Chipt, sebuah syarikat kelestarian baharu dari Malaysia yang telah memenangi Cabaran Inovasi Biru UNDP/ASEAN 2024 dan geran impak Yayasan Hasanah Asian School of Business, hari ini melancarkan program cawan boleh guna semula yang pertama di rantau ASEAN. Program ini dilancarkan dengan kerjasama Iskandar Investment Berhad dan Plato Coffee di Menara IIB, Medini. Inisiatif baharu ini bertujuan untuk menangani isu sisa cawan pakai buang dengan menawarkan penyelesaian lestari kepada industri kopi. Pengasas Chipt, Dato’ Nick Boden, bersama pasukannya akan membentangkan inovasi ini di Ekspo Inovasi Ekonomi Biru ASEAN & Pemadanan Perniagaan di Jakarta bagi mendapatkan pelaburan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi serantau.

Dato’ Nick Boden selaku Pengasas Chipt berkata, “Kami amat berbangga dapat melancarkan program cawan boleh guna semula yang pertama di ASEAN. Ini merupakan satu langkah penting ke arah mewujudkan industri kopi yang lebih lestari, dan kami gembira dapat bekerjasama dengan Iskandar Investment Berhad dan Plato Coffee untuk merealisasikan perubahan yang bermakna ini.”

Puan Diyana Mohd Amin, Naib Presiden Kanan (Ketua) Kelestarian & ESG di Iskandar Investment Berhad pula menjelaskan, “Sejajar dengan pembangunan Medini Innopolis yang akan menonjolkan Kawasan Perniagaan Pusat Sifar Bersih Karbon (NZCC), Medini berhasrat untuk mentransformasi bandar ini menjadi sebuah bandar bebas karbon. Plato Coffee di Menara IIB merupakan penerima pertama yang menyambut baik inisiatif inovatif ini bersama kami. Kami berbangga dapat menyokong usaha Chipt dan mengalu-alukan lebih banyak penyelesaian inovatif ke Medini.”

Teknologi dan Faedah
Cawan Chipt dilengkapi dengan kod QR dan cip RFID yang direka khas untuk memudahkan proses pembersihan. Cawan ini 100% boleh dikitar semula dan mampu mengimbangi pelepasan CO2 daripada cawan pakai buang selepas hanya 2.6 kali penggunaan. Para pelanggan boleh menggunakan aplikasi mesra pengguna untuk urusan transaksi dan pemulangan cawan. Sebagai insentif, pelanggan akan menerima peningkatan saiz kopi percuma di Plato Coffee bagi setiap penggunaan cawan Chipt. Syarikat ini juga merancang untuk memperluaskan program cawan boleh guna semula ke lebih banyak kedai kopi dan membangunkan pakej kesetiaan bagi menggalakkan amalan mesra alam dalam kalangan pelanggan.
Manfaat Program
Program ini menawarkan pelbagai faedah kepada pihak berkepentingan:
- Kedai Kopi: Pengurangan pelepasan CO2, pengurangan sisa, dan penjimatan kos operasi
- Pekerja: Menikmati saiz minuman yang lebih besar secara percuma, produk yang lebih sihat, dan amalan sifar sisa
- Pelanggan: Sistem yang mudah digunakan, memberi ganjaran, dan mesra alam

Chipt dijadualkan untuk membentangkan penyelesaian ini di Ekspo Inovasi Ekonomi Biru ASEAN & Pemadanan Perniagaan yang dianjurkan oleh UNDP dan ASEAN dengan pembiayaan Kerajaan Jepun di Jakarta pada minggu hadapan.
Mengenai Chipt
Chipt adalah sebuah syarikat yang komited dalam menggantikan penggunaan cawan dan pembungkusan pakai buang dengan sistem pemulangan pintar yang boleh diguna semula, sekaligus mendorong pengurangan sisa. Syarikat ini telah mendapat pengiktirafan melalui anugerah seperti Cabaran Inovasi Biru ASEAN 2024 dan geran impak Yayasan Hasanah-Asian School of Business.