McDonald’s perkenal Burger Nasi Lemak

McDonald’s Malaysia memperkenalkan Burger Nasi Lemak bagi meraikan kegemaran rakyat Malaysia terhadap hidangan tradisional ini sejak sekian lama.

Boleh didapati dalam tempoh masa terhad dari 26 April, Burger Nasi Lemak Burger pastinya mampu membangkitkan citarasa anda – dengan kepingan ayam enak yang dimasak menggunakan santan, disalut dengan emping jagung yang rangup, dan ditambah dengan sos sambal istimewa, telur goreng, bawang tumis serta kepingan timun segar yang dihidangkan bersama ban cili.

Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai, berkata, McDonald’s berbangga kerana dapat menawarkan hidangan-hidangan yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

Burger Nasi Lemak McDonald’s merupakan satu lagi menu hasil inspirasi dari hidangan tempatan yang digemari ramai. Antara menu kegemaran ramai lain termasuklah Bubur Ayam, Cakoi dan juga Ayam Goreng McD yang sangat popular. Selain itu, McDonald’s Malaysia turut menyediakan menu pencuci mulut citarasa tempatan seperti D24 Durian McFlurry, MILO McFlurry, Banana Pie, Pulut Hitam Pie, Red Bean Pie, Taro Pie dan aiskrim kon perisa Cendol.

“Burger Nasi Lemak McDonald’s diinspirasikan daripada rasa enak nasi lemak tempatan yang dijual oleh para pengusaha tempatan. Kami berbangga kerana dapat memberi penghormatan atas sumbangan mereka yang menghidupkan legasi nasi lemak sehingga hari ini.

“Bagi memberi penghormatan kepada para penjual nasi lemak di seluruh negara dan meraikan kegemaran rakyat Malaysia terhadap hidangan popular ini, McDonald’s menjemput enam pengusaha nasi lemak untuk turut serta dalam majlis pelancaran hari ini,” kata Melati.

Mereka ialah:

  1. Nasi Lemak BK 4, Bandar Kinrara, Kuala Lumpur
  2. Nasi Lemak Angah, Sentul, Kuala Lumpur
  3. Warung Sinarnor, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur
  4. Warung Rindu Pak Ya, Pantai Dalam, Kuala Lumpur
  5. Nasi Lemak Mok Teh, Wangsa Maju, Kuala Lumpur
  6. Barba Bros, Bandar Utama, Petaling Jaya

McDonald’s akan terus menambah baik tawaran menunya dengan pelbagai pilihan hidangan untuk memenuhi citarasa para pelanggan. “Kami ingin berada lebih dekat di hati pelanggan dengan menawarkan menu yang mampu memenuhi citarasa ramai – pelbagai pilihan yang mudah, dan harga yang berpatutan.

“Untuk memastikan matlamat ini tercapai, kami perlu sentiasa melakukan inovasi terhadap menu kami, termasuklah kemampuan untuk sentiasa peka dan mengambil tindak balas efektif terhadap kemahuan pelanggan yang berubah-ubah,” tambah beliau.

“Seiring dengan janji kami untuk menyediakan hidangan yang enak untuk semua, McDonald’s Malaysia akan terus memberi fokus untuk menawarkan hidangan yang segar, berkualiti tinggi dan bernilai   bagi membolehkan rakyat Malaysia menikmatinya pada bila-bila masa,” kata Melati.

Burger Nasi Lemak McDonald’s boleh didapati dengan harga RM14.95 untuk ala carte dan RM16.95 untuk set regular, termasuk kentang goreng dan 100PLUS.

Check Also

Kempen Mari Beli Lokal – Ramadan Raya 2024 Kembali Lagi

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan RM2.5 juta hasil jualan usahawan tempatan melalui Kempen …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *