THE DESCENDANT

Meletakkan drama bersiri terbaik, The Iron Lady yang berjaya merangkul anugerah itu di Golden Awards 2010 sebagai tanda aras dalam menjayakan sesebuah drama, ntv7 sekali lagi hadir dengan drama bermutu terbaru – The Descendant – yang bakal bermula 9 Februari nanti, dan bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis jam 10.00 malam.

Disuntik dengan elemen baru dan segar, drama bersiri The Descendant mengukir satu lagi sejarah dengan menggandingkan dua pelakon terhebat dalam drama Cina bersiri tempatan, Yeo Yann Yann (Pelakon Wanita Terbaik Golden Awards 2010) dan Debbie Goh (Pelakon Wanita Paling Popular Golden Awards 2010) sebagai teraju utama dalam siri epik ini. Turut sama dalam menjayakan peranan mereka di dalam drama ini adalah Steve Yap, Frederick Lee, Leslie Chai, Brenda Chiah, Kyo Chen, dan Ernest Chong (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Golden Awards 2010).

Penggambaran bagi drama sepanjang 30 episod itu dijalankan di beberapa lokasi di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dengan cuba menggarap masa sekitar tahun 1920an hingga 1960an. Berlatarkan industri pembuat colok, drama ini berkisar tentang konflik tiga generasi dalam sebuah keluarga yang besar.

Sinopsis

Kisah bermula apabila Chen Yu Lin (lakonan Steve Yap) yang merupakan seorang guru di pedalaman dipaksa untuk pulang ke kampung halamannya dan ditakdirkan untuk berkahwin dengan Shen Dan Fang (lakonan Yeo Yann Yann) untuk mewarisi perniagaan keluarganya setelah kedua-dua keluarga mereka bergabung di dalam perniagaan. Demi itu, Yu Lin juga telah membuat perjanjian dengan ayah mertuanya agar anak lelaki pertama yang dilahirkan akan diberikan nama keluarga isterinya untuk meneruskan darah keturunan Shen

Pada hari perkahwinan yang ditetapkan itu, Yu Lin tanpa menyangka bahawa kekasihnya di pedalaman dahulu merupakan adik kepada isterinya, Shen Yu Hua (lakonan Debbie Goh). Walaupun tidak dapat menerima kenyataan, Yu Hua dan Yu Lin hanya mampu menanam jauh perasaan mereka masing-masing.

Nasib malang Yu Hua selalu dikaitkan dengan sumpahannya sejak dilahirkan dan dia telah diserahkan kepada pengasuhnya untuk dipelihara. Dan Fang yang mengasihani adiknya telah merayu agar Yu Hua kembali ke rumah untuk duduk bersamanya. Walaubagaimanapun, setelah Yu Hua dan Yu Lin sering bertemu dan masih saling menyayangi akhirnya telah mengadakan hubungan bersama. Menyedari kejadian itu, ayah Dan Fang dan Yu Hua yang sangat marah dan kecewa jatuh sakit sehingga meninggal dunia. Dan Fang menyalahkan Yu Hua di atas kematian ayahnya dan kerosakan rumah tangga yang dialaminya. Dan Fang nekad menghalau adiknya jauh dari rumah kerana tidak dapat menahan kejadian yang menimpanya. Yu Lin yang menyesal di atas perbuatannya cuba menyibukkan diri dengan memberi tumpuan dalam menguruskan peniagaan.

Di saat Yu Lin dan Dan Fang menghadapi krisis rumah tangga, musuh perniagaan mereka, Jin De Tang mencabar mereka dalam pertandingan colok dimana mereka gagal dan terpaksa memberikan gelaran “Colok Terbaik” kepada Jin De Tang. Diserang perasaan rasa bersalah, Yu Lin yang semakin tidak tentu hala akhirnya mati dalam kekecewaan. Di hari pengebumian Yu Lin, Yu Hua kembali ke sana. Tambah dramtik adalah apabila Dan Fang mengetahui bahawa Yu Hua kini mengandungkan anak Yu Lin dan Dan Fang mengambil keputusan untuk mengurungnya di rumah.

Dan Fang pada mulanya berniat membunuh kandungan Yu Hua namun setelah dinasihati ibu mertuanya, dia berjanji untuk membiarkan Yu Hua melahirkan anaknya dahulu. Namun, tanpa diduga, bayi itu meninggal di saat dia dilahirkan dan itu amat menyayat hati Yu Hua.

Lapan tahun kemudian, Yu Hua yang berasa segala yang berlaku adalah karma buatnya. Lantas cuba mendekatkan dirinya dengan perkara ketuhanan. Dan Fang pula kini menjadi pemilik kepada perniagaan suaminya. Anak-anaknya juga sudah membesar dan berkahwin. Anak lelaki sulungnya, Shen Siang Hai (lakonan Leslie Chai) mendapat kepercayaan penuh ibunya untuk mengambil alih perniagaan mereka. Namun kakaknya, Chen Shan Su (Brenda Chiah) dan adik bongsu lelakinya, Chen Siang Yang tidak suka dengan keadaan itu dan berkali-kali cuba merampas kuasa abangnya. Menambah lagi masalah adalah apabila abang ipar Siang Yang, Wen Shang Qin (Ernest Chong) turut sama dalam pakatan menentang Siang Hai.

Sementara itu, Siang Hai yang berhati mulia membawa seorang anak yatim, Gou Zhai (Tan Hau Yen) ke rumah mereka. Kagum dengan kebijaksanaan budak itu, Siang Hai telah mengupahnya untuk bekerja. Dan Fang juga mula menyukai Gou Zhai dan berhasrat untuk menjadikannya anak angkat keluarga itu walaupun ditentang anak-anaknya yang lain. Pada hari upacara anak angkat itu, penjaga rumah yang setia selama ini, Chen Gui (Frederick Lee) yang menyimpan perasaan terhadap Yu Hua memberitahu identiti sebenar Gou Zhai kepadanya. Mengetahui bahawa Dan Fang masih membencinya, Yu Hua tidak sampai hati memberitahu perkara sebenar kepada Gou Zhai bahawa dia adalah ibu kandungnya. Sehinggalah sebuah kejadian yang mengorbankan Siang Hai dalam satu kebakaran ketika menyelamatkan Gou Zhai. Di saat itu jugalah perkara sebenar mengenai asal usul Gou Zhai terbongkar.

Dan Fang yang telah mengetahui perkara sebenar, mula berubah dan sentiasa bertingkah laku buruk terhadap Gou Zhai. Yu Hua yang tidak tahan melihat anak lelakinya itu dipukul dan diseksa mula berdendam dengan kakaknya sendiri. Demi mempertahankan Gou Zhai, Yu Hua mengambil langkah untuk memusnahkan Dan Fang dan anak-anaknya dengan cubaannya untuk menjadi tauke baru perniagaan itu.

Check Also

Artis terkenal <NIGHT DANCER> imase akan datang ke Kuala Lumpur Untuk 1st Asia Tour “Shiki”

“𝘋𝘰𝘶 𝘥𝘦𝘮𝘰 𝘪𝘪 𝘺𝘰𝘶 𝘯𝘢 𝘺𝘰𝘳𝘶 𝘥𝘢𝘬𝘦𝘥𝘰”, anda pasti pernah mendengar lagu ini! Lagu popular …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *