Saiful Apek bersama anak didiknya,kumpulan 2AZ & Lampu

1 Solo & 11 Kumpulan Berentap Dalam Bintang Mencari Bintang 2

Barisan Sifu dan anak didik BMB2
Barisan Sifu dan anak didik BMB2

“Serata Galaksi Mencari Legasi”. Setelah melakar kejayaan besar dalam mengangkat martabat bidang sketsa komedi dan nyanyian ke peringkat lebih tinggi menerusi Bintang Mencari Bintang (BMB) musim pertama serta perkembangan kerjaya juaranya, Achey dan naib juara, Kumpulan Bochik, kini pihak TV3 dengan berbesar hati membawakan kembali program pencarian penghibur terunggul iaitu Bintang Mencari Bintang musim kedua! Sifu dan anak didik manakah pula yang bakal meraih gelaran juara Bintang Mencari Bintang untuk musim baru ini?

BMB ialah sebuah rancangan program realiti dari TV3 yang memperlihatkan kewibawaan barisan Sifu terkenal tanah air dalam menggilap bakat baru berdasarkan bakat sketsa komedi dan nyanyian bagi menyambung legasi mereka. BMB musim pertama berjaya meraih jumlah penonton tertinggi sebanyak 3.8 juta (16.2 TVR) atau 54.4% syer penonton (sumber: Nielsen Audience Measurement). Malahan tontonan keseluruhan BMB Akhir musim pertama telah mencipta rekod dengan tontonan mencecah hampir 5 juta sepanjang siaran dari jam 9.00 – 12.00 tengah malam pada 23 Jun yang lepas.

Faizal Ismail bersama anak didiknya, kumpulan Tokan & Gbob
Faizal Ismail bersama anak didiknya, kumpulan Tokan & Gbob

Ketika mula disiarkan tahun lalu, ia secara automatik telah mendapat tempat di hati masyarakat tempatan. Kini memasuki musim yang kedua (BMB2), peminat setia bakal menyaksikan persaingan yang amat sengit di antara anak didik yang dibimbing oleh sifu-sifu yang mempunyai portfolio mengagumkan dalam bidang ini. 6 sifu yang akan memegang tanggungjawab besar dalam mencorak haluan anak didik musim ini adalah Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Faizal Ismail (FBI), Saiful Apek, Adlin Aman Ramli dan Ebby Yus.

Menariknya, BMB2 mengekalkan 3 Sifu iaitu Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik dan Faizal Ismail dari musim pertama kerana prestasi mereka yang konsisten dari permulaan hingga ke peringkat akhir BMB. Kami berharap ketiga-tiga Sifu ini dapat membentuk bakat yang bagus seperti Achey, Bochik, Titan dan Tapaw. Sementara itu tiga Sifu baru iaitu Saiful Apek, Adlin Aman Ramli dan Ebby Yus dipilih untuk menjadi Sifu berdasarkan kualiti tersendiri seperti mempunyai pengalaman luas dalam bidang komedi dan nyanyian selain berkaliber sebagai tenaga pengajar.

Harun Salim Bachik bersama anak didiknya, kumpulan TakTih & Ehah
Harun Salim Bachik bersama anak didiknya, kumpulan TakTih & Ehah

Pencarian anak didik berbakat untuk program BMB2 ini telah pun memulakan siri jelajahnya pada 28 & 29 Disember 2013 lalu bertempat di Bumi Kenyalang, Sarawak dan kemudian siri jelajah BMB2 juga telah terbang ke  negeri Perak pada 4 & 5 Januari 2014 di Ipoh, serta negeri kedah pada 10 & 11 Januari 2014. Pencarian uji bakat BMB2 diteruskan lagi di Negeri Di Bawah Bayu, Sabah pada 18 & 19 Januari 2014 dan di Johor Bahru pada 31 Januari & 1 Februari 2014. Penerimaan masyarakat umum terhadap program realiti BMB2, ternyata mendapat sambutan yang positif dan memberangsangkan daripada orang ramai apabila hampir satu ribu orang telah menghadiri sesi uji bakat BMB2 yang berakhir  pada 8 & 9 Februari 2014 di Kuala Lumpur. Sesi uji bakat di setiap lokasi telah ditapis terlebih dahulu oleh panel profesional iaitu Fauziah Dato’ Ahmad Daud (Ogy) dan Ajai selaku juri menggalas tanggungjawab untuk memilih yang berkelayakan menjadi anak didik BMB2.

Seramai 23 anak didik yang terdiri daripada 1 peserta solo dan 11 peserta kumpulan yang dipilih untuk menggamatkan saingan BMB2 kali ini.  Setiap Sifu akan mempunyai dua anak didik yang bertanding iaitu satu dari Kumpulan A dan satu lagi dari Kumpulan B. Bagi saingan peringkat pertama, anak didik akan berentap mengikut kumpulan selama empat minggu dan anak didik yang mendapat markah terendah akan disingkirkan. Kemudian bagi peringkat kedua, anak didik dari Kumpulan A dan B yang belum tersingkir akan bertemu untuk bersaing di peringkat separuh akhir. Sebelum tiba minggu terakhir, hanya lima kumpulan, layak berentap di peringkat akhir BMB2 untuk merangkul gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM200,000 berserta trofi.

Adlin Aman Ramlie bersama anak didik kumpulan Kepoh & Jebat
Adlin Aman Ramlie bersama anak didik kumpulan Kepoh & Jebat

Menurut Penerbit Eksekutif Bintang Mencari Bintang, Muhamad Sufian Isa, “Kesemua anak didik ini adalah yang terbaik daripada lebih 1,500 calon yang telah hadir ke sesi uji bakat. Kami sendiri kagum dengan sambutan yang cukup menggalakkan terhadap program ini. Kesemua 23 orang anak didik bagi musim ini mempunyai keunikan dan kriteria tersendiri. Barisan Sifu telah melakukan pemilihan dengan amat teliti. Anak didik juga telah memulakan sesi latihan dan persiapan bersama barisan Sifu bagi mempamerkan persembahan terbaik di konsert pertama yang akan bersiaran secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 16 Mac 2014 pukul 9.00 malam.”

Menurut Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9, Cik Sherina Nordin berkata, “Bakat yang dilahirkan menerusi program Bintang Mencari Bintang musim pertama berjaya menyerlah di arena seni tanah air. Kehadiran mereka ternyata diterima ramai. Buktinya, juara musim pertama BMB, Achey kini mempunyai program sendiri yang diberi nama ‘Kintang Kintung’ di samping tercalon dalam kategori top 5 artis baru lelaki popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Malah, bekas peserta BMB musim pertama yang lain juga tidak kurang hebatnya apabila masing-masing menjadi pilihan produser tempatan untuk tawaran berlakon di samping mengacara sesebuah program. Oleh itu, TV3 meneruskan inisiatifnya mencari pelapis dalam bidang komedi dan nyanyian menerusi program Bintang Mencari Bintang musim kedua.”

Ebby Yus bersama anak didiknya kumpulan Sumbu & PK

“Kami terkejut dengan sambutan yang diberikan oleh orang ramai kerana biarpun belum lagi memulakan siaran di televisyen, Bintang Mencari Bintang musim kedua sudahpun mendapat maklum balas yang amat positif di kalangan masyarakat. Ini dizahirkan dengan sambutan para peserta di kesemua lokasi sesi uji bakat. Selain itu, program Bintang Mencari Bintang musim kedua yang mula disiarkan di TV3 sejak 23 Februari 2014 menerusi episod uji bakat yang lalu turut mendapat jumlah tontonan yang amat memberangsangkan. Semua ini seolah-olah memberi tanda positif bahawa program Bintang Mencari Bintang mampu untuk mencetuskan fenomenanya yang tersendiri. Jesteru, kami merasakan tanggungjawab yang lebih besar untuk memberikan yang terbaik kepada para penonton terutamanya daripada sudut kandungan dan pengisian program ini” tambah Cik Sherina Nordin.

Sepanjang 16 episod, BMB2 menampilkan Adibah Noor dan Achey sebagai pengacara program. Selain itu, BMB turut menampilkan nama besar di dalam industri tanah air, ikon yang cukup berpengalaman dan sememangnya ‘otai’ di dalam bidang hiburan iaitu Fauziah Ahmad Daud untuk mengisi kerusi juri pada setiap minggu. Manakala, dua lagi juri tetap bagi musim ini iaitu A.R Badul akan menjadi juri untuk konsert Kumpulan A dan Ahmad Idham juri untuk konsert Kumpulan B.

Afdlin Shauki dan anak didiknya kumpulan OOOOO & MMMMM

Untuk musim kedua ini, format permarkahan dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu 50% daripada juri profesional, 30% melalui undian SMS dan We Chat dan 20% daripada juri awam yang terdiri dari kalangan pelajar seni persembahan, wartawan, golongan semi-profesional dalam industri sketsa komedi dan nyanyian. Juara BMB2 akan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM200,000 beserta trofi.

Sementara itu, penonton berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat kesemua anak didik BMB2 menerusi KOMIK BMB yang akan disiarkan selama 30 minit pada setiap hari Ahad jam 5.30 petang. Program yang dihoskan oleh bekas anak didik BMB musim pertama iaitu kumpulan Titan ini juga akan membawa penonton melihat gelagat anak didik serta perkara-perkara yang bakal terjadi ketika mereka menghadiri kelas latihan dan juga perkara-perkara yang berlaku semasa mereka membuat persiapan untuk berentap di pentas BMB2.

Menerusi paparan sepanjang sesi uji bakat yang disiarkan dalam tiga episod BMB2 pada 23 Februari 2014, pelbagai karenah, ragam dan aksi para anak didik dapat disaksikan hanya kerana ingin bergelar anak didik BMB2. Ikuti konsert BMB2 mulai 16 Mac 2014 yang diterajui oleh Penerbit Eksekutif, Muhamad Sufian Isa pada setiap hari Ahad jam 9.00 hingga 10.30 malam.

Barisan Sifu BMB2
Barisan Sifu BMB2

Di samping itu, ’Bintang Mencari Bintang Spontan’ yang merupakan program spin off daripada BMB2 bakal disiarkan menerusi TV9 bermula 4 Mei 2014 setiap hari Ahad jam 8.30 malam. Menerusi program 30 minit yang dihoskan oleh naib juara BMB musim pertama iaitu Fad dan Abam dari kumpulan Bochik, para penonton dapat menyaksikan gelagat anak didik BMB musim kedua tampil melakukan cabaran sketsa yang bertemakan spontan. Pemenang akan ditentukan oleh undian peserta BMB2 itu sendiri dan sebanyak RM2,000 menanti buat pemenang Bintang Mencari Bintang Spontan.

Bagi merasai bahang kehangatan program BMB2, TV3 mengadakan satu acara ‘Pentas Khas Bintang Mencari Bintang Musim Ke-2 Bersama Penampilan Khas Eksklusif Bocey’ di Concourse Area, SACC Mall, Shah Alam, Selangor pada hari Selasa,11 Mac 2014, pukul 8.00 malam. Menerusi acara ini, peminat yang hadir boleh bertemu dan mengubati rindu pada telatah bekas anak didik BMB musim pertama dan mengenali barisan Sifu dan anak didik BMB musim kedua dengan lebih dekat.

Saiful Apek bersama anak didiknya,kumpulan 2AZ & Lampu
Saiful Apek bersama anak didiknya,kumpulan 2AZ & Lampu

Program realiti bakat sketsa komedi ini turut mendapat sokongan padu daripada radio Hot FM selaku geng radio. Ikuti informasi dan perkembangan terkini mengenai BMB2 menerusi radio Hot FM serta layari laman sesawang rasmi BMB di www.tv3.com.my/bmb2014 dan laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Pengguna laman sosial Twitter boleh menggunakan ‘hash tag’ (#BMB2014) untuk menghangatkan lagi bahang BMB2!

Check Also

Astro Persembahkan Drama ‘Berbahagi Suami’ – Menyingkap Realiti Poligami Dari Kaca Mata Isteri Kedua

Astro, peneraju utama hiburan di Malaysia, kembali dengan drama terbaharu berkisarkan konflik rumahtangga bertajuk ‘Berbahagi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *