzik mainstream setelah muncul dengan EP yang berjudul “Freedom Thats Gone” pada tahun 1991 di bawah label Karun Seni. Pada tahun yang sama FTG telah mempertaruhkan 2 buah lagu, Behind This Wall dan Kill Exxl dalam rancangan Muzik-Muzik.

FTG_zpsjhua3yxr

Seterusnya mereka tampil dengan album sulung, After The Promise yang telah diriliskan pada tahun 1992 di bawah label Valentine Sound Production. Sehingga kini FTG mempunyai 10 buah album studio antaranya ialah Spirit To Rebel (1994),To The Front (1996), Aku Tak Peduli (1998),Made In Malaysia (1999), FTG (2000), Made In Malaysia Vol.2 (2001), Reborn (2002),Stop This Madness (2004) dan Kuasa (2006).

Kejayaan demi kejayaan mereka telah lakarkan, kini setelah lebih 25 tahun berada di dalam industri muzik Malaysia FTG telah diberi penghormatan untuk beraksi di Hard Rock Cafe Melaka. Persembahan eksklusif ini hanya akan memperdengarkan rangkaian lagu-lagu daripada EP “Freedom Thats Gone” dan album pertama “After The Promise”. Pastinya penyatuan semula line-up asal FTG iaitu Tajul, Jac, Nizam dan Mie bakal memberi impak yang besar buat peminat pada hari persembahan itu nanti.

Jenama Necrotic Chaos seakan sudah sebati buat penggemar nuansa muzik keras tempatan, apatah lagi band kelahiran Ipoh, Perak ini sememangnya sentiasa menjadi igauan buat penggemar setianya. Irama dan adunan lirik yang dihasilkan sentiasa menjadi perhatian peminat samada di Malaysia mahupun di negara luar.

Kewujudannya sekitar tahun 1992 seolah-olah memberi impak kepada legasi Ipoh Metal Militan. Selepas hadir dengan album studio “Regime Grotesque”, nama Necrotic Chaos sentiasa meniti dari bibir ke bibir peminat yang dahagakan sebuah album yang cukup segala rencah ekstrim metalnya, malah album keluaran Ultra Hingax Production ini mendapat ulasan positif di majalah-majalah muzik tempatan dan luar negara.

Selepas itu mereka muncul dengan EP “Black As Insect” pada tahun 2005. Di bawah bendera Necrotic Chaos yang ditunjanggi oleh penggempur-penggempur hebat seperti Dark-E, Sam Batara, Adek dan Wira sudah pasti bakal mewarnai pentas bersama-sama dengan FTG.

Dua jentera, FTG dan Necrotic Chaos bakal di satukan di Hard Rock Cafe Melaka pada 27 Februari ini. Dengan tiket serendah RM40.00 anda bakal disajikan dengan santapan muzik yang sentiasa malar segar seraya mengembalikan nostalgia sewaktu anda membesar dengan muzik-muzik mereka. Showcase eksklusif ini akan bermula sekitar jam 4 petang dan berakhir pada jam 6 petang.

Pastikan janji temu anda bersama mereka, sebarang pertanyaan mahupun urusan pembelian tiket boleh layari   www.hardrock.com/melaka  atau datang sendiri ke Hard Rock Café Melaka.  Untuk maklumat lanjut bolehlah menghubungi enquiries@hardrockcafe-melaka.com atau hubungi talian +606 2925188

Check Also

ROMANIA WINS BIG AT 11TH INTERNATIONAL VOICE OPEN COMPETITON WORLD FINALS IN MALAYSIA!

Romania emerged the big winner at the 11th International Vocal Open Competition when 3 of …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *