KUALA LUMPUR, 22 April 2025 – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Universiti Zhejiang baru-baru ini telah menandatangani Surat Hasrat (LOI) untuk bekerjasama dalam transformasi digital, ekosistem AI dan bandar pintar berdasarkan ‘Model Zhejiang’, rangka kerja transformasi tadbir urus digital yang terbukti berjaya.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata kerjasama ini strategik bagi mencapai aspirasi Malaysia untuk menjadi negara digital terkemuka di bawah Kerajaan MADANI.
“Perkongsian ini memperkukuh misi teras MDEC untuk membina ekosistem digital yang mantap yang melahirkan bakat bersedia masa hadapan, memacu inovasi dan menyokong penyelidikan termaju,” kata Anuar. Beliau juga menambah bahawa ia selari dengan agenda transformasi digital kerajaan, dengan memberi keutamaan kepada bidang-bidang penting seperti pembangunan bakat, pengurusan data yang dipertingkatkan, keselamatan AI dan bandar pintar.
Universiti Zhejiang, dengan legasi yang merentasi lebih daripada satu abad, diiktiraf secara meluas kerana peranannya dalam memupuk bakat teknologi dan memajukan inovasi AI.

Universiti ini terkenal kerana melahirkan Liang Wenfeng, pengasas DeepSeek – pelopor dalam ruang AI Generatif – dengan inovasi yang menjadikan model AI berprestasi tinggi lebih kos-efisien dan mudah diakses, mempercepatkan pendemokrasian teknologi AI di seluruh dunia.
Program pelaburan dan eksport MDEC di bawah Inisiatif Malaysia Digital telah berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang besar dan mencipta daya tarikan ketara terhadap eksport ke China.
Pada tahun 2024, syarikat-syarikat China di bawah program Malaysia Digital telah membuat komitmen pelaburan berjumlah RM11.9 bilion. Syarikat-syarikat Malaysia Digital pula telah mengeksport anggaran RM503.4 juta ke China. Antara 5 syarikat teratas mengikut nilai termasuk Vitrox Corporation Berhad, Sea Gamer Mall, Pentamaster Corporation Berhad, Inari Amerton dan Juwai-IQI Holdings, dengan sumbangan kukuh daripada industri semikonduktor, permainan dan PropTech.
“Semua komponen ini adalah penting dalam membangunkan rangkaian digital yang berjaya. Kerjasama ini akan termasuk meneroka ekosistem AI Universiti Zhejiang yang berkembang pesat, terutamanya dalam memupuk kerjasama antara kerajaan, universiti, sektor swasta serta memperkasakan bakat digital,” kata Anuar.
“Aspek-aspek ini melampaui inisiatif teknikal untuk berfungsi sebagai pemboleh strategik yang menyokong matlamat Malaysia yang lebih luas: meningkatkan daya saing digital kita, memupuk tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan dan mewujudkan bandar pintar yang inklusif dan mampan,” tambah beliau.
Malaysia berpeluang mendapat pandangan berharga tentang ‘Model Zhejiang’ dalam tadbir urus digital, yang menawarkan rangka kerja terbukti untuk mengintegrasikan inovasi digital di semua peringkat masyarakat.
“Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, perkongsian ini meletakkan asas untuk kemajuan berasaskan AI yang melangkaui lebih daripada kedua-dua negara kita,” kata Anuar. “Ia memperkukuh komitmen negara kita untuk mengukuhkan hubungan serantau dan memajukan matlamat bersama dalam transformasi digital.”
Perkembangan ini menyusuli lawatan Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping ke Malaysia pada minggu lepas yang sangat berjaya, yang termasuk memperdalam kerjasama dua hala dalam bidang digital selepas bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama menteri-menteri lain termasuk Menteri Digital Gobind Singh Deo.