“CINTA BUAT EMELDA” ~ Drama Terbaru Slot Akasia Bermula 26 Mac 2012

Saksikan “Cinta Buat Emelda” menerusi slot Akasia,  yang akan menayangkan pelakon hebat, Almy Nadia,  Fizo Omar, adik Mia Sara Nasuha, Erry Putra, Rabecca Nur Al-Islam, Mustapha Kamal, Amran Ismail, Aida Khalida, Diana Amir,  Rykal Iskandar dan ramai, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7.00 malam di TV3 bermula 26 Mac 2012.Drama bersiri 24 episod terbitan MIG Production Sdn. Bhd dan di bawah arahan Ismail Bob Hashim.

Sinopsis

Diadaptasi dari novel ‘Kasih Antara Kita’, drama ini berkisar mengenai kehidupan Emelda yang mula berubah sejurus kehadiran Dania. Sejak Dania di sisi Emelda, hubungan Emelda dengan adik lelakinya, Emeriz mulai renggang. Walaupun tiada lagi persefahaman di antara Emeriz dan Emelda, namun Emeriz begitu menyayangi Dania.

Tanpa diduga, Emelda bertemu Aeril Fatah yang merupakan seorang doktor yang memberi ceramah di tadika Dania. Sejak pertemuan itu, Aeril sering termenung sambil mengimbas kembali waktu lalunya. Rupa paras Emelda menyerupai seseorang yang dikenalinya. Di benak fikiran Aeril, siapakah Emelda? Namun bagi Emelda, dia sangat mengenali Aeril dan masih menyimpan gambar lelaki itu sejak 7 tahun yang lalu.

Aeril begitu berminat untuk mendekati dan menyelami sisi kisah hidup wanita bernama Emelda. Pada masa yang sama, Emelda gusar jika ia berlaku dan Aeril mahu merampas Dania daripadanya.  Namun Emelda terpaksa akur apabila Aeril meminta penjelasan daripada Emelda mengenai Dania. Emelda mengaku bahawa Dania adalah anak Aeril.

Meskipun pada mulanya Aeril menjadi serba salah setelah mendapati Dania adalah anaknya, namun lama-kelamaan hubungan Aeril dan Dania menjadi semakin rapat sehinggakan Dania mula memanggil Aeril, ‘Papa’. Lantas Aeril mengambil keputusan untuk mengahwini Emelda walaupun Emelda tidak bersetuju.Emelda telah menolak hasrat Aeril untuk mengahwininya, namun Aeril masih tetap dengan pendiriannya. Aeril menghantar rombongan meminang ke rumah Emelda tanpa pengetahuan keluarga Emelda. Aeril juga memberanikan diri memberitahu keluarga Emelda bahawa dia merupakan ayah kandung kepada Dania.

Emelda akhirnya terpaksa akur dengan hasrat Aeril dan sanggup memperjudikan nasibnya bersama lelaki yang bernama Aeril Fatah. Meskipun hatinya tidak pernah terbuka untuk insan yang bernama Aeril Fatah, namun demi Dania dia tetap mencuba sedaya upaya yang boleh. Bahagiakah perkahwinan yang dibina bukan atas dasar cinta? Mampukah Aeril Fatah menawan hati Emelda? Apakah rahsia yang disimpan oleh Aeril Fatah mengenai kehidupan silamnya 7 tahun lalu? Ingin mengetahui apakah yang berlaku seterusnya?

 

 

Check Also

KRU Kembali Dengan Single ‘Voodoo’ Yang Memukau

Kumpulan legenda industri muzik tanah air, KRU, menggemparkan peminat dengan pelancaran single pertama mereka, “Voodoo”, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *