Senario The Movie : Ops Pocot

Kumpulan Senario yang terdiri daripada Azlee, Mazlan dan Wahid sekali lagi ditampilkan menerusi filem terbaru mereka Senario The Movie:Ops Pocot terbitan Metrowealth Pictures (MIG). Filem yang sarat dengan elemen komedi ini diarahkan oleh Ismail ‘Bob’ Hashim yang tersenarai dalam “Skim 10 Pengarah Muda MIG” yang telah berjaya mencipta fenomena melalui filem “Ngangkung”. Kecenderungan penonton ke arah filem yang bercorak komedi dilihat mampu untuk mendidik masyarakt dan memberi info berguna serta panduan terhadap masyarakat melalui filem bergenre komedi aksi ini.

Penggambaran filem ini telah dijalankan di sekitar Melaka Bandaraya Bersejarah pada tahun lalu melalui kerjasama Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dibawah Kementerian Dalam Negeri banyak membantu melicinkan proses penggambaran filem. Gabungan pelakon-pelakon versatile serta berpengalaman seperti Kamal Adli, Diana Amir, Sasqia, Shahfiez, Alex Yanz, Hairul Azreen, Mas Muharni dan Mr. Os memberi suntikan terbaik dalam menjayakan filem. Melalui filem ini, pihak MIG turut menekankan info mengenai badan beruniform iaitu RELA yang bertujuan untuk memberi makluman kepada masyarakat serta menambah bilangan anggota untuk menyertai RELA.

“Di Sebalik Tabir Senario The Movie : Ops Pocot”


Filem ini mengisahkan gelagat tiga orang pemuda iaitu Azlee, Mazlan dan Wahid yang tiada sebarang pertalian persaudaraan mempunyai karekter yang berbeza. Azlee, seorang pengawal keselamatan bekerja di sebuah kompleks membeli-belah yang selalu tidur ketika bekerja serta kurang stamina. Mazlan pula merupakan seorang yang penakut dan lemah semangat selalu menjadi mangsa buli di tempatnya bekerja manakala Wahid bekerja di syarikat pembekal buruh asing merupakan seorang yang amat pendiam. Plot filem ini mula berkembang apabila ketiga-tiga pemuda ini secara paksa-rela menyertai pasukan RELA atas desakan majikan masing-masing yang bengang dengan sikap mereka. Latihan yang ketat oleh Pak Bad (Mr. Os) ditambah pula dengan gangguan dari tiga orang pemuda nakal iaitu Hairi (Kamal Adli), Bob (Shahfiez) dan Maman (Hairul Azreen) menyukarkan diri mereka untuk menyesuaikan diri. Namun, segala-galanya berubah apabila mereka bertiga mula berpacaran dengan tiga orang gadis lasak tetapi jelita iaitu Ann (Sasqia), Azie (Mas Muharni) dan Mala (Diana Amir).

“Barisan Pelakon Senario The Movie : Ops Pocot”

Walaupun permulaan filem ini agak perlahan, unsur-unsur komedi yang diselitkan melalui setiap babak mampu menghiburkan penonton. Kematangan kumpulan Senario melalui jenaka yang mereka tampilkan dalam filem ini masih dikekalkan. Garapan yang ditonjolkan oleh pengarah pasti tidak menghampakan penonton. Di samping itu, segala aksi dan babak-babak berkaitan latihan oleh pasukan RELA turut diketengahkan kepada penonton sebagai salah satu tarikan.
Pelbagai kisah lucu dan menarik yang terjadi sepanjang mereka menjalani latihan untuk menjadi anggota RELA. Bermula dengan latihan yang teruk oleh Pak Bad serta kenakalan Hairi, Bob dan Maman sehinggalah ke bibit-bibit percintaan mereka di antara Ann, Azie dan Mala. Adakah latihan ini berjaya mengubah sikap mereka bertiga? Apakah kesudahan kisah cinta tiga pasangan ini? Bagaimanakah nasib ketiga-tiga budak nakal tersebut? Segalanya akan terungkai di pawagam sekarang. Saksikan kesudahan cerita ini!

Check Also

TIPS: Lokasi Bulan Madu Dan Romantik Di Korea

Mungkin ramai sudah tahu, Pulau Jeju dan Pulau Nami merupakan destinasi menarik untuk di kunjugi …