Captain America : The First Avenger

Buat peminat The Avengers, kehadiran filem ini amat dinanti-nantikan. Filem Captain America : The First Avenger sudah ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula 28 Julai 2011. Sebagai salah satu karektor superhero Marvel Comics, filem ini menceritakan asal usul Captain America dan bagaimana superhero ini memperolehi kuasa istimewanya. Setiap superhero yang ditonjolkan melalui francais The Avengers ini mempunyai cerita tersendiri mengenai kuasa istimewa yang diperolehi. Watak antagonis yang ditonjolkan juga tidak kurang hebatnya. Pertempuran antara Captain America dan Red Skull menampilkan aksi-aksi yang bersesuain dengan latar belakang filem tersebut.

Watak Captain America dilakonkan oleh Chris Evans selaku peneraju utama, serta dibantu oleh Tommy Lee Jones (Kolonel Chester Philips), Hugo Weaving (Red Skull/Johann Schmidt), Hayley Atwell (Peggy Carter), Dominic Cooper (Howard Stark), Stanley Tucci (Dr. Abraham Erskine), Toby Jones (Dr. Arnim Zola) dan ramai lagi. Berlatar belakang ketika era peperangan dunia kedua, kedua-dua pihak berlumba-lumba menghasilkan senjata terkuat demi memastikan kemenangan di pihak masing-masing. Plot filem ini mula berkembang apabila Captain Amerika tampil menyelamat tawanan peperangan serta menunjukkan keistimewaan kuasa yang diperolehi tidak sia-sia.

Filem ini mengisahkan seorang pemuda iaitu Steve Rogers (Chris Evans) yang telah memohon untuk berkhidmat sebagai tentera demi menabur bakti mempertahankan negara. Permohonan Steve telah ditolak beberapa kali atas faktor kesihatan dan fizikal yang kurang sesuai namun semangat dan keyakinan beliau tidak pernah padam. Ketika menghadiri konvensyen teknologi masa depan anjuran Stark Industries, Dr. Abraham Erskine telah terdengar perbualan Steve bersama kawannya tentang hasrat Steve untuk menyertai tentera. Akhirnya Steve berjaya diserap masuk sebagai tentera tetapi tetap dipertikaikan oleh Kolonel Chester Philips dan Peggy Carter kerana kekurangan diri Steve. Insiden di luar jangkaan ketika menjalani latihan akhirnya membuka mata Kolonel Chester dan Peggy bahawa Steve adalah orang yang sesuai untuk mengikuti sebuah  eksperimen “Super Soldier”. Bermula dari saat itu Steve bukan lagi tentera biasa dan digelar Captain America.

Apakah tugas pertama Steve Rogers selaku Captain America? Apakah keistimewaan Captain America? Saksikan sekarang di pawagam berhampiran anda.

**Tunggu sehingga ke akhir filem,anda pasti terpegun dengan kisah seterusnya**

Check Also

PERSATUAN HOTEL BAJET & BISNES MALAYSIA JALIN KERJASAMA DENGAN VENDFUN SDN. BHD

Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Vendfun Sdn. …