RAYA CUN Bersama ELIZABETH TAN

Nama penyanyi Elizabeth Tan tidak perlu diperkenalkan lagi dalam persada muzik tanah air. Keberuntungan Elizabeth atau mesra disapa Lizzy ini apabila kebanyakan lagu yang dihasilkan berjaya diterima baik.

Malah, keunikan vokal dimiliki itu turut membuatkan Lizzy menjadi antara penyanyi wanita yang memiliki pengikut dan peminat tersendiri hingga lagu yang dilancarkan menjadi siulan anak muda.

Terbaharu, bersempena sambutan Syawal tahun ini, Lizzy menghadiahkan peminatnya dengan lagu raya berjudul Raya Cun hasil ciptaan sepenuhnya oleh Diandra Arjunaidi, Mage dan Efry Arwis.

Menariknya, lagu Raya Cun ini adalah lagu raya pertama Lizzy sepanjang lebih lapan tahun menjadi penyanyi.

Lizzy berkata, lagu Raya Cun hasil kerjasama Universal Music Malaysia dengan Lion Music Group itu sangat mesra pendengar selain ia cukup dekat dengan kehidupan semua yang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Lagu Raya Cun ni ringkas saja. Ia mengenai kecoh suasana kemeriahan di pagi raya. ‘Vibe’ lagu ni memang gembira dan kita ada memasukkan elemen penting hari raya yang mana saya berasa semua orang sudah tahu seperti baju raya, duit raya dan banyak lagi,” katanya.

Menurut Lizzy, tiada sebab untuk dia menolak untuk merakamkan lagu ini kerana menyifatkan ia lagu raya yang cukup menarik dan sesuai dengan karakter vokal dimiliki.

Meski berdepan cabaran dari segi masa, Lizzy berkata dia berusaha untuk memberikan yang terbaik sepanjang proses rakaman.

“Cabaran untuk lagu ini adalah masa. Sebenarnya agak ‘rushing’ sebab saya baharu saja menandatangani kontrak dengan Universal Music Malaysia dan Lion Music Group bulan lalu. Jadi, saya ada lebih kurang sebulan saja untuk rakamkan lagu ini dan buat video muzik sekali.

“Ketika proses rakaman pula, ia sangat ‘straightforward’. Kali kedua saya mendengar demo lagu ini, saya terus jatuh cinta dan cakap pada diri kena terima dan nyanyi. Selepas itu, terus tetapkan tarikh untuk masuk studio. Pada hari rakaman, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Bercerita mengenai video muzik (MV) lagu Raya Cun itu, Lizzy akui ia sesuatu yang menyeronokkan ditambah pula dengan konsep MV itu yang ‘happening’.

“Konsep MV lagu Raya Cun ini mengenai suasana pada pagi raya. Semua orang teruja dan suasana pun sangat meriah. Pendek kata, semua orang bergembira meraikan hari raya bersama keluarga dan orang tercinta,” katanya.

Dalam masa sama, Lizzy memuji keseluruhan pasukan yang menghasilkan lagu dan pembikinan MV Raya Cun.

“Ini pertama kali saya bekerjasama dengan pasukan produksi ini. Saya agak kagum kerana semuanya berjaya menyiapkan tugasan ini mengikut masa ditetapkan. Saya senang nak bekerja dengan mereka dan yang paling penting mereka juga terbuka untuk terima idea serta cadangan daripada saya,” katanya.

Apa yang pasti, Lizzy berharap lagu Raya Cun itu diterima baik memandangkan ia adalah lagu raya pertama dihasilkan.

Lagu ni sangat istimewa buat saya sebab sebenarnya lapan tahun lepas saya ‘tular’ selepas menyanyikan dan merakamkan semula lagu raya. Disebabkan itu, komposer dan penyanyi Faizal Tahir terus menawarkan saya untuk merakamkan lagu Knock Knock.

“Kiranya, perjalanan kerjaya nyanyian saya bermula dengan saya ‘cover’ lagu raya. Sekarang akhirnya saya  ada lagu raya sendiri. Jadi, harapan saya untuk lagu adalah semua orang akan rasa gembira apabila mendengar lagu ni. Kalau suka, jangan lupa kongsikan dengan kawan-kawan dan keluarga,” katanya.

Raya Cun sudah dilancarkan secara rasmi sejak 7 April lalu di kesemua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala video muzik sudah boleh ditonton di saluran Youtube Universal Music Malaysia.

Check Also

PERSEMBAHAN BALET SENSASI LONDON MENAMPILKAN PENARI CILIK CEMERLANG, SOPHIA ONG DARI SELANGOR, DALAM BