‘DO[S]A’ Kolaborasi Mega Di Antara MALAYSIA Dengan INDONESIA

Peneraju kumpulan kandungan dan konsumer di Malaysia, Astro Malaysia bakal menampilkan sebuah mini siri Nusantara premium eksklusif bertajuk DO[S]A di platform digital, ‘on demand’ seiring dengan tayangan di televisyen menerusi salah satu saluran Melayu Astro; Astro Citra. Mini siri yang dijangka akan menemui penonton pada hujung tahun ini telah memulakan sesi penggambarannya pada bulan Julai baru-baru ini di Jakarta, Indonesia serta Kuala Lumpur, Malaysia. Salah satu kelainan mini siri ini adalah ia menawarkan penonton untuk menyaksikan kesemua 8 episod (berdurasi satu jam bagi setiap episod) di platfom ‘on demand’ secara waktu serentak (binge watching).

DO[S]A merupakan karya asal Ketua Unit Drama Premium & Filem Astro, Saniboey Mohd Ismail dan Salman Aristo, yang turut bertindak sebagai penulis skrip untuk naskhah ini. Salman, satu nama yang cukup disegani di Indonesia merupakan penulis skrip untuk karya-karya pecah panggung seperti ‘Ayat-Ayat Cinta’, ‘Laskar Pelangi’, ‘Garuda di Dadaku’ dan ‘Sang Penari’. Pencapaian terkini Salman adalah di Festival Filem Indonesia 2016 yang mana beliau telah dinobatkan anugerah Penulis Lakon Layar Terbaik untuk filem ‘Athirah’. Turut sama terlibat sebagai penulis skrip untuk karya ini adalah saudara M Rino Sarjono.

Istimewanya lagi, mini siri ini turut mendapat sentuhan daripada pengarah terbaik Indonesia 2011 iaitu Ifa Isfansyah. Ifa Isfansyah yang merupakan seorang sutradara yang begitu begitu berbakat besar dan amat dihormati di republik ini, mula menempa nama menerusi pengarahan filem-filem hebat seperti Sang Penari’, ‘Garuda Di Dadaku’ dan Pendekar Tongkat Emas’.

Selain itu, mini siri ini akan menggunakan khidmat Pengarah Fotografi terkenal, Yandi Sugandi yang sebelum ini telah melahirkan stail visual yang cukup memukau untuk karya-karya seperti ‘Ada Apa Dengan Cinta 2’, ‘Laskar Pelangi’, ‘Sang Penari’, ‘Darah Garuda’ dan banyak lagi. Pada masa yang sama, DO[S]A turut menampilkan Cecep Arif Rahman sebagai Pengarah Koreografi adegan aksi untuk melatih dan mempersiapkan para pelakon dengan disiplin silat dan koreografi seni mempertahankan diri. Cecep sebelum ini dikenali menerusi filem Indonesia ‘The Raid: Berandal’. Menerusi pengalaman dan kekuatan yang dimiliki oleh setiap pemain utama di belakang tabir DO[S]A ini, mereka menjanjikan akan memberi kelainan pada mini siri bergenre aksi ini.

DO[S]A juga dibarisi pelakon-pelakon hebat gabungan tiga buah negara; Malaysia, Indonesia dan Singapura bagi menggerakkan setiap watak dalam jalan cerita. Nama-nama yang terlibat adalah seperti Dato’ M.Nasir, Remy Ishak dan Daniella Sya dari Malaysia, Ashraf Sinclair, Roy Marten, Maudy Koesnaedi, Hannah Al Rashid, Reuben Elishama dan Tegar Satrya dari Indonesia, serta Shenty Feliziana dan Hisyam Hamid dari Singapura.

