Album ‘BELAGU’ Dayang Nurfaizah Kini Telah Berada Di Pelantar DIgital

Selepas 15 tahun melancarkan album kontemporari klasik ‘Kasih’ pada tahun 2005, Dayang Nurfaizah hari ini melancarkan album studio kesembilannya BELAGU yang menyaksikan rakaman semula lagu-lagu Melayu klasik. Dayang menganggap BELAGU adalah sebuah projek khas bagi berkongsi intrepetasinya dalam menyampaikan lagu Melayu malar segar. Selain boleh didengari di semua platform digital hari ini, BELAGU turut hadir dalam bentuk cakera padat (CD) edisi terhad dan menyaksikan pra-tempahan di dayangnurfaizah.com untuk CD tersebut sudah pun habis dijual.

Album yang dibarisi lapan buah lagu ini merupakan sebuah naskhah yang cukup peribadi bagi penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini, malah judul BELAGU itu adalah datang dari ilhamnya sendiri. BELAGU adalah perkataan yang diambil dari dialek Melayu Sarawak yang membawa maksud menyanyi. BELAGU itu ringkas namun cukup sempurna menterjemah dan menceritakan tentang alunan suara Dayang dalam melengkapkan album ini. BELAGU adalah satu penghormatan juga penghargaan kepada lagu-lagu klasik. Diterbit dan disusun muziknya oleh penerbit berpengaruh Aubrey Suwito dan dipersembahkan oleh Dayang dalam alunan tradisional yang tersendiri, BELAGU menyajikan karya klasik Melayu dalam persembahan yang lebih segar.

BELAGU disempurnakan dengan lapan trak yang mana lagu TUDUNG PERIUK telah dilancarkan sejak Januari lalu menerusi platform digital. Sejak dilancarkan TUDUNG PERIUK telah mendapat respons positif dari pengkritik muzik, media mahupun peminat muzik. Malah TUDUNG PERIUK berjaya menduduki tangga kedua di carta iTunes Malaysia. Selain TUDUNG PERIUK, album ini turut disempurnakan dengan tujuh lagi lagu iaitu, JIKALAU ABANG MERINDU, MALAM KU BERMIMPI, TAK SEINDAH WAJAH, TARI TUALANG TIGA, DIKIRIM JANGAN DIPESAN JANGAN, KENANG DAKU DALAM DOAMU dan juga sebuah lagu duet bersama Hael Husaini, GURINDAM JIWA.

Keistimewaan yang mahu diketengahkan oleh BELAGU tidak hanya pada susunan muziknya namun juga pada proses rakamannya sendiri. Dayang mahu mengalami sendiri bagaimana merakamkan lagu dengan iringan muzik secara lansung lantas mencetus idea untuk dia ‘membawa’ studio rakaman ke ruang yang lebih besar. Berpandukan pengalamannya merakamkan lagu-lagu di studio sebelum ini, kebiasaannya penerbit akan memintanya menyanyikan beberapa rangkap berulang-ulang hingga semua berpuas hati.

Menurutnya, dia tidak mahu mengulang cara sedemikian pada album yang dianggap cukup istimewa ini. Dayang mahukan ‘mood’ lagu yang dipersembahkan mengalir bagaikan air agar emosi penyampaiannya sampai kepada yang mendengar. Dia cuba menghidupkan semula cara orang-orang dulu merakamkan lagu, yakni ditemani pemuzik-pemuzik secara langsung.

Dalam merealisasikan visinya untuk album ini, Dayang mendapatkan sentuhan magis Aubrey Suwito. Aubrey pula berpendapat, lamaran Dayang untuk dia menerbitkan album ini bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Impian menerbitkan album lagu-lagu klasik seperti BELAGU adalah antara impian yang sudah sekian lama dipendam. Aubrey juga menganggap pengalaman berkolaborasi album ini bersama Dayang juga satu pengalaman yang ‘dahsyat’. Menurut Aubrey, dalam menyusun muzik untuk BELAGU dia tidak mahu melakukan gubahan yang akan mengikis keaslian lagu asal. Hajatnya hanya mahu memperindahkan keaslian dan jiwa lagu-lagu klasik menggunakan teknologi hari ini.

“Dayang berharap semua peminat Dayang akan menghargai album ini dan menerima mesej yang mahu Dayang sampaikan. Dayang mahu semua pendengar khususnya generasi muda mengenali lantas menghargai khazanah lagu-lagu klasik Melayu kita.”

“Jika kita sendiri tidak mengangkat warisan ini, lambat-laun ia akan berkubur begitu sahaja. Dayang anggap penghasilan album ini bukan saja satu penghargaan kepada orang-orang lama tapi juga sebagai satu tanggungjawab sebagai anak seni.”

BELAGU diterbitkan oleh syarikat produksi milik Dayang Nurfaizah, DN & AD Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia. Album ini boleh dinikmati secara digital sekarang di platform muzik maya utama seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBox, Deezer dan Joox.

Check Also

ROCK FEST 2024 MENCATAT KEJAYAAN CEMERLANG DENGAN KEHADIRAN PENUH

Rock Fest 2024, sebuah konsert rock yang menampilkan empat kumpulan veteran tempatan, telah berjaya mencatatkan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *