Saya Tidak Kisah Di Gelar Pelawak – Datuk Hattan

Di sebalik kelantangannya, ada sisi komedi dalam diri penyanyi otai, Datuk Hattan.Penyanyi lagu Biso Bonar itu tidak kisah jika digelar pelawak selepas membintangi filem genre komedi romantik, Gadis Jolobu The Movie arahan CL Hor.

Bagi pemilik nama Mohd Shukri Shahabudin, 57, itu, watak komedi dalam filem terbitan syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd itu sekadar lakonan, tidak terjejas prinsip yang lantang bersuara mengenai pelbagai topik di media sosial.

“Saya tak kisah orang nak cakap apapun kerana lakonan tetap lakonan.

“Di luar penggambaran, saya memang seorang yang serius dan lantang bersuara memperjuangkan mengenai topik semasa.

“Sebelum ini, menerusi filem Selubung pun saya bawa watak komedi.

“Kali ini, filem Gadis Jolobu The Movie juga bergenre komedi ringan untuk menghiburkan penonton,” katanya.

Selain Hattan, Gadis Jolubu The Movie yang juga karya berteraskan dialek Malaysia yang memberi tumpuan kepada budaya dan tradisi Minangkabau dari Negeri Sembilan itu menggandingkannya dengan Khir Rahman dan Joey Daud.Ia turut dibintangi anak sulung Hattan, Adam E dan Nizam Laksamana, selain memperkenalkan bakat baharu yang juga pengacara, Ahirine Ahirudin.

Bercerita mengenai lakonannya, Hattan berkata, dia tiada masalah mendapatkan keserasian bersama dua lagi teraju utama, Khir dan Joey.

“Amat mudah bekerjasama dengan Khir dan Joey walaupun mereka bukan berasal dari Negeri Sembilan. Mereka adalah pelakon profesional.

“Hanya watak saya sahaja yang pekat bertutur dengan dialek Negeri Sembilan, namun, Khir dan Joey pula mengikut tuntutan skrip kerana mereka digambarkan membesar di luar dan baru pulang ke kampung halaman,” katanya.

Hattan berkata, banyak insiden melucukan berlaku di lokasi penggambaran filem berkenaan.

“Joey suka buat lawak spontan, tetapi masih tidak lari daripada dikehendaki skrip filem.

“Bagaimanapun, cabaran tetap ada. Kami berdepan dengan cabaran dari segi cuaca tidak menentu.

“Ketika penggambaran cuaca panas terik, tetapi tiba-tiba hujan dengan lebat hingga penggambaran terpaksa dihentikan,” katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan CL Hor, kata Hattan, dia juga selesa bekerjasama dengan pengarah yang berpengalaman menghasilkan filem di China, Hong Kong dan Korea Selatan itu.

https://youtu.be/LIzBpxPCU1w

“Walaupun CL Hor pengarah bukan Melayu, tetapi tidak sukar memahami kehendaknya.

“CL Hor bukan sahaja menjaga aspek lakonan dan lakon layar, namun, masih memberi kebebasan kepada pelakon untuk menjiwai watak,” katanya.

Ditanya harapannya, Hattan yakin filem Gadis Jolobu The Movie mendapat sambutan di pawagam.

“Insya-Allah, saya yakin filem ini akan mendapat sambutan. Semuanya dengan izin Allah SWT.

“Saya bersyukur penonton kembali ke pawagam dengan sambutan terhadap filem tempatan selepas dua tahun berdepan era pandemik, katanya.

Namun, Hattan berharap penonton sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) ketika di luar.

“Saya tak berani nak cakap dalam fasa peralihan ke endemik kerana kes COVID-19 kembali naik semula ketika ini.

“Saya berharap peminat menghormati permintaan artis untuk tidak membuka pelitup muka ketika bergambar kerana kita tidak mahu dijangkiti COVID-19 dan kes naik semula,” katanya.

Gadis Jolobu The Movie dihasilkan susulan kejayaan lagu duet, Hattan bersama Waris, Gadis Jolobu yang meraih tontonan hampir 10 juta dalam laman YouTube akan menemui penonton di pawagam GSC di seluruh negara dan platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY bermula 4 Ogos depan.

Check Also

PERSEMBAHAN BALET SENSASI LONDON MENAMPILKAN PENARI CILIK CEMERLANG, SOPHIA ONG DARI SELANGOR, DALAM BALLET NIGHTS KUALA LUMPUR!

Debaran semakin terasa apabila Ballet Nights mengumumkan bahawa Duta Muda Malaysia mereka, Sophia Ong, 14 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *