Rancangan ‘Rockstar Junior’ memaparkan kebijaksanaan Tomok dan isteri membesarkan dan mendidik anak-anak mereka

Arrianshah Akid bin Shah Indrawan (Arrian), 5 tahun, anak kepada penyanyi lelaki popular, Tomok, mula menjadi perhatian pengguna media sosial selepas beberapa video yang memaparkan nyanyian dan kepetahannya bertutur dalam Bahasa Inggeris dimuat naik di laman Instagram milik bapanya. Kini, peminat Arrian dapat menyaksikan lebih banyak lagi gelagat beliau yang menambat hati bersama adiknya, Andrashah Iman bin Shah Indrawan (Andra), 2 tahun, dengan durasi yang lebih lama di paparan skrin yang lebih besar menerusi rancangan terbaharu, ‘Rockstar Junior’.

Rancangan terbaharu di slot eBu ini akan bersiaran selama 30 minit pada setiap Rabu jam 9.00 malam mulai 11 Oktober 2017 di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123). Rancangan lapan episod ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

‘Rockstar Junior’ akan memaparkan kisah kehidupan harian keluarga kecil Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Tomok, dan isterinya Rahayu Abas (Ayu) ketika membesarkan dan mendidik dua orang anak teruna mereka, Arrian dan Andra. Sejajar dengan objektif utama program di bawah slot eBu, ‘Rockstar Junior’ akan turut memperlihatkan Tomok dan isterinya berkongsi tips keibubapaan dalam pelbagai situasi berbeza yang sering diamalkan oleh mereka berdua dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada Arrian serta Andra.

Keistimewaan rancangan ‘Rockstar Junior’ ini ialah Tomok turut menghasilkan sepenuhnya sebuah lagu berjudul ‘Rockstar Junior’ nyanyiannya sendiri yang diinspirasikan oleh kedua-dua anaknya lelakinya itu. Perjalanan sepanjang penghasilan lagu tersebut seperti penulisan lirik, gubahan lagu dan proses rakaman akan diselitkan dalam setiap episod sebelum mempersembahkan hasilnya dalam episod terakhir. Bukan setakat itu, Arrian dan Andra turut menyumbang dalam pembikinan lagu yang berentak pop-rock tersebut.

Beberapa rakan selebriti Tomok seperti Black, Shuib, Zahid, Atu Zero dan ramai lagi turut membuat penampilan istimewa dalam rancangan ini.

Ayuh! Mari kita berhibur dengan menonton gelagat mencuit hati Arrian dan Andra sambil mengetahui tips keibubapaan dalam rancangan ‘Rockstar Junior’ pada setiap hari Rabu mulai 11 Oktober 2017 pada jam 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123). Rancangan ini juga boleh ditonton secara percuma pada bila-bila masa menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’. Selamat menonton!

Check Also

The Rock Emperor Penang Chapter Sukses Hiburkan 8,000 Penonton, Wings Bakal Bawa Konsert Ke Pantai Timur

Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang menjadi saksi 8,000 peminat rock pulang dengan senyuman selepas …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *