Api pertempuran semakin membara di Dapur Tempur! Program realiti masakan keluarga yang mengandungi 8 episod ini bakal mengakhiri pencarian jaguh memasak mereka tidak lama lagi di pusingan separuh akhir. Mampukah para peserta memberi resepi masakan yang terbaik sekaligus memenangi hati juri?
Setiap episod mingguan menampilkan dua cabaran yang menguji kemahiran memasak para peserta dan akan dinilai dari segi professional oleh juri tetap Cef Adu Amran dan Sheila Rusly serta juri jemputan mingguan. Menurut Puan Khairunnisa Kamarulzaman, Pengurus Besar Pengurusan Kandungan & Siaran TV9, “Pencarian untuk pasangan pemenang yang berkualiti bermula dengan figura penting yang arif dalam dunia masakan. Chef Adu dan Sheila Rusly memainkan peranan yang sangat mustahak untuk memberi komen dan hala tuju yang sebenar kepada setiap peserta supaya mereka sentiasa berada di tahap yang tertinggi sepanjang program Dapur Tempur. Setiap nasihat atau teguran apa yang disampaikan oleh juri adalah peringatan dan ilmu yang penting untuk mengingatkan peserta supaya kekal fokus dan tidak melakukan kesilapan yang berulang. Ini adalah rancangan realiti dan tentunya akan ada saat-saat dramatik dan emosional bagin bukan sahaja peserta, bahkan penonton memberi tumpuan kepada setiap senario yang diketengahkan dalam program ini. Setiap pasangan yang dipilih menyertai program realiti ini adalah yang benar-benar mempunyai pengalaman memasak, berpengetahuan dan mahir menggunakan setiap bahan masakan. Bagi pihak TV9, kami ingin peluang ini digunakan oleh peserta sebaiknya untuk mereka menonjolkan bakat mereka dalam bidang masakan. Ini juga merupakan antara momen terbaik untuk mereka merapatkan lagi silaturahim sesama mereka sebagai ahli keluarga kerana ada di antara mereka merupakan suami isteri, ibu dan anak, biras, pak cik dan anak saudara serta adik beradik.”
Para peserta perlu menunjukkan komitmen yang tinggi kerana setiap pasangan peserta yang dipilih sememangnya terdiri daripada mereka yang sering memasak untuk hidangan seisi keluarga. Kesemua empat pasangan yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir ini perlu berhadapan dengan cabaran yang lebih hebat. Bukan senang untuk membuat pemilihan kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri. Mereka perlu bersedia dari segi mental dan fizikal ketika berhadapan dengan pesaing lain terutamanya teguran daripada juri tetap dan juri jemputan pada minggu itu.
Berikut adalah cabaran-cabaran yang telah dilalui oleh peserta dari minggu pertama sehingga minggu keenam:
EPISOD | CABARAN 1 | CABARAN 2 |
1 | Hidangan #SantaiPetangNONA | Resipi Turun Temurun (Ikan @ Ayam) |
2 | Pemanis Mulut Berasaskan Kelapa | Resipi Turun Temurun (Sotong @ Udang) |
3 | Masakan Negeri Berasaskan Daging | Menu Berasaskan Ubi |
4 | Menu Berasaskan Telur | Hidangan #PedasBerapiNONA |
5 | Menu Berasaskan Doh | Menu Berasaskan Itik |
6 | Variasi Mi (Vegetarian) | Menu Ala Barat (Ayam & Daging) |
Setelah menutup tirai minggu keenam pada hari Khamis yang lalu, medan pertempuran di Dapur Tempur menampilkan barisan peserta hebat yang layak ke pusingan separuh akhir yang terdiri daripada pasangan pak cik & anak saudara Pendekar Malaya (Mohd Haizal Ismail, 47 & Irfan Hariz S Miswandi, 20), pasangan suami isteri Masam Manis (Syed Abdul Muiz Syed Zulkifli, 38 & Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal, 31), pasangan kakak & adik Seketul Rasa (Idziatul Shima Samarudin, 42 & Muhammad Hanis Samarudin, 32), serta pasangan ibu & anak Sudap Sudip (Halifah Jaafar, 59 & Muhammad Arif Haron, 37).
Pemenang program Dapur Tempur yang dibawakan oleh Panasonic dan NONA akan membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 beserta ketuhar stim cubie Panasonic dan bekalan produk NONA selama setahun manakala naib juara pula berpeluang untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 dan periuk nasi IH Panasonic. Tempat ketiga membawa pulang mesin pembuat roti Panasonic manakala tempat keempat membawa pulang pemerah jus perlahan Panasonic. Bagi pemenang mingguan pula, mereka berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai RM500 tajaan NONA dan pemenang cabaran NONA membawa pulang hamper produk NONA bernilai RM1,000.
Adakah cabaran yang disediakan pada minggu separuh akhir lebih hangat dan lebih mencabar? Dapatkah para jaguh memasak membuktikan kemahiran mereka dihadapan barisan juri yang juga merupakan para jaguh di dapur? Jangan terlepas untuk menonton Dapur Tempur Separuh Akhir yang akan bersua pada hari Khamis, 15 Disember, jam 8.30 malam di TV9 dan strim secara langsung dalam HD di www.tonton.com.my serta YouTube TV9 Malaysia. Gunakan #dapurtempur dan filter berkonsepkan game Dapur Tempur di Instagram untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.
Ikuti media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV9Malaysia serta TikTok @TV9MalaysiaOfficial dan layari http://www.xtra.com.my/ untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV9.