Astro Oasis Perkenal 11 Calon Ustazah Pilihan

 

[media-credit name=”Peserta Ustazah Pilihan” align=”aligncenter” width=”600″][/media-credit] 

Sebelas orang calon ikon muslimah yang dicari oleh saluran gaya hidup famili Islam; Astro Oasis melalui sesi pencarian untuk mencari pelapis kepada pendakwah muda wanita menerusi program Ustazah Pilihan telahpun dikenal pasti dan diumumkan sewaktu sidang media pada petang ini.

Sebelas orang calon Ustazah Pilihan yang terpilih itu ialah ATIQAH [Nur ‘Atieqah Mohd Zainudin, 20, Kelantan]; AQIDAH [Nur Aqidah Mawardi, 21, Selangor]; FAIZAH [Nun Faizah Rohana Mustapha, 21, Pahang]; FATIMAH [Siti Fatimah Mad Yatim, 21, Kedah]; FIRA [Masfira Hilman, 27, Johor]; FIRUZ [Firuz Akhtar Mohamad Bohari, 27, Kuala Lumpur]; FIZAH [Siti Nor Hafidza Razali, 21, Negeri Sembilan]; HIDAYA [Nurul Hidayah Kamarudin, 26, Johor]; NINA [Nina Syazmeen Mohd Din, 23, Kuala Lumpur]; SITI [Siti Fatimah Mohd Sharif, 26, Kuala Lumpur] dan YANTI [Maryanti Ramle, 23, Melaka].

Pengurus Saluran Astro Oasis, Tuan Hj Izelan Basar berkata, “Melihat daripada sesi temu duga dan pemilihan itu sendiri, apa yang dapat kami rumuskan di sini ialah rata-rata peserta yang datang mencuba nasib di empat buah lokasi iaitu Kedah, Terengganu, Johor dan Kuala Lumpur ternyata mempunyai bakat dan memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk diketengahkan sebagai calon ikon muslimah yang berpotensi. Sebelas calon yang terbaik telahpun kami kenal pasti menerusi sesi pemilihan dan temu duga yang rumit untuk diserap dan menerima pembelajaran di bawah bimbingan Mudirah dan Mursyidah.

Sebelas orang calon Ustazah Pilihan yang terpilih datang daripada latar belakang kerjaya, keluarga, pendidikan, perwatakan, dan status yang pelbagai. Secara jujurnya, kami sendiri berasa amat berbesar hati kerana dapat memberikan peluang yang setara kepada kaum hawa menerusi platform yang kami miliki untuk mereka mengembangkan bakat dalam aktiviti dakwah dengan pendedahan yang lebih kontemporari bagi menjadi pelapis pendakwah sejati generasi baru yang disegani,” jelas Haji Izelan.

Rangkaian program-program Ustazah Pilihan akan mula bersiaran di Astro Oasis (saluran 106) melalui Ustazah Pilihan: Pencarian pada 22 dan 29 September 2011, jam 9.00 malam yang akan memaparkan senario menarik yang berlaku di sepanjang sesi pemilihan yang berlangsung di kesemua lokasi yang terlibat serta sesi pengenalan barisan calon terpilih.

Penonton juga dapat menyaksikan bagaimana kesemua calon-calon Ustazah Pilihan yang terpilih ini mengikuti kelas-kelas dan aktiviti-aktiviti mengikut kaedah dan metadologi yang disediakan di bawah pimpinan dan pemerhatian khusus Mudirah (pengetua) dan Mursyidah (tenaga pengajar) melalui program Ustazah Pilihan: Detik pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.50 petang bermula 3 Oktober 2011.

Pada setiap minggu, calon-calon Ustazah Pilihan kemudiannya akan disatukan di dalam program Ustazah Pilihan yang akan bersiaran pada setiap hari Khamis, jam 9.00 malam bermula 6 Oktober 2011. Program ini bakal menentukan nasib calon-calon Ustazah Pilihan sama ada mereka akan terus diserap dan dibimbing bagi menjadi seorang ikon muslimah yang berpotensi atau mengambil jalan berbeza.

Untuk mengetahui segala informasi terkini seperti maklumat lengkap mengenai program Ustazah Pilihan, berita-berita tentang aktiviti terkini, gambar dan video eksklusif dan menarik, sila layari laman web rasmi di http://www.ustazahpilihan.com.my atau laman Facebook rasmi di http://www.facebook.com/UstazahPilihan106 ataupun laman Twitter rasmi di http://twitter.com/UstazahPilihan.

Ustazah Pilihan merupakan sebuah siri pencarian terbaru Astro Oasis untuk mengenal pasti para muslimah yang akan dibentuk menjadi seorang ikon muslimah yang sejati. Ikon muslimah yang dimaksudkan merangkumi segala aspek kehidupan seperti pendidik, pembimbing dan juga pemimpin masyarakat. Ustazah Pilihan akan memaparkan kepentingan memikul tanggungjawab sebagai seorang wanita Islam yang bukan sahaja berperanan sebagai seorang isteri atau ibu, malahan peranan sebagai pendidik, pembentuk dan pemimpin generasi akan datang yang mempunyai kebolehan berkomunikasi, pengucapan, pertuturan serta dayafikir yang cukup baik dan matang.

Tiga peneraju utama yang berperanan sebagai pembimbing dan penasihat dalam misi menyerlahkan ikon Muslimah berpotensi ini bakal dipimpin Dr Robiah K Hamzah sebagai Mudirah (pengetua) serta dibantu oleh dua orang Mursyidah (tenaga pengajar) iaitu Prof Dr Muhaya Mohamad dan Ustazah Zawiah Hassan.

Program Ustazah Pilihan ini juga bakal menampilkan Siti Rohani Surani yang juga merupakan penyampai radio bagi saluran IKIM sebagai pengacara untuk musim ini.

Haji Izelan turut mengulas, “Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi perhargaan kepada pihak Bank Islam atas kesudian menjadi penaja utama dengan kerjasama Al-Riyadh Travel and Tours. Sesungguhnya, kerjasama dan sokongan yang ditunjukkan daripada pelbagai pihak ini amat bermakna dan menyuntik semangat kami untuk terus berusaha menerbitkan program-program kerohanian seperti ini.”

Dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Astro.

Check Also

Ratusan Pelabur Menjadi Mangsa Penipuan Skim Pelaburan oleh Seorang “Datuk Wira”

Seorang pelabur British yang ditipu melebihi RM60 juta oleh seorang ahli perniagaan Malaysia bergelar “Datuk …