Dianggarkan sebanyak 90 peratus dari sesi penggambaran bakal dijalankan di Jakarta, melibatkan kawasan di sekitar Jakarta Barat hingga Jakarta Timur dan selebihnya adalah di lokasi-lokasi utama di sekitar Kuala Lumpur seperti Kampung Baru, Putrajaya dan Klang. Mini siri DO[S]A dijangka sarat dengan babak-babak yang mendebarkan, aksi suspen dan ganas. Namun begitu, pada masa yang sama turut diapit dengan pergolakan emosi, ikatan kekeluargaan serta bibit percintaan.

DO[S]A mengisahkan tentang empat beradik dibesarkan oleh bapa tunggal mereka, Latif (Dato’ M.Nasir), dengan nilai-nilai kesederhanaan, pegangan agama yang kuat, dan disiplin persilatan. Fuad (Ashraf Sinclair), Farid (Remy Ishak), Fahad (Hisham Hamid), dan Fara (Shenty Feliziana) hidup bersama bapa mereka dipelusuk paling sunyi Kampung Baru, Kuala Lumpur. Di situ, mereka menjalani kehidupan hampir tersembunyi daripada masyarakat, berlatih ilmu persilatan hari demi hari. Seolah-olah bersiap-siaga untuk menghadapi sesuatu. Rungutan mereka, terutama daripada Fara yang semakin memberontak langsung tidak diendahkan oleh bapa mereka. Rutin harian yang memerlukan adik-beradik ini bertumbuk, bertendang dan berhayun parang sesama sendiri akhirnya turut mewujudkan ketegangan di antara mereka di luar gelanggang.

Perhubungan keluarga ini semakin bergolak apabila Fara berkenalan dengan seorang lelaki Indonesia, Arian (Reuben Elishama), yang tiba dari Jakarta semata-mata untuk berjumpa dengan Latif. Dalam usaha Arian melembutkan hati Fara untuk membawanya bertemu dengan Latif, mereka menjadi semakin rapat. Menyedari akan hal ini, abang sulung Fara, Fuad yang seolah-olah mengetahui tujuan Arian mencari Latif menghalang Fara untuk terus bertemu dengan Arian. Fuad kemudian bertindak mengusir Arian pulang ke Jakarta. Menjanjikan bahawa Latif tidak mahu lagi ada kaitan dengan ‘orang-orang seperti Arian’.

Berang dengan tindakan Fuad, Fara bertindak mengekori Arian ke Jakarta, tanpa mengetahui bahaya yang menanti dirinya di situ. Sebaik sahaja Fara keluar daripada pintu ketibaan di lapangan terbang Jakarta, dia terus diculik, dihumban ke dalam van, lalu dikurung di dalam sebuah gudang.

Tidak mengetahui nasib adik mereka, Fuad, Farid dan Fahad dihantar Latif ke Jakarta untuk membawa adik mereka pulang. Di sana, ketiga-tiga beradik itu sering mendapati diri mereka diserang tanpa sebab yang pasti, sekaligus memaksa mereka untuk mempertahankan diri di dalam pertempuran-pertempuran yang ganas. Arian yang baru mendengar mengenai berita penculikan Fara turut berganding bahu membantu abang-abang Fara. Semakin lama mereka di Jakarta, semakin banyak yang mereka mula fahami tentang asal usul keluarga mereka dan siapa bapa mereka yang sebenarnya. Sebelum mereka sedari, mereka terjerumus di tengah-tengah pergelutan kuasa di dalam dunia kongsi gelap Jakarta. Hanya mereka yang mampu mengakhirkan perang ini, walau sebesar mana pengorbanan yang diperlukan.

*Semua video diatas dirakam dengan Canon EOS #5DMIV

Check Also

PERSEMBAHAN BALET SENSASI LONDON MENAMPILKAN PENARI CILIK CEMERLANG, SOPHIA ONG DARI SELANGOR, DALAM BALLET NIGHTS KUALA LUMPUR!

Debaran semakin terasa apabila Ballet Nights mengumumkan bahawa Duta Muda Malaysia mereka, Sophia Ong, 14 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *