Program Da’i yang mengetengahkan golongan muda dalam berkebolehan untuk berdakwah secara berhikmah ini telah memulakan persaingan Pendakwah Milenia sejak 2 Februari 2013 dengan 12 finalis. Selepas berjaya mengharungi cabaran Da’i sepanjang 13 minggu, kini finalis Nor Adibah Binti Rozain dinobatkan sebagai juara program Da’i musim pertama selepas mengenepikan finalis Mohamad Azamudin Bin Zainal, Muhammad Tajdid Hadhari Bin Romli!
Bersiaran secara langsung dari Studio Glenmarie NTV7, Shah Alam, acara kemuncak Da’i diserikan dengan penampilan istimewa daripada kumpulan nasyid UNIC dengan diiringi oleh adik-adik Qhasidah dari Kelab Berselawat Anak-Anak As Sidiq menerusi lagu Ya Hana Na sebagai pembuka tirai petang ini sebelum diselang-seli dengan persembahan penentu juara Da’i Pendakwah Milenia.
Program ini menampilkan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin sebagai pengacara program untuk musim ini. Sementara itu, beliau turut ditemani dua rakan seperjuangan iaitu Mohd Zhafran Mohd Zainuldin dan Muhamad Hilmi Idris yang bertindak mengendalikan segmen khas mingguan. Manakala panel juri tetap pula menampilkan salah satu ikon pengacaraan yang tidak asing lagi iaitu Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail bersama Al-Fadhil Ustaz Sharhan Shafie yang bertanggungjawab menilai keterampilan semasa peserta dan pemarkahan berdasarkan tugasan yang diberikan.
Bagi pusingan kemuncak ini, segala hujah dan teknik penyampaian finalis turut diperhati dan dirumuskan oleh dua juri jemputan iaitu Pensyarah Kanan di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Ustaz Roslan Bin Mohamed dan Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali.
Juara Da’i musim pertama bakal membawa pulang wang tunai RM50,000. Sementara itu, dua finalis yang tidak balik dengan tangan kosong dengan menerima wang tunai RM5,000. Di samping, ketiga-tiga finalis turut menerima sebuah trofi, sijil penyertaan, pakej umrah selama 12 hari 10 malam untuk dua orang, jam tangan tawaf jenama Castita, baucar Killiney Kopitiam bernilai RM200, baucar Hadramawt Palace bernilai RM350, hamper sumbangan Al Haddad bernilai RM200 dan pakej percutian untuk dua orang di Seri Chenang Resort & Spa Langkawi “Rumah Terangganu” Villa yang bernilai RM3,600.