Album kompilasi “Ella #Throwback

ELLA #THROWBACK

Sebagai Ratu Rock Malaysia yang mempunyai pengikut yang ramai, Warner Music Malaysia kini menampilkan sebuah lagi album kompilasi Ella yang menggabungkan lagu-lagu terbaik Ella sepanjang beliau bergelar sebagai seorang penyanyi yang berjudul “Ella #Throwback”. Perkataan throwback dipilih sesuai dengan trend semasa yang sering diguna pakai oleh penggemar media sosial untuk mengimbau kenangan atau memori yang lepas. Lagu-lagu di dalam album ini juga pastinya akan menggamit semula kenangan kita semua terutama sekali kepada mereka yang membesar dengan lagu-lagu Ella.

Ella yang mula menempah nama di industri muzik tanah air sejak tahun 1990-an telah menghasilkan banyak lagu-lagu hits rock terbaik seperti ‘Permata Biru’, ‘Layar Impian’, ‘Kesal’, dan ‘Sembilu’. Memulakan karier nyanyiannya sejurus menamatkan alam persekolahan, Ella menyertai kumpulan The Boys dan merakamkan suara buat pertama kali pada tahun 1986, di saat kegemilangan muzik rock di Malaysia bermula. Selepas menghasilkan 2 buah album bersama The Boys, Ella mengambil langkah berani untuk muncul sebagai penyanyi solo pada tahun 1989 dan tampil dengan album hit pertama bertajuk “Pengemis Cinta” yang menampilkan lagu-lagu hit seperti ‘Pengemis Cinta’ dan ‘Permata Biru’.

Zaman kemuncak populariti Ella bermula pada tahun 1992, dimana Ella menerbitkan sebuah album bersama EMI yang berjudul “30110” dimana album tersebut telah berjaya mencipta sejarah sebagai album pertama yang mencapai jualan tertinggi dalam masa yang singkat. Pada tahun 1994 pula adalah tahun yang paling bermakna dalam karier Ella selepas hampir sedekad bergelar anak seni dimana beliau telah berjaya merakamkan sebuah album iaitu “Ella USA”. Album “Ella USA” adalah album yang dirakamkan penuh di Amerika Syarikat. Ia sekaligus telah menjadikan Ella sebagai penyanyi Malaysia pertama yang berjaya merakamkan album penuh di sana. Sepanjang kariernya juga, Ella pernah bergandingan bersama beberapa nama penyanyi besar seperti Datuk Ramli Sarip, Deddy Dores, Awie, Tam Spider, Slash dan ramai lagi. Bakat Ella bukan sahaja terpamer di pentas-pentas atau pun di corong-corong radio, bahkan Ella pernah mengembangkan sayap bakatnya di layar perak.

Salah satu kehebatan Ratu Rock Malaysia ini juga boleh dilihat pada tahun 1998 apabila Malaysia menjadi tuan rumah untuk acara Sukan Komanwel 1998 dan Ella telah dipilih untuk menyanyikan lagu tema untuk acara tersebut yang bertajuk ‘Standing In The Eyes Of The World’. Ella merupakan satu-satunya artis Malaysia yang dipilih untuk menjadi penyanyi bagi lagu tema tersebut.

Album kompilasi “Ella #Throwback” ini mengandungi lagu-lagu yang hebat seperti ‘Mendung Tak Bererti Hujan’ nyanyian bersama Deddy Dores, ‘Tiada Tangis Lagi’, ‘Gemilang’, ‘Terminal Cinta’ dan juga mempunyai hasil karya dari penulis lirik dan komposer yang termahsyur di tanah air seperti Ajai, Fauzi Marzuki, Datuk M Nasir, Habsah Hassan, dan ramai lagi.  Untuk lagu ‘Gemilang’ ia telah dikarang oleh Kyoji Yamamoto di mana Ella telah bergabung dengan komposer Jepun untuk menghasilkan lagu tersebut.

Tidak dinafikan bahawa terdapat banyak album kompilasi Ella yang sudah dipasarkan sebelum ini, namun atas permintaan yang amat memberangsangkan dan Ella sendiri mempunyai banyak lagu hits, pihak Warner Music Malaysia dengan berbesar hati menerbitkan satu lagi album kompilasi yang lain dari sebelum ini.

Album ini merupakan album kompilasi yang memuatkan lagu-lagu hit Ella dengan menampilkan 32 buah lagu yang diambil daripada album pertama beliau sehinggalah single terbaru beliau yang telah dirakam pada tahun 2013 seperti ‘Mereka Di Depan Kita’, ‘Permaisuri’ nyanyian bersama Ajai dan ‘Chinta Dulu Kala’ nyanyian bersama Azlan Typewritter.

Album “Ella #Throwback” ini merupakan satu lagi edaran Warner Music (M) Sdn Bhd dan boleh didapati dengan harga RM29.90.

Senarai lagu CD 1

  1. Permata Biru
  2. Layar Impian
  3. Kesal
  4. Mereka Yang Di Depan Kita
  5. Hati Di Padu
  6. Dunia Kehidupan
  7. Kau Yang Pertama
  8. Sembilu
  9. Semarak Cinta
  10. Rama Rama
  11. Puteri Kota
  12. Aku Tetap Wanita
  13. Cinta Selembut Sutera
  14. Kembara Kita – Bersama Datuk Ramli Sarip
  15. Prinsip
  16. Anak Patung

Senarai Lagu CD 2

  1. Mendung Tak Bererti Hujan – Bersama Deddy Dores
  2. Cinta Dusta
  3. Tiada Tangis Lagi
  4. Ku Penanti Setia
  5. Di Percintaan Itu
  6. Gemilang
  7. Pengemis Cinta
  8. Terminal Cinta
  9. Standing In The Eyes Of The World
  10. Permaisuri – Bersama Ajai
  11. Cinta Mawar Putih
  12. Sepi Sekuntum Mawar Merah
  13. Chinta Dulu Kala – Bersama Azlan Typewriter
  14. Di Perlumbaan Ini
  15. Puteri Kota (Remix)
  16. Permata Biru (Remix)

Check Also

The Rock Emperor Penang Chapter Sukses Hiburkan 8,000 Penonton, Wings Bakal Bawa Konsert Ke Pantai Timur

Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang menjadi saksi 8,000 peminat rock pulang dengan senyuman selepas …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *