DAQMIE Dilantik Sebagai Jurucakap Jus Kurma Ajwa Jenama BARRIQ

SETIAP kali menjelang Ramadan, buah kurma atau tamar pasti dicari untuk hidangan sewaktu berbuka puasa ataupun bersahur kerana kurma mengandungi serat dan segala anti-oksidan dan sekali gus ia terkandung dalam pemakanan yang sihat.

Riwayat Abu Hurairah R.A menyatakan bahawa Nabi SAW bersabda, Kurma Ajwa itu berasal dari syurga dan ia merupakan penawar daripda racun.

Kurma sangat terkenal dengan kemanisan yang mampu mengalahkan manis gula. Sebab itu kurma merupakan antara pemanis pertama yang digalakkan untuk bayi.

Kurma dapat memberikan tenaga untuk sepanjang hari walaupun hanya dengan memakan sebiji kurma. Dalam banyak jenis kurma, Ajwa yang juga dikenali sebagai Raja Kurma merupakan kurma kesukaan Nabi Muhammad SAW.

Disebabkan kurma merupakan makanan sunah, Ahmad Sabri Muhammad, 41, menjadikan jualan kurma sebagai sumber pendapatan. Sudah sembilan tahun usahawan yang berasal dari Terengganu itu menjadi saudagar kurma yang diimport dari Makkah, Arab Saudi.

Selain menjual kurma yang berkualiti, Ahmad Sabri terlintas untuk menghasilkan jus kurma pula. Idea untuk mengeluarkan jus kurma tercetus sejak dua tahun lalu dan tahun ini baru Jus Kurma Ajwa jenama Barriq berada di pasaran.

“Sejak sembilan tahun lalu, saya menjual kurma dan tahun ni baru jual jus kurma. Dari tahun lepas rancang nak keluarkan jus kurma. Nama produk jus kurma itu ialah Jus Kurma Ajwa Jenama Barriq. Dikeluarkan oleh syarikat HRS Ventures Sdn. Bhd.

“Timbul idea untuk buat jus disebabkan selepas Covid-19 melanda, banyak yang minta sebab kurma ini ada kebaikan. Kurma ini berkesan mengurangkan penyakit-penyakit yang ada sekarang ini.

“Ada kesan bila kita makan kurma ini. Masa dua tahun itu permintaannya banyak. Buah kurma ni permintaan bukan setakat musim, di luar musim pun masih ada permintaan. Dari situ saya nampak perniagaan kurma ini boleh dikembangkan,” katanya yang merupakan pengasas dan founder kepada Jus Kurma Ajwa Jenama Barriq.

Jelasnya, jika sebelum ini orang sering makan kurma Ajwa sebanyak tujuh biji sebab mengikut sunah, untuk jus juga kuantiti yang sama digunakan untuk satu botol yang isi kandungannya adalah 250 ml dengan harga RM6.30 di pasaran.

“Minuman ini boleh diminum oleh siapa saja tanpa kira bangsa kerana ia bukan pati tapi jus yang boleh terus diminum seperti air berkarbonat yang lain. Ramuan yang cukup berkah, bahan utama cuma madu dan buah kurma saja.

“Jus kurma Ajwa ini akan berada di pasaran pada 1 April ini serentak di seluruh negara. Sebelum itu, pada 29 Mac ini kita memperkenalkan produk Jus Kurma Ajwa ini dalam satu majlis serta jurucakapnya.

“Kami tawarkan harga mampu beli kerana mahu orang ramai terutamanya pengguna Muslim untuk menikmati jus kurma yang sahih sudah termaktub bahawa ia adalah makanan sunah,” katanya terus terang. Selain menjual pada harga murah, jelas Ahmad Sabri, pihaknya juga merancang untuk mengeluarkan produk yang sama tapi pada harga yang lebih murah.

Katanya untuk permulaan, jus kurma Ajwa itu akan dipasarkan dalam botol untuk kelihatan premium tapi dengan harga yagn mampu milik. Untuk masa akan datang, produk tersebut akan dijual dengan harga yang lebih murah lagi kerana pembungkusannya menggunakan plastik.

“Kalau boleh kita nak pasarkan jus kurma Ajwa ini kepada pelajar-pelajar Tahfiz, bila harga murah mereka mampu minum setiap hari jus kurma Ajwa ini selain daripada mengamalkan pemakanan kurma sahaja.

“Hasrat saya kalau boleh nak setiap hari pelajar sekolah Tahfiz minum jus kurma seperti sejenis produk minuman yang dibekalkan kepada sekolah-sekolah sebelum ini,” katanya dengan penuh semangat.

Meskipun mengetahui di pasaran sudah ada beberapa jenama yang mengeluarkan jus kurma, bapa kepada seorang anak itu tidak gentar kerana yakin dengan produknya.

“Jualan kurma dan jus kurma ini sudah ramai yang buat tapi saya tumpu pada jus dan buah kurma untuk amalan sekolah pondok dan madrasah sebenarnya.

“Kita ada kilang di Johor dan Kajang, Selangor iaitu tempat pembungkusan dan pemprosesan membuat jus. Buat masa sekarang, produk tersebut belum dijual secara atas talian hanya melalui ejen dan kedai di sekitar Johor dan Kuala Lumpur.

“Setiap negeri ada seorang ejen dan kita juga akan menjalin memorandum persefahaman (MoU) dengan pasaraya dan Koperasi Pihak Berkuasa Tempatan di setiap negeri.

“Selain ejen di seluruh negara, terdapat juga seorang ejen di Singapura dan dua lagi di Brunei. Kebanyakan ejen jus kurma Ajwa ini adalah ejen yang setia dengan saya sejak sembilan tahun lalu,” katanya yang turut mengendalikan perniagaan fabrik dan trading.

Ahmad Sabri akui yang dia sangat berhati-hati dalam memilih ejen kerana tidak mahu bekerjasama dengan orang yang tidak serius dalam pekerjaan.

“Nak cari ejen ini seperti temuduga kerja, sebab saya nak pastikan orang itu serius mahu berniaga. Ada juga yang sekadar nak mencuba, kalau boleh kita nak yang serius.

“Sebenarnya banyak dugaan dan cabaran dalam bisnes ni. Saya sudah beberapa kali diduga oleh rakan kongsi sebelum ini. Ada rakan kongsi ni bila dia nampak bisnes yang kita usahakan boleh pergi jauh, dia akan tarik diri, sedangkan kita yang keluarkan modal,” katanya yang tidak mudah mengaku kalah.

Selain jualan menerusi ejen dan di kedai terpilih serta pasaraya, dia juga telah melantik seorang duta di kalangan artis untuk menuar-uarkan tentang keistimewaan Jus Kurma Ajwa ini.

Sementara itu, Daqmie yang dilantik sebagai jurucakap Jus Kurma Ajwa Jenama Barriq itu berkata, dia bersedia memikul tanggungjawab untuk membantu Ahmad Sabri memperkenalkan produk tersebut kepada pengguna.

Penyanyi lagu Tangis Sebatang Tamar itu memberitahu, dia bersetuju menerima tawaran menjadi duta produk tersebut bukan kerana bayaran tapi lebih tertarik untuk membantu usahawan yang menjual makanan sunah.

“Sebenarnya saya telah dirisik oleh Encik Ahmad Sabri untuk menjadi duta produk ini sejak setahun lalu. Saya terima tawarannya bukan sebab dibayar mahal atau apa. Bab bayaran itu perkara kedua.

“Saya bersetuju kerana tertarik dengan produk yang dihasilkan iaitu jus kurma. Kita semua sedia maklumkan yang kurma itu adalah makanan sunah dan pasti memberi barakah kepada yang menikmatinya.

“Niat saya adalah untuk membantu dan memberi sokongan kepada usahawan Muslim yang mengeluarkan produk berkaitan dengan makanan barakah untuk kesihatan seperti kurma dan madu itu.

“Lagipun dalam keadaan sekarang kita perlukan makanan seperti itu, jadi kita kena sokong bisnes tersebut. Bila ada sokongan dan kita bantu, tentulah akan dapat kewangan,” katanya yang dilantik sebagai jurucakap untuk tempoh dua tahun.

Tambah Daqmie, disebabkan dia sudah sinonim dengan tamar, maka itu juga merupakan salah satu sebab dia bersetuju untuk bekerjasama dengan jenama tersebut.

“Menjadi jurucakap produk, macam biasalah tugas kita kena bercakap dan mempromosi kepada orang ramai tentang kelebihan dan keistimewaan produk tersebut. Semua itu boleh dilakukan menerusi komunikasi, iklan atau pemasaran.

“Insya-Allah saya akan cuba buat yang terbaik untuk melaksanakan amanah yang diberikan kepada saya itu,” katanya terus terang.

Menariknya, Daqmie juga tidak menolak kemungkinan menghasilkan lagu untuk jenama tersebut sebagai salah satu strategi pemasaran bagi memudahkan orang ramai, ejen dan stokis mengenali produk tersebut.

“Marketing paling mudah adalah menerusi lagu, jika dipinta, insya-Allah saya akan buat kerana cara itu memudahkan semua pihak yang terlibat dalam mempromosi dan menjual jus kurma Ajwa ini. Bila kita buat lagu akan memudahkan mereka menjual.

“Sebelum setuju jadi jurucakap, saya terlebih dahulu merasai jus kurma Ajwa ini. Pada saya, rasanya memang sedap dan sedia untuk diminum. Tak perlu nak bancuh-bancuh lagi. Kalau nak kurangkan manis, boleh tambah air. Tekak saya okey saja dengan rasa yang sedia ada itu,” katanya.

Check Also

The Rock Emperor Penang Chapter Sukses Hiburkan 8,000 Penonton, Wings Bakal Bawa Konsert Ke Pantai Timur

Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang menjadi saksi 8,000 peminat rock pulang dengan senyuman selepas …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *