Program “INILAH…” Keudara Di TV1 Setiap Selasa, 9 Malam, Mulai 4 Oktober 2011

ZGB Media hari ini mengumumkan program terbitannya berjudul “Inilah…” akan mula ditayangkan di TV1 pada setiap Selasa, jam  9 malam, bermula 4 Oktober 2011.

Program hiburan sebanyak 13 episod itu akan menampilkan artis-artis dari era 70an, hingga 90an yang masih kekal bertahan sehingga kini, iaitu Khatijah Ibrahim, Latif Ibrahim, Ning Baizura, Malik Ridzuan, Zur Eda, Uji Rashid & Hail Amir, Jay Jay, Francesca Peters, Aris Ariwatan, Adibah Noor, Zamani, Azlina & Liza Aziz dan Tomok.

Pengarah Urusan ZGB, Puan Zohara Gany Mhd. Bathusha, berkata Inilah…adalah sebuah program hiburan dalam bentuk konsert mini 30 minit yang menampilkan penyanyi yang memiliki vokal mantap dan terbukti berkemampuan menyanyi secara langsung (live) dengan iringan pemuzik professional.

Menurutnya, rakaman konsert secara langsung itu dibuat di studio ntv7 pada 21 hingga 26 Mac lalu dan mengambil masa selama dua minggu untuk proses suntingan.

Katanya konsert berkenaan dirakamkan sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia dan setiap episod dibahagikan kepada tiga segmen.  Program Inilah, tidak menggunakan perantara, sebaliknya penyanyi sendiri bertindak sebagai hos rancangan.

“Setiap artis akan menyanyikan antara enam hingga lapan lagu. Memandangkan durasi adalah terhad, ada lagu yang dipersembahkan secara medley,” kata Zohara.

Menurut Zohara, apa yang menarik mengenai program Inilah…artis-artis yang terpilih merangkumi pelbagai genre muzik serta daripada pelbagai peringkat usia. Malah terdapat dua episod yang menampilkan pasangan duet, iaitu pasangan adik beradik, Azlina dan Liza Aziz, serta pasangan duet popular era 70an-80an, Hail Amir dan Uji Rashid.

Katanya penyanyi-penyanyi berkenaan akan diiringi oleh kumpulan pemuzik yang menamakan diri mereka Chobib’s Project.

Kumpulan ini dipimpin oleh Mohd Yusoff Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Chobib di kalangan pemuzik. Selain bermain gitar, Chobib juga bertindak sebagai pengarah muzik.

Anggota Chobib’s Project yang lain ialah Yee Ah Kean aka David (gitar bass), Halizor Hussein aka fly (gitar bass), Azizi Abdul Rahman aka Zizi (piano), Rozario Gulam Rasul aka Rozal (piano), Ahmad Johan Shamsudin aka John (keyboard), Mohammad Rizad Mohd Kasim aka Ijad (drum) dan Redhuan Daud aka Wan (gitar 2).

Kesemua artis akan dibantu oleh dua penyanyi latar, iaitu Noorazmira Mohd. Rahim dan Mas Earil Mustafa. Skrip adalah hasil nukilan Tiza Hashim,  Pereka Set pula Ishak Ismail sementara pementasan dan peralatan oleh RCD Concepts.

Inilah… diarahkan oleh Nik Ramzi Nik Hassan yang dibantu oleh Rabi’atul Adawiyah Khairul ‘Azam dan Siti Shafizah Shahrani sementara Zohara bertindak sebagai penerbit eksekutif.

Jadi, pastikan anda tidak ke mana-mana pada 4 Oktober jam 9 malam, terutamanya peminat Datuk Khatijah Ibrahim yang akan menjadi artis pertama ditampilkan dalam program “Inilah…”

Check Also

TIPS: Lokasi Bulan Madu Dan Romantik Di Korea

Mungkin ramai sudah tahu, Pulau Jeju dan Pulau Nami merupakan destinasi menarik untuk di kunjugi …