“War Of Bands – Joe Wings mencari protégé”

Industri hiburan negara suatu masa dahulu meriah dengan kehadiran bermacam kumpulan muzik. Kehadiran pelbagai jenis kumpulan dengan beraneka nuansa muzik yang dimainkan serba sedikit mencorakkan industri hiburan tempatan dan merancakkan penjualan album, video konsert dan bermacam jenis produk muzik yang berkaitan.

Akan tetapi melewati ke era millennium, satu demi satu kumpulan muzik hilang dari persada muzik tempatan. Manakala kewujudan kumpulan baru yang membawakan genre muzik terkini pula tidak banyak yang berdaya tahan dan mampu menongkah arus cabaran dalam industri hiburan Malaysia.

Bertitik tolak daripada ini, JMP Productions dan Tio Studio dengan kerjasama Anggerik Event berbesar hati untuk menganjurkan “War Of Bands – Joe Wings mencari protégé” yang betujuan untuk cuba mengulangi kemeriahan industri hiburan tempatan yang pernah melalui zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu.

IMG_6427

Pertandingan mengikut konsep ‘Battle Of The Bands’ yang pernah popular satu ketika dahulu. Cuma bezanya kali ini peserta yang layak berpeluang merakamkan karya mereka untuk dimuatkan ke dalam album kompilasi serta mendapat tunjuk ajar dan sokongan dari susuk yang tidak perlu lagi diperkenalkan lagi dalam arena muzik tempatan – Joe Wings.

Selama lebih tiga dasawarsa ‘mengperhambakan’ diri sebagai anak seni, Joe Wings adalah satu figura yang tidak boleh dinafikan impak dan pengaruhnya dalam industri hiburan tempatan amnya dan untuk muzik rock khususnya. Dengan pengalaman selaku pemain gitar utama kumpulan Wings, pencipta lagu, penulis lirik, penerbit album, pengarah persembahan, pemain gitar undangan dan pernah bergelar pelakon sudah lebih daripada mencukupi untuk melayakkan Joe Wings mencari pelapis berkumpulan agar segala ilmu dan pengalaman beliau sepanjang bergelar artis dan pemuzik dapat diperturunkan dan diwarisi kepada generasi baru.

IMG_6436

‘War Of Bands – Joe Wings mencari protégé’ akan dijalankan secara saringan di tiga lokasi yang ditetapkan iaitu:

Saringan pertama – Johor Bahru, 31 Ogos 2016

Saringan kedua – MAEPS Serdang, 16 September 2016

Saringan ketiga – Ipoh, 1 Oktober 2016

Yuran penyertaan untuk setiap kumpulan adalah sebanyak RM 300.00 dan setiap penyertaan akan mendapat 5 helai t-shirt secara percuma. Had umur penyertaan daripada 15 tahun hingga 35 tahun sahaja. Bagi setiap penyertaan, pihak penganjur akan mendermakan sebanyak RM 30.00 kepada tabung kebajikan Yazit Search. Format pertandingan peringkat saringan memerlukan setiap kumpulan menyampaikan 3 buah lagu samada tempatan, antarabangsa ataupun lagu ciptaan sendiri.

Pertandingan akhir akan diadakan di MAEPS Serdang pada 16 Oktober 2016. Sebanyak 4 buah kumpulan akan dipilih untuk ke pertandingan akhir dan juri pada peringkat akhir nanti ialah saudara Hillary Ang, Yazit Search dan Joe Wings. Pada peringkat akhir, setiap kumpulan diwajibkan membawakan 1 lagu ‘cover’ dari kumpulan Wings yang diolah kembali mengikut citarasa sendiri dan 1 lagu ciptaan sendiri.  Juara akan menerima hadiah wang tunai RM 5,000.00 dan sebanyak 12 kumpulan termasuk yang berjaya ke pusingan terakhir akan dipilih untuk merakamkan lagu dalam satu album kompilasi yang akan diselia dan diterbitkan oleh Joe Wings sendiri.

IMG_6426

Satu kelainan pada pertandingan ini berbanding pertandingan muzik yang lain ialah selain menumpukan kepada kumpulan berbanding penyanyi solo, setiap kumpulan yang bertanding diberi peluang beraksi di atas pentas bertaraf konsert yang dilengkapi dengan sistem bunyi bertaraf antarabangsa yang kebiasaannya hanya digunakan dalam konsert-konsert berskala besar. Ini bertujuan untuk memberikan satu suasana dan dimensi baru kepada setiap kumpulan yang bertanding untuk merasai sendiri pengalaman bermain di atas pentas bersaiz besar yang dilengkapi sistem bunyi bertaraf antarabangsa. Seterusnya dapat memotivasikan setiap kumpulan yang bertanding untuk memberikan persembahan yang terbaik setaraf dengan kemudahan yang diberikan. Untuk kumpulan yang terpilih merakamkan lagu dalam album kompilasi pula, Joe Wings sendiri akan memberi tunjuk ajar serta bimbingan sepanjang proses rakaman.

Diharapkan dengan penganjuran ‘War Of Bands – Joe Wings mencari protégé’ ini dapat menyemarakkan kembali arena muzik tempatan dan seterusnya dapat melahirkan pelapis-pelapis yang bermutu dalam menghasilkan karya-karya baru dan malar segar. Ribuan terima kasih diucapkan kepada Teh Tarik Place Setapak Central yang sudi menaja tempat dan makanan untuk sidang media ini. Semoga penganjuran acara ini juga dapat membuka mata penaja-penaja yang berpotensi di luar sana untuk melabur dalam melahirkan pelapis-pelapis hiburan tanahair.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari laman sesawang http://www.tioevent.com/jwwob atau lawati Facebook rasmi. http://www.facebook.com/joewingsprotege

“Muzik itu seni, bakat adalah anugerah, protégé adalah penyambung legasi. Mereka berhak dihormati dengan didikan melalui saluran yang betul. Barulah akan menjadi bintang yang bersinar dan berkualiti, bukan bintang bermusim…

Jadi pilihan di tangan anda. Bakat anda adalah karya anda. Bukan orang lain yang tentukan nasib anda…

Berkaryalah dengan cara anda dan kami akan tunjukkan jalan yang sewajarnya!”

-Joe Wings-

Check Also

ATARASHII GAKKO! Umum Konsert Jelajah UK/EU Dan Asia Part I

ATARASHII GAKKO!, kumpulan vokal dan tarian berpusat di Jepun, akan menggegarkan dunia dengan pengumuman lawatan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *