Betamek Berhad (“Betamek” atau “Syarikat”), sebuah Pengeluar Rekaan Asal (“ODM”) dan peneraju dalam perkhidmatan pembuatan elektronik (“EMS”) untuk industri automotif, hari ini mencatat satu pencapaian penting dengan pelancaran rasmi Pusat Penyelidikan & Pembangunan (“R&D”) baharu di Rawang, Selangor. Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (“MITI”) Malaysia, sebagai penghargaan terhadap sumbangan Betamek dalam memperkukuh landskap teknologi automotif negara.
Penubuhan Pusat R&D yang canggih ini merupakan langkah strategik Betamek dalam memperkasa keupayaan inovasi tempatan serta membangunkan teknologi automotif generasi baharu. Dilengkapi dengan makmal berteknologi tinggi dan ruang kerja kolaboratif, kemudahan ini bertujuan mempercepatkan penyelidikan dalam bidang telematik, aplikasi mobiliti berasaskan IoT, dan penyelesaian sensor maju yang memenuhi keperluan industri automotif yang semakin berkembang.

Pengembangan R&D Betamek ini sejajar dengan Dasar Automotif Nasional (“NAP”) 2020, yang menyasarkan Malaysia sebagai hab penyelidikan, pembangunan, dan inovasi automotif serantau. Dengan memanfaatkan kemajuan terkini dalam elektronik automotif, fasiliti baharu ini bakal menjadi pemangkin pertumbuhan industri, serta menggalakkan kerjasama dengan pihak berkepentingan utama termasuk pengeluar automotif, rakan teknologi, dan institusi akademik.

Pengerusi Betamek, Encik Ahmad Subri bin Abdullah, berkata, “Hari ini bukan sekadar perasmian sebuah bangunan baharu, tetapi adalah manifestasi visi Betamek dalam memacu kecemerlangan teknologi dalam sektor automotif Malaysia. Dengan pelancaran rasmi fasiliti R&D yang canggih ini, kami menegaskan komitmen kami dalam memacu inovasi, menyokong aspirasi automotif negara, dan memberikan impak yang berpanjangan kepada industri. Ini bukan sahaja satu pencapaian bagi Betamek, tetapi juga satu langkah besar untuk Malaysia dalam usaha menjadi peneraju teknologi automotif.”

Dalam ucapannya, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz memuji usaha Betamek, dengan menyatakan, “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Betamek Berhad atas komitmen mereka terhadap inovasi dan langkah berani dalam memperkukuh keupayaan industri Malaysia. Fasiliti ini bukan sahaja menandakan fasa baharu bagi syarikat, tetapi juga merupakan langkah penting dalam perjalanan Malaysia menuju ekonomi berteknologi tinggi dan bernilai tinggi.”
Seiring dengan peralihan industri automotif ke arah mobiliti pintar dan berhubung, Pusat R&D Betamek akan memainkan peranan penting dalam pembangunan sistem bantuan pemandu maju (“ADAS”), penyelesaian kesalinghubungan kenderaan, serta teknologi kokpit pintar. Fasiliti ini dijangka meningkatkan keupayaan Malaysia dalam membangunkan inovasi automotif tempatan, sekaligus memastikan pemain industri tempatan kekal berdaya saing dalam pasaran global yang pesat berubah.

Sebagai simbolik perasmian, satu plak khas telah didedahkan dan ditandatangani oleh Menteri, menandakan pelancaran rasmi Pusat R&D Betamek.
Dengan inisiatif baharu ini, Betamek terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam teknologi automotif, memacu inovasi, dan menetapkan penanda aras baharu untuk masa depan mobiliti di Malaysia dan peringkat global.
MENGENAI BETAMEK BERHAD
Betamek ialah penyedia ODM dan EMS yang mengkhusus dalam reka bentuk dan pembangunan (“D&D”), perolehan dan pembuatan elektronik serta komponen tersuai untuk industri automotif.
Syarikat ini terlibat secara utama dalam D&D serta pengeluaran produk audio kenderaan dan komponennya, termasuk sistem infotainmen kenderaan dan aksesori audio video, serta aksesori kenderaan seperti panel kawalan penghawa dingin, pengecas USB, suis cermin, soket kuasa, kamera undur, dan aksesori lain.
Untuk maklumat lanjut, layari www.betamek.com.my.