Program Ramadan dan Syawal TV AlHijrah bagi 1447H/2026M tampil dengan rangka penyiaran yang lebih tersusun, menyeluruh dan berteraskan nilai keimanan serta ihsan. Dengan tema “Suburkan Iman, Sebarkan Ihsan”, stesen penyiaran Islam itu meletakkan Ramadan sebagai madrasah tarbiah yang membimbing penonton dari sahur hingga malam, sambil mengukuhkan institusi keluarga, keprihatinan sosial dan kesatuan masyarakat.
Pendekatan itu turut diselaraskan dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, hormat, ihsan dan kesejahteraan bersama. Secara keseluruhan, lebih 20 program khas merangkumi ratusan jam siaran disediakan sepanjang Ramadan dan Syawal, menjadikan TV AlHijrah antara platform penyiaran Islam yang paling komprehensif untuk musim ini.

TEMA “SUBURKAN IMAN, SEBARKAN IHSAN” JADI NADI KANDUNGAN
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris menjelaskan perancangan kandungan Ramadan dibuat lebih awal dengan analisis menyeluruh bagi memastikan setiap program kekal relevan, segar dan tidak berulang.
“Setiap tahun kita cuba tampilkan kelainan… sejurus selesai Ramadan tahun sebelumnya, pasukan kami terus membuat analisis,” katanya, sambil menegaskan corak tontonan Ramadan memerlukan strategi penyiaran yang berbeza daripada bulan biasa. Beliau turut menekankan asas kandungan stesen itu kekal berpaksikan ilmu berteraskan al-Quran dan hadis, dengan susunan siaran mengikut rentak emosi dan keperluan rohani sepanjang hari berpuasa.

LEBIH 20 PROGRAM, DARI TAZKIRAH HARIAN HINGGA PENGISIAN 10 MALAM TERAKHIR
Sebagai tunjang musim ini, program Ramadan dan Syawal TV AlHijrah mengetengahkan pengisian teras seperti Islah Ramadan yang membawakan refleksi harian untuk menyuburkan kefahaman ibadah, selain Tadarus On The Go yang mengajak masyarakat mengimarahkan malam Ramadan dengan bacaan al-Quran secara konsisten dan mudah diakses.
Budaya al-Quran turut diperkasakan menerusi Quran Challenge yang memupuk minat terhadap tajwid, hafazan dan taranum. Bagi 10 malam terakhir, pengisian seperti Malam Seribu Bulan menekankan munajat dan muhasabah, manakala Jalan Taubat membimbing penonton memahami erti taubat dengan fokus kepada amalan pengganti yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Tradisi siaran khas Khatam Ramadan turut diteruskan sebagai simbol kesatuan ummah menerusi bacaan al-Quran secara langsung selama 12 jam melibatkan qari, qariah dan personaliti tanah air. Dalam masa yang sama, dimensi dakwah dan kebajikan diserlahkan menerusi program seperti Assalamualaikum Sahur dan Assalamualaikum Asar yang menemani umat Islam pada waktu utama Ramadan dengan pengisian ibadah serta kesedaran berkongsi rezeki.
IHSAN YANG PRAKTIKAL, DRAMA YANG DEKAT DENGAN REALITI MASYARAKAT
Nilai ihsan diterjemahkan secara langsung menerusi Hijrah Prihatin Bubur Lambuk serta program berjenama Ehsan yang menekankan kebersamaan dan tanggungjawab membantu golongan memerlukan. Pada sisi penceritaan pula, program seperti Ini Kisahku, Peristiwa Penghuni Neraka dan drama bersiri Luka Dalam Rindu mengangkat tema keinsafan, kesabaran dan tanggungjawab kekeluargaan sebagai cerminan realiti masyarakat.

Pengisian santai yang membina turut disajikan menerusi Dapur Nenek yang menghidupkan nostalgia masakan warisan, sekali gus menjadi medium merapatkan hubungan keluarga menjelang berbuka. Keunikan Ramadan 2026 turut ditampilkan melalui kolaborasi Rare TV dan TV AlHijrah menerusi Rare AlHijrah: Kembara Wahyu, membawa penonton menelusuri perjalanan agung Nabi Musa AS di Mesir.
LANGIT DAKWAH: TV ALHIJRAH TELAH MELANCARKAN STRATEGI DIGITAL UNTUK GENERASI MUDA
Seiring perubahan landskap media, program Ramadan dan Syawal TV AlHijrah tahun ini turut dipacu oleh strategi digital berskala besar apabila TV AlHijrah telah melancarkan Langit Dakwah, sebuah platform yang memfokuskan kandungan dakwah eksklusif untuk media sosial dan platform digital.
Menurut Namanzee, realiti hari ini memperlihatkan golongan muda lebih cepat mencari kandungan dakwah di platform digital berbanding televisyen. Justeru, Langit Dakwah dibangunkan bukan sekadar potongan program TV, sebaliknya kandungan yang memang direka khusus untuk Facebook, TikTok, Instagram, YouTube dan platform digital lain. Antara format utama ialah kandungan ringkas satu hingga tiga minit melalui konsep Ramadan Quick Drop yang lebih padat, terus kepada mesej, dan serasi dengan budaya tontonan digital.

TV AlHijrah turut menyasarkan peningkatan sekurang-kurangnya 10 peratus prestasi tontonan dan capaian merentasi TV serta digital, selepas mencatat kedudukan Top 3 tontonan mingguan pada awal Ramadan tahun lalu. Aplikasi AlHijrah Plus juga dilaporkan telah mencecah sekitar 270,000 muat turun, dengan pelaburan tambahan diberikan untuk kandungan digital.
SYAWAL 1447H TERUSKAN KESINAMBUNGAN, “ERATKAN KASIH, BERTAUT SAYANG”
Memasuki Syawal, TV AlHijrah meneruskan kesinambungan nilai Ramadan dengan penekanan kepada penyatuan, kemaafan dan kasih sayang menerusi pendekatan “Eratkan Kasih, Bertaut Sayang.” Program khas Salam Lebaran Raya membawakan ucapan Aidilfitri dari perantauan yang diserikan dengan takbir dan lagu-lagu raya sebagai simbol kesatuan hati umat Islam.

Pengisian Syawal turut diperkaya dengan telefilem seperti Menantu Datuk Nikah Kahwin dan Surat Dari Syurga yang mengangkat tema kekeluargaan, penerimaan serta keinsafan. Untuk penonton cilik, Jom Dengar Cerita Raya memberi fokus kepada adab berhari raya, sementara Ini Kisahku Raya mengingatkan tentang makna keluarga melalui kisah mereka yang menyambut Syawal dalam keterbatasan namun tetap penuh harapan.
Secara keseluruhan, program Ramadan dan Syawal TV AlHijrah bagi 1447H/2026M mengekalkan teras dakwah, etika penyiaran dan mesej membina, sambil memperluas capaian melalui pendekatan digital Langit Dakwah. TV AlHijrah mengajak seluruh umat Islam untuk sama-sama mengimarahkan siaran khas musim ini, memperkukuh iman, menyemai ihsan dan membina ummah yang berilmu, berakhlak serta berkasih sayang.
Kredit Foto : Novtic
Selebriti Online Portal Hiburan Dan Gaya Hidup Malaysia