4 Pemacu Genre Muzik Bawah Tanah Bakal Gegar Hard Rock Cafe Melaka 30 Disember Ini

Jika sebelum ini pentas Hard Rock Café Melaka pernah di warnai oleh jalur muzik berat seumpamanya yang di bawa oleh kumpulan tempatan.  Ternyata kehebatan aksi- aksi kumpulan tersebut berjaya mendapat sokongan di kalangan pencinta muzik berat apatah lagi ianya sedikit sebanyak membuka ruang untuk kumpulan lain beraksi di pentas yang sama.

Ruang litup Hard Rock Cafe Melaka sekali lagi bakal bergema dengan penampilan jentera hebat seperti Athotorgh, Larrong, Malex dan Narsamum.  Keempat-empat mereka sudah pasti mampu untuk menghimpunkan fanatika mereka pada 30 Disember nanti.Athotorgh, jenama yang tidak perlu dirungkaikan lagi kehebatan serta kewibawaan mereka.  Apatah lagi band yang bergenrekan retro death/thrash 80an ini sentiasa menjadi ikon kepada kumpulan-kumpulan baru yang berjinak dengan irama sedemikian.

15241796_1352353118128441_5202447115442083361_n

Sekitar penghujung tahun 80an, Anator diguna pakai sebagai nama band mereka malah lebih gemar dengan wirama yang dibawakan oleh kumpulan Possessed, Sodom dan Slayer. Masalah pertukaran anggota adalah biasa bagi sesebuah band.  Akhirnya kumpulan yang berasal dari Ipoh, Perak secara rasminya menggunakan nama Athotorgh pada tahun 1992.Kewujudan mereka dalam kancah muzik bawah tanah tempatan terus diperkukuhkan setelah hadir dengan demo “The Rites” yang telah diriliskan pada tahun 1994.  Athotorgh yang dibarisi oleh Promaster, Dreamstone dan Old-T akhirnya tampil dengan sebuah EP yang berjudul “Promaster Dieyana” yang telah diriliskan oleh Ultra Hingax Productions pada tahun 1995.

Rata-rata individu yang berada di dalam barisan penggempur Athotorgh bukanlah pemuzik sebarangan.  Mereka sebelum ini pernah mengganggotai beberapa kumpulan lain, antaranya adalah Universal Doctrine, MassGrave, Necrotic Chaos dan sebagainya.  Inilah istimewanya Ipoh Metal Militan.Lantaran sambutan yang cukup memberangsangkan terhadap Ep “Promaster Dieyana”, pihak Morbid Invasion Red dengan kerjasama Gempita Records telah meriliskan kembali EP ini dalam bentuk Vinyl dalam tahun 2009.  Athotorgh juga terlibat dalam siri kompilasi Ipoh’s Metal Militant Supremacist terbitan Ultra Hingax Production yang telah diterbitkan pada tahun 1998.

Athotorgh
Athotorgh

Larrong pula adalah salah sebuah band yang bertunjangkan genre ektrim metal, ianya telah ditubuhkan pada penghujung tahun 1991 di daerah Matu, Sarawak. Ketika itu Larrong di barisi oleh Hadi – Bass, Mail –Gitar dan Aziz – Gitar/Vokal.  Berpaksikan muzik dambaan Slayer, Massacre, Morbid Angel dan Napalm Death akhirnya membuahkan idea untuk menghasilkan lagu ciptaan sendiri, maka lahirlah Reh/Demo pertama yang berjudul “Curse Of Devastation”.Reh/Demo yang telah diriliskan pada tahun 1993 ini ternyata membawa tuah buat Larrong kerana berjaya menarik peminat muzik ekstrim metal di Malaysia serta di beri peluang untuk beraksi di gig-gig yang di anjurkan sekitar Sarawak ketika itu.

Kehangatan yang didambakan akhirnya menemui jalan buntu apabila Mail memutuskan untuk tidak lagi bersama Larrong kerana meneruskan kerjayanya di Semenanjung Malaysia.  Namun semuanya bersifat sementara apabila Tazudin memutuskan untuk bersama dan menggalas tugas sebagai vokalis dan gitaris.  Semangat Larrong kembali bernyala lantas mengabdikan sebuah single yang berjudul Blasphemous Mantra, ianya diriliskan pada tahun 1994.Pada tahun 2000, Alphi tampil untuk menggalas tugas sebagai vokalis untuk EP “Dakan Perana Tada”.2011, Larrong mengeluarkan split album dengan band Zorboothusdeath metal band dari Medan, Indonesia di mana lagu EP “Dakan Perana Tana serta beberapa lagu live mereka dimasukkan ke dalam split album ini.

Larrong
Larrong

Tahun 2012, Larrong memasuki studio semula dan merakamkan 3 lagu baru serta sebuah lagu cover dari Celtic Frost. EP bertajuk “Nuclear Armageddon” ini dikeluarkan di bawah label Muzik Box Production. Pada tahun yang sama Larrong membuat jelajah sulung mereka di Indonesia iaitu di Medan, Jakarta & Bandung.Oktober 2016, Larrong mengeluarkan semuala EP “Nuclear Armageddon” dalam format kaset dan kini dalam proses pra-rakaman album terbaru mereka.  Larrong kembali aktif hingga kini dan telah meriliskan beberapa material serta terlibat dalam beberapa siri kompilasi antaranya ialah Curse Of Devastation-Demo (1993), The Eastern Shaman- Promo (1996), DakanPeranaTana EP (2000) Hellbangers Dominion Compilation (2008),  Angkatan Metal Malaysia Compilation (2010), Split Album Larrong/Zorboothus 2011) dan Nuclear Armageddon EP (2012).

