CSA Academy Lantik Ziana Zain Sebagai Duta Rasmi Kerana Kredibiliti, Integriti & Semangat Juang

Meyakini kredibiliti dan integriti seorang Ziana Zain yang sudah mencetak sejarah dalam dunia hiburan tempatan adalah faktor utama CSA Academy melantik pesohor seni legenda ini sebagai duta rasmi organisasi nombor satu Malaysia dalam membantu merancang kewangan yang lebih tersusun dan cemerlang serta bebas hutang.

CSA Academy juga meminjam liku perjalanan dan jerih Diva Pop ini dalam mencapai gemilang kejayaan yang dibina berbekal reputasi baik lebih dua dekad menjadi pelaku seni sebagai semangat yang diperlukan mereka untuk melakar sejarah dalam operasi yang dijalankan.

“Mengapa tidak Ziana Zain? Kami percaya sebagai rakyat Malaysia meski berbangsa India atau Cina dan tentu sahaja kaum Melayu semua kenal siapa Ziana Zain. Beliau seorang legenda.

“Penghibur yang telah menawan peminat dengan karisma dan vokalnya menerusi lagu seperti Madah Berhelah atau lakonan mantapnya dalam filem Maria Mariana, kami di CSA Academy yakin pemilihan Ziana Zain sebagai duta rasmi adalah tepat.

“Reputasi, integriti dan kredibiliti serta semangat juang yang ada dalam diri Ziana Zain adalah seiring dengan matlamat kami di CSA Academy untuk menuju kegemilangan serupa,” ujar Pengasas & Pengarah Eksekutif CSA Academy, Dr Jay Ong.

Selain Ziana, CSA Academy juga memiliki duta rasmi dalam kalangan individu berpengaruh termasuk Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan aktor berkaliber, Datuk Jalaluddin Hassan.

Pelantikan pemilik nama sebenar Siti Roziana Zin sebagai duta rasmi CSA Academy berlangsung dengan jaya di Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor pada 9 Mac 2024.

Seiring pelantikan Ziana, 55, sebagai duta rasmi CSA Academy, sebuah lagu yang menyerap roh dan perjuangan tanpa erti putus asa, Semangat Wira digubah. Semangat Wira bakal dilancarkan pada Mei 2024.

“Semangat Wira menggambarkan keseluruhan perjuangan tanpa lelah dan putus asa yang dinyanyikan Ziana Zain khusus buat seluruh ahli CSA Academy,” ujar Dr Jay lagi.

Sementara itu Ziana menyifatkan pelantikan sebagai duta rasmi CSA Academy sebagai sebuah penghormatan bukan hanya untuk dirinya tetapi beliau mempunyai tanggungjawab besar untuk menyebarkan informasi tentang pengurusan kewangan atau beban hutang yang perlu diwar-warkan kepada semua.

“Saya melihat pelantikan sebagai duta rasmi CSA Academy sebagai sebuah penghormatan yang besar bukan untuk saya secara peribadi tetapi bagaimana saya mampu mewakili, memikul tanggungjawab dan kepercayaan untuk menyebarkan informasi bagaimana kita semua mampu hidup bebas hutang melalui pengurusan kewangan yang betul bersama bantuan CSA Academy.

“Sejujurnya saya sendiri suka perkara seperti ini (mewakili CSA Academy) kerana secara tidak langsung dapat bertemu ramai orang, dapat ilmu dan pengalaman baharu terutama bagaimana menguruskan kewangan.

“Maklumlah kadang-kadang kita berbelanja tidak sepadan dengan hutang, jadi CSA Academy membantu dengan memberi ilmu bagaimana menguruskan semuanya dengan bijak.

“Dengan pelantikan saya sebagai duta rasmi CSA Academy selepas Datuk Dr Sheikh Muszaphar dan Datuk Jalaluddin Hassan, saya harap lebih ramai lagi yang akan menyertai CSA Academy.

“Tentu sahaja besar juga harapan saya dapat membantu CSA Academy mencapai matlamat untuk membuat masyarakat cakna tentang kewujudan mereka sekaligus memberi khidmat terbaik kepada yang memerlukan.

“Apa yang penting CSA Academy menjamin gaya hidup bebas hutang untuk semua ahli,” ujar Ziana Zain.

Terdahulu CSA Academy diumumkan selaku penaja utama Konsert Ziana Zain 2024 yang dijadual berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 25 Mei 2024.

Konsert Ziana Zain 2024 merupakan anjuran Anuar Zain Network Sdn Bhd dan Ziana Zain Network Sdn Bhd dengan kerjasama Altus ProHouse.

Bercakap mengenai kolaborasi mereka, Ziana berterima kasih kepada CSA Academy kerana menunaikan impian kembali mengadakan konsert selepas kali terakhir pada 2001 hampir menjadi realisasi.

Ziana sedang giat mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk memastikan dapat memberi persembahan terhebat mengalukan peminat untuk mendapatkan tiket sementara ia masih berada di pasaran.

Tiket-tiket berharga RM288 (GOLD), RM488 (PLATINUM), RM688 (DIAMOND), RM888 (VIP 2), RM1,088 (VIP 1) boleh dibeli menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my/ mulai 15 Disember 2023 jam 10.00 pagi di laman web www.ticketu.com.my/zianazain.

Pembelian tiket menggunakan sistem “Buy Now Pay Later” BNPL seperti Atome dan Shopback turut disediakan di laman rasmi pembelian tiket. Manakala untuk pembeli tiket OKU (Orang Kurang Upaya) dan pembelian tiket melebihi 50 keping boleh menghubungi hotline tiket di 01111900518.

Untuk kemudahan pembeli tiket OKU, mereka hanya boleh membeli tiket di hotline tertera. Pembeli tiket OKU boleh menghadiri konsert dengan seorang peneman.

Jangan lepaskan peluang!

Check Also

“Mereka Yang Tertewas: Kisah Perjuangan Dakwah Lebai Pa”

“Mereka Yang Tertewas” adalah sebuah adaptasi novel karya Hasanuddin MD Isa yang diadaptasi untuk filem.Filem …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *