Lara Hati Salina Saibi Dalam Slot Galeri Famili Bertajuk “Hadiah” Di TV2

lara

Kemunculan pelakon Salina Saibi seringkali dikaitkan dengan watak polis yang dibintanginya dalam drama kepolisian Gerak Khas. Selebihnya pelakon wanita ini diberikan watak pembantu jahat atau penggoda yang berjaya dibawakannya dalam skrin TV dengan berkesan.

Namun dalam drama bersiri bertajuk “Hadiah” disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 12 Februari depan, Salina memegang watak utama drama kekeluargaan yang berkongsi  kisah ketabahan wanita bernama Alia yang menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal di usia yang masih muda dan pada masa sama memiliki anak menghidap penyakit buah pinggang.  

13 episod drama bersiri mengisi slot Galeri Famili yang disiarkan setiap Isnin hingga Rabu, pukul 2.30 petang menerusi saluran TV2 ini menyaksikan Salina Saibi bergandingan dengan Nazim Othman selain turut dibantu oleh Aida Khalida, Zack Kool dan Faizal Hussein.

Perjalanan ceritanya mengisahkan cabaran dan keperitan hidup dialami watak Alia, lakonan Salina Saibi, ibu tunggal anak satu, sering menghadapi ‘masa getir’ kehidupan dalam mengurus anaknya yang berpenyakit. Suaminya telah meninggal dunia kerana sakit buah pinggang dan kini anaknya, Nur pula mengidap penyakit sama. Alia menganggap Nur adalah ‘hadiah’ Allah kepadanya.

Alia bekerja dengan Datuk Derani sebagai Setiausaha Peribadi yang semakin erat dengan majikannya itu. Ini menimbulkan perasan cemburu Datin Mariam isteri Datuk Derani, hinggakan Datin Mariam menyiasat latar belakang Alia.

Sementara itu Ramli, seorang ahli perniagaan yang tidak mempunyai teman wanita yang diketemukan dengan Alia oleh Lucia, salah seorang rakannya melalui ‘blind-date’.

Perkara itu dihidu Budin, ayah Alia, seorang ‘penipu’ dan nampak peluang perhubungan Alia-Ramli dengan menggunakan Alia sebagai umpan. Budin mahu menghancurkan empayar Datuk Derani kerana Datin Mariam adalah kekasih lamanya. Datin Mariam memilih Datuk Derani kerana harta. Budin mula membuat strategi untuk menjatuhkan mereka dan siapa sahaja yang menghalang niatnya akan turut dibinasakannya. Tindakan Budin disokong oleh kuncu-kuncunya.

Budin dapat meyakinkan Ramli membeli satu hartanah. Ramli meminta bantuan ayahnya kerana kekurangan modal. Dengan itu, Budin sudah sedia untuk menipu Ramli. Pada masa yang sama Lina, seorang pemilik salun kecantikan, merasakan ada ‘peluang besar’ baginya setelah dipilih oleh Datin Mariam sebagai calon isteri Ramli.

Datuk Derani melamar Alia untuk menjadi isteri keduanya. Ramli juga melamar Alia walaupun caranya berbeza. Alia menolak lamaran Datuk Derani. Alia meragui Ramli akan berbahagia dengan keluarganya nanti kerana dia mempunyai anak yang berpenyakit. Ramli melafazkan janjinya untuk mengharungi dugaan hidup bersama-sama Alia. Akhirnya, Alia menerima lamaran Ramli. Datin Mariam terus membenci Alia walaupun Ramli membawa berjumpanya.

Budin terkejut dan cuba menahan niat Alia untuk mengahwini Ramli itu kerana dia akan memusnahkan seluruh perniagaan keluarga Datuk Derani termasuk Ramli. Dia tidak mahu Alia terkena tempiasnya nanti.

Datuk Derani pula kesal dan kecewa kerana Alia memilih Ramli. Beliau sanggup membayar segala kerugian yang dihadapi supaya Alia meninggalkan Ramli. Di samping itu, Datin Mariam sentiasa cuba menghalang niat Ramli untuk mengahwini Alia. Malah Datin Mariam sendiri meminta Alia supaya melupakan Ramli.

Ramli merayu kepada Alia supaya menerimanya. Tetapi Alia tetap menolak dengan alasan Lina lebih layak daripadanya. Ramli mengulangi janjinya kepada Alia. Akhirnya, mereka berkahwin. Alia berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada suami dan anaknya. Untuk mengeratkan hubungan keluarga, Ramli berusaha untuk membuatkan Nur menerimanya sebagai ayah.

Nur sering sakit dan memerlukan pemindahan buah pinggang selain rawatan hemodilysis yang dijalani sekarang. Ramli meminta agar Alia menguatkan semangat dan banyak bersabar supaya dapat mengharungi dugaan Allah ini. Pada masa yang sama, Alia meminta agar Ramli meminta maaf daripada kedua ibubapanya. Tetapi Ramli enggan berbuat demikian.

Perniagaan Ramli menghadapi kebuntuan kerana Datuk Derani tidak mahu melabur. Lina pula sering meracuni fikiran Ramli dengan mengatakan bahawa perkahwinan Ramli dengan Alia adalah satu kesilapan. Lina sanggup menerima Ramli dengan syarat Ramli meninggalkan Alia dan dengan itu masalah kewangan Ramli selesai.

Alia mahu meng‘hadiah’kan Nur buah pinggangnya. Semasa Alia menjalani pemeriksaan kesihatan untuk pemindahan buah pinggang, dia didapati telah mengandung. Dengan itu, dia tidak boleh menjalani pemindahan buah pinggang itu. Kelewatan ini nanti akan memburukkan lagi tahap kesihatan Nur. Ramli sanggup meng‘hadiah’kan Nur buah pinggangnya.

Lalu apakah yang terjadi seterusnya? Bagaimanakah Alia cuba bertahan bila suami yang disayanginya tiba-tiba koma? Saksikan kesudahan drama 13 episod ini hanya di TV2.

Check Also

The Rock Emperor Penang Chapter Sukses Hiburkan 8,000 Penonton, Wings Bakal Bawa Konsert Ke Pantai Timur

Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang menjadi saksi 8,000 peminat rock pulang dengan senyuman selepas …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *