‘ARENA CAHAYA’ Lagu Tema Filem OLABOLA

Selepas kejayaan filem The Journey pada tahun 2014, kini pengarahnya Chiu Keng Guan kembali dengan buah tangan terbarunya, OlaBola. Judulnya sahaja sudah cukup untuk membuatkan penonton sedia maklum tentang intipati penceritaannya adalah sukan bola sepak. Bagi menambahkan sintimen emosi dalam filem ini, sebuah lagu telah dihasilkan untuk dijadi pelengkap. Istimewanya, penyanyi dan penulis lagu yang kini sedang menempah nama di negara Amerika Syarikat, Zee Avi telah diangkat sebagai penyanyi lagu tema utama filem OlaBola yang bertajuk ‘Arena Cahaya’.

Arena Cahaya telah dihasilkan oleh Zee bersama sahabat baiknya, Rendra Zawawi yang juga kini berada di Amerika Syarikat. Zee bukan sahaja menyanyikan lagu ini tetapi dia turut terbabit dalam susunan muzik.

Menurut Zee, beliau berasa teruja dan berbesar hati apabila diberi peluang untuk bekerjasama dengan pengarah berbakat besar, Chiu. “Sememangnya saya amat meminati hasil-hasil karya Chiu. Apabila Chiu menghubungi saya melalui laman sosial Facebook dan meminta saya untuk menghasilkan lagu tema utama filem beliau, saya terus bersetuju tanpa berfikir panjang”.

“Lagu ini telah ditulis dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris bagi menggambarkan negara Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa. Saya berharap agar lagu ini mampu memupuk semangat dan mengembalikan sorak juang rakyat Malaysia,” tambah Zee lagi.

Pengarah filem OlaBola, Chiu Keng Guan berkata pemilihan Zee sebagai penyanyi lagu tema utama filem OlaBola adalah kerana bakatnya dalam menghasilkan lagu yang segar dan mengikuti trend semasa. Tambahan pula, kehadiran Zee dalam industri muzik tanah air sememangnya diterima oleh peminat di Malaysia. Chiu juga mengkagumi perjalanan karier Zee dalam industi muzik di mana Zee bermula hanya dengan video nyanyian menerusi laman YouTube sehingga berjaya menjadi artis Malaysia pertama yang menembusi carta US Billboard Hot 200 dan itu ternyata menjadi inspirasi buat semua.

Sewaktu sesi pembikinan lagu ini, Zee telah pulang ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Chiu bagi menonton dan menghayati filem OlaBola. Meskipun hanya menyaksikan sedutan klip dari filem itu, Zee akui bahawa filem ini berjaya membuat hatinya tersentuh dengan jalan cerita serta lakonan mantap oleh setiap pelakon dan itu memberi dorongan buatnya untuk menulis sebuah lagu yang mampu menterjemahkan sentimen filem tersebut.

Pembikinan lagu Arena Cahaya ini mengambil tempoh masa satu bulan dan lagu ini dihasilkan dengan lirik yang penuh makna dan mampu menyentuh emosi. Menariknya, apabila kali pertama Chiu mendengar lagu ini setelah ia dihasilkan, Chiu terus berpuas hati tanpa ada perubah lirik serta alunan muzik dan merasakan lagu ini sememangnya sinonim dengan filemnya.

Zee Avi

Zee yang juga merupakan salah seorang peminat pasukan bola sepak negeri Sarawak, yakin bahawa filem OlaBola bakal menjadi sebuah filem terbaik dan mampu mencipta fenomenanya tersendiri. Dia juga berharap agar lagu Arena Cahaya akan diterima bukan sahaja oleh peminat filem ini malah semua seluruh rakyat Malaysia.

Lagu Arena Cahaya akan mula dimainkan di radio bermula pada hari ini menerusi radio ERA FM, Sinar FM, hitz FM, MIX fm, Lite FM, THR Gegar, THR Raaga, MY FM dan MELODY FM.

OlaBola yang diilhamkan dari peristiwa sebenar ini memaparkan semangat juang sebuah pasukan bola sepak yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam kesungguhan untuk mengharumkan nama negara. Filem bergenre drama ini juga turut mengetengahkan nilai-nilai perpaduan yang mampu mendorong rakyat Malaysia sama-sama mencapai impian.

OlaBola bakal menemui penonton di layar perak pada awal tahun 2016. Filem ini diterbitkan oleh Astro Shaw dan produksi oleh Woo Hoo Pictures. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.olabola.tv dan ikuti Instagram olabola.tv untuk berita dan informasi terkini.

 

Check Also

Astro Persembahkan Drama ‘Berbahagi Suami’ – Menyingkap Realiti Poligami Dari Kaca Mata Isteri Kedua

Astro, peneraju utama hiburan di Malaysia, kembali dengan drama terbaharu berkisarkan konflik rumahtangga bertajuk ‘Berbahagi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *