Hantu Bonceng

Dari Pengarah Adnan Sempit dan Impak Maksima, Ahmad Idham Ahmad Nadzril tampil menerusi karya aksi komedi Hantu Bonceng yang bakal menemui penonton di pawagam sempena sambutan Aidilfitri 2011 di seluruh tanah air meliputi Brunei dan Singapura. Filem terbitan Excellent Pictures yang kelima ini merupakan arahan Ahmad Idham yang ke-23. Filem ini juga menjalin kerjasama antara Excellent Pictures dan Global Station Sendirian Berhad.

Menampilkan gandingan Zizan Razak bersama dua pelakon wanita popular tanah air iaitu Juliana Evans dan Jue Aziz. Antara pelakon lain yang turut terlibat dalam filem ini adalah Sallehuddin Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Tai, Nursyuhaida @ Dottie, Cat Farish, Zizie The Fabulous Cat dan Zahid AF serta Yus Raja Lawak. Sempena tayangan Hantu Bonceng pada sambutan Aidilfitri kali ini, pihak Excellent Pictures telah memuat naik dua babak penuh dari filem ini buat tatapan peminat sebagai tanda terima kasih di laman sesawang www.excellentpictures.com.my.

Filem ini mengisahkan kehidupan seorang penghantar piza, Amran (Zizan), yang terlibat dengan kegiatan lumba haram. Suatu hari Amran telah berhadapan dengan peristiwa seram apabila Maya (Juliana Evans), bohsia yang didapatinya setelah memenangi perlumbaan itu, terbunuh di dalam kemalangan yang melibatkan dirinya juga. Semenjak itu, Amran sering dihantui oleh roh Maya yang ingin mayatnya disempurnakan. Amran juga meminta pertolongan rakan karibnya, Kunyit (Tai) dengan berjumpa seorang ustaz yang dapat membantu mereka. Kemunculan Ayu menyebabkan hubungan Amran dan kekasihnya Halimaton (Jue Aziz) sedikit tergugat.


Keseluruhan perjalanan filem ini begitu santai sesuai untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat sempena Aidilfitri ini. Dialog-dialog yang ditonjolkan begitu ‘catchy’ dan mempunyai mesej yang tersendiri. Penonton pasti akan ketawa terbahak-bahak melihat aksi-aksi komedi yang dipaparkan. Lakonan Zizan sebagai teraju utama harus dipuji kerana watak komedi yang begitu serasi dengan dirinya.

Dapatkah Amran menyelesaikan masalah diganggu roh Maya? Siapakah Ayu sebenarnya? Adakah roh Maya akan berhenti mengganggu Amran? Saksikan di pawagam berhampiran anda Aidilfitri ini.

Check Also

ATARASHII GAKKO! Umum Konsert Jelajah UK/EU Dan Asia Part I

ATARASHII GAKKO!, kumpulan vokal dan tarian berpusat di Jepun, akan menggegarkan dunia dengan pengumuman lawatan …