Malex ditubuhkan secara rasminya pada tahun 2000, namun begitu secara umumnya setiap anggota yang membarisi Malex bukanlah pemuzik yang harus di pandang rendah.  Malah kesemuanya pernah membarisi kumpulan-kumpulan rock sekitar tahun 80an. Malik selaku gitaris pernah menganggotai kumpulan Aces yang di tubuhkan pada tahun 1987, selain beliau Allahyarham Syed Hassan ( bassis kumpulan Sweet Charity) juga turut serta di dalam kumpulan Aces.

“Euphoria” adalah judul abum pertama kumpulan Malex yang relah diriliskan pada thun 2002. Ternyata album pertama yang dihasilkan telah mendapat reaksi positif di kalangan pencinta muzik rock sejati.  Tahun 2004 Malex tampil dengan album kedua yang berjudul “Euphoria 2”.  Kehadiran Malex umpama gunung berapi yang kembali memuntahkan laharnya.  Buktinya, nama mereka terus dikenali malah turut di undang untuk beraksi sebagai opening act ketika Steve Vai dan Joe Satriani mengadakan persembahan di Singapura.  Selain itu mereka juga turut di undang untuk mengadakan persembahan di Anugerah Planet Muzik pada tahun 2007.

Malex
Malex

Lantaran sambutan yang cukup menggalakkan serta sokongan yang tiada putusnya. Tahun 2007 Malex tampil dengan album “Wira Cosmo”, dengan genre yang lebih bertenaga Malex seakan lari daripada genre rock yang mereka bawakan sebelum ini.  Ternyata di bawah panji power/speed metal Malex telah melebarkan sayapnya hingga ke luar negara serta beraksi Indonesia, Thailand dan Malaysia.

“Khayalan Illusi” terus menjadi penanda aras bahawa Malex tidak pernah mati, album yang diterbitkan pada tahun 2014 ini turut mendapat kerjasama Muzik Box Production sepertimana album “Wira Cosmo”.

Narsamum bukanlah nama yang asing buat penggemar muzik underground tempatan.  Band yang ditubuhkan pada tahun 1990 ini terlebih dahulu menggunakan nama Blaspherion.  Namun ianya terpaksa di tukar kerana nama yang sama turut di guna oleh kumpulan yang berasal daripada Belgium.

Bagi membuktikan bahawa kewujudan mereka bukanlah hanya sekadar memeriahkan persada muzik bawah tanah tempatan, maka pada tahun 1993 Narsamum mengeluarkan demo pertama mereka yang berjudul ‘Blasphemy..Revenge..Reincarnation”. Tidak hadir dengan demo pertama, malah Narsamum turut mengukir sejarah tersendiri kerana menjadi antara kumpulan terawal daripada Johor yang berjaya melahirkan demo.

‘Blasphemy..Revenge..Reincarnation” seakan membuka ruang litup penggemar muzik bawah tanah tempatan khususnya dan fanatika ekstrim metal di Johor khasnya kerana jenama Narsamum terus mendapat liputan yang luas di dalam fanzine tempatan dan luar negara malah turut mendapat undangan untuk beraksi di gigs-gigs yang di adakan di Malaysia dan Singapura.

Narsamun
Narsamun

Dengan jolokan Dewa Death Metal Selatan, kewujudan Narsamum telah dihidu oleh pihak Muzik Box Production.  Sebuah album mini yang berjudul “Dream Of Death” telah dihasilkan pada tahun 2000.  Apa yang lebih membanggakan, Narsamum turut diberi peluang sebagai opening act untuk beraksi di konsert Napalm Death yang telah di adakan pada 1 April 2001.

Narsamum juga turut terlibat dalam beberapa siri kompilasi yang telah diriliskan oleh label tempatan, antaranya adalah Panggilan Pulau Puaka 2 (Psychic Scream 1999), Sengatan Selatan (Muzik Box Production 2002), Metalik Klinik Asia (Rotorcops 2003) dan Tribute To Cromok (EMI 2007).

Penghujung tahun 2016 ini Athotorgh, Larrong, Malex dan Narsamum bakal beraksi di atas satu pentas di Hard Rock Cafe Melaka pada 30 Disember.  Peminat yang ingin menyaksikan kehebatan jentera pelbagai genre ini boleh mendapatkan tiket yang berharga RM50 yang kini telah mula di jual.

Buat julung kalinya keempat-empat jentera ini akan beraksi pada jam 9 malam dan berakhir pada jam 12 malam.  Sebarang pertanyaan mahupun urusan pembelian tiket boleh layari   www.hardrock.com/melaka  atau datang sendiri ke Hard Rock Café Melaka.  Untuk maklumat lanjut bolehlah menghubungi enquiries@hardrockcafe-melaka.com atau hubungi talian +606 2925188.  Anda juga boleh menghubungi agen jualan yang sah di 019-7632115 (Fadzilmuzikbox) dan 017-2375671 (Zan Ov Kalort).

 

 

 

Check Also

PERSEMBAHAN BALET SENSASI LONDON MENAMPILKAN PENARI CILIK CEMERLANG, SOPHIA ONG DARI SELANGOR, DALAM BALLET NIGHTS KUALA LUMPUR!

Debaran semakin terasa apabila Ballet Nights mengumumkan bahawa Duta Muda Malaysia mereka, Sophia Ong, 14 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *