Lebih 2000 Peminat Setia Wings Banjiri MITC Melaka

Tepat jam 9.30 malam, kumpulan yang dianggotai empat figura yang tidak perlu diperkenalkan kepada umum, Sham, Eddie, Black dan Awie muncul dengan lagu pembukaan Inspirasi Taming Sari yang cukup sinonim dengan semangat kepahlawanan melayu Melaka sekaligus menamatkan penantian lebih 2000 peminat yang membanjiri perkarangan MITC Melaka seawal pukul 5 petang.

Tanpa memberi ruang kepada peminat untuk berehat, wings terus memaku hadirin dengan rangkaian lagu-lagu yang cukup energatik seperti Jerangkung Dalam Almari dan Hukum Karma.  Kelibat Sham di atas pentas sedikit sebanyak menimbulkan persoalan kepada peminat yang baru mengenali Wings, namun kredibiliti gitaris asal yang turut merakamkan album “Belenggu Irama” tidak harus dipertikaikan.  Beliau tetap aktif bermain muzik bersama kumpulan Skyhigh namun kini beliau kembali ke pangkuan Wings setelah ketiadaaan Joe.

“Terima kasih kepada anda semua yang masih setia memberikan sokongan kepada Wings yang menganjak usia 32 tahun di persada muzik tanahair dan ini kali kedua kami beraksi di MITC, Melaka selepas kali pertama kami menjejakkan kaki ke sini dalam Konsert Menakluk Kosmos dahulu”, ujar Awie selaku vokalis utama kumpulan Wings.

Wings kemudiannya mendendangkan 2 buah lagu yang di petik daripada album “Menakluk Kosmos” yang berjudul Komplikasi Pramaya dan Penanti.  Aksi bersahaja Edrie Hashim ketika melakukan moshing sambil memetik gitar terus mendapat perhatian daripada hadirin dan juga lensa jurukamera yang hadir.  Eddie juga tidak kurang hebat dengan pekikan bassnya yang cukup auranya.

Selepas hadir dengan lagu Opera Hidup dan Bujang Senang, Datuk M.Nasir tampil di atas pentas berkolaborasi bersama Wings melalui lagu Rantai.  Figura yang bertanggungjawab membawa dan memperkenalkan Wings dalam kancah industri rock tempatan.  Beliau juga menyumbangkan karya hebatnya kepada kumpulan Wings.

Tanpa noktah Datuk M.Nasir melontarkan vokalnya melalui lagu Midnight Blues sementara Awie bertindak sebagai gitaris.  Melodi lagu ini telah di olah untuk mendapatkan mood yang lebih sesuai dengan kemampuan M.Nasir.

M.Nasir kemudiannya membawa hadirin mengembara bersama 2 buah lagu hits beliau iaitu Hati Emas dan Gerhana sebelum kembali menyerahkan pentas kepada Wings.  Kolaborasi hebat di antara Wings dan M.Nasir tidak perlu dipertikaikan lagi apatah lagi di selangi limpahan cahaya lampu backline yang sentiasa menghidupkan suasana pentas.

“Wings merasa cukup berbesar hati kerana setelah lebih 30 tahun berada dalam industri, buat pertama kalinya kami dapat berkolaborasi dengan sifu iaitu Datuk M.Nasir yang banyak membantu kami”

“Beliau banyak membantu karier kami sebagai artis rakaman apatah lagi karya beliau seperti Intanku Kesepian, Peronda Jaket Biru, Sejati dan sebagainya berjaya melonjakkan nama Wings”, tambah Awie lagi.

Lagu Ingatkan Dia terus berkumandang diselangi sambutan vokal daripada peminat yang turut sama bernyanyi sedikit sebanyak memecahkan kedinginan yang mula menyelubungi lokasi persembahan. Lipas Kudung dan pastinya Sejati tidak akan ada ruang untuk hadirin berlalu meninggalkan pentas.  Dentuman dan hentakan padu daripada Black terus memaku peminat biarpaun kadangkala kelihatan Sham beberapa kali menukar gitarnya yang mengalami sedikit masalah namun ianya tidak menganggu persembahan Wings.  Begitu juga dengan masalah sistem bunyi yang mengalami gangguan ketika lagu sejati di persembahkan.  Paduan serta kejasama jitu di kalangan pasukan teknikal memberi impak yang besar kepada sesebuah persembahan.

Wings melabuhkan tirai persembahan dengan lagu Peronda Jaket Biru yang cukup rempah ratusnya.  Kudin Headwind pula bertindak selaku kibordis yang mewanai lagi dunia muzik Wings di MITC Melaka yang berlangsung selama lebih 2 jam.

Peminat terlebih dahulu dihiburkan oleh duo pelawak tempatan Apek dan Yassin sebelum pentas di serahkan sepenuhnya kepada kumpulan Wings.

Konsert Wings di MITC Melaka pada 9 September lalu adalah bersempena dengan Fiesta Getthiss di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka.  Memang benar dan sekaligus menjadi saksi penting bahawa siulan Wings yang berdendang, bertebaran dan berkelana ke segenap sanubari pengikutnya sejak tiga dekad lalu, masih berbisa.

 

Check Also

The Rock Emperor Penang Chapter Sukses Hiburkan 8,000 Penonton, Wings Bakal Bawa Konsert Ke Pantai Timur

Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang menjadi saksi 8,000 peminat rock pulang dengan senyuman selepas …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *