AirAsia kekal mansuh surcaj bahan api

AIRASIA BIG FIXED POINTS

AirAsia, pengendali penerbangan tambah rendah akan mengekalkan langkah pemansuhan surcaj bahan api bagi semua syarikat penerbangan dalam kumpulan itu walaupun harga minyak global meningkat ketika ini.

Pengerusi Eksekutif yang juga Pengasas Bersama, Datuk Kamarudin Meranun, berkata pemansuhan yang bermula 26 Januari lalu akan terus dikekalkan, jika tiada sebarang kenaikan mendadak yang berterusan sepanjang tahun ini.

Pemansuhan surcaj bahan api sejajar dengan hasrat AirAsia menawarkan tambang rendah untuk semua penerbangan milik syarikat itu.

“Ketika ini, kami tidak bercadang mengenakan semula surcaj bahan api melainkan ada kenaikan besar dan berterusan pada masa depan. Buat masa ini, kami kekal dengan langkah yang ditawarkan kepada pelanggan AirAsia,” katanya selepas melancarkan AirAsia BIG Fixed Points, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia BIG, Alice Goh.

Januari lalu, AirAsia mengumumkan pelupusan surcaj bahan api untuk penerbangan domestik dan jarak jauh termasuk AirAsia X, Thai AirAsia X dan Indonesia AirAsia X, selaras penurunan harga minyak global.

Sementara itu, AirAsia memperkenalkan BIG Fixed Points atau mata tetap AirAsia BIG bagi membolehkan 12 juta ahlinya menebus penerbangan syarikat itu.

BIG Fixed Points membolehkan pelanggannya mengetahui berapa jauh penerbangan yang boleh ditebus dengan mata BIG yang diterima berdasarkan durasi penerbangan.

BIG Fixed Points bermula daripada 4,500 mata BIG untuk penerbangan kurang dari satu jam hingga 30,000 mata BIG bagi penerbangan lebih enam jam.

Dengan pengenalan BIG Fixed Points, AirAsia menyasar untuk mengumpul keseluruhan 13 juta ahli kad BIG menjelang akhir tahun ini, meningkat dari 12 juta ahli ketika ini.

“Daripada 12 juta ahli yang direkodkan, sekitar dua hingga tiga juta adalah ahli aktif. Namun untuk menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan kad BIG dan perkhidmatan penerbangan AirAsia, kami akan menggiatkan publisiti dan pendedahan kepada pelanggan mengenai manfaat kad ini,” katanya.

Sementara itu, Alice berkata, penebusan penerbangan AirAsia dengan BIG Fixed Points memberikan pelanggannya lebih banyak kemudahan dan nilai tambah apabila menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat itu.

“Program AirAsia BIG Loyalty membolehkan BIG Shots mendapatkan mata BIG bagi semua entiti di bawah syarikat Kumpulan Tune seperti AirAsia, Tune Hotels dan Tune Talk.

“Selain itu, terdapat lebih 100 BIG Loyalty Partners di seluruh rantau ini termasuk PETRONAS, Maybank, CIMB Niaga, Citibank, WCT Holdings Bhd (Paradigm Mall & gateway@klia2), Agoda, Hilton Worldwide, Bank of the Philippines Islands (BPI), Starhub, DBS Bank, dan Bangkok Bank,” katanya.

Sempena pelancaran baharu itu, AirAsia BIG menganjurkan penebusan istimewa di mana BIG Shots yang menebus penerbangan BIG Fixed Points akan diberi ganjaran penerbangan percuma sehala mulai esok hingga 10 April.

Sumber : Berita Harian

Check Also

Pertunjukan Cahaya dan Bunyi di JBL Rewind Revolution

JBL®, jenama audio gaya hidup terkenal di bawah Harman International, memperkenalkan “JBL Rewind Revolution Roadshow” …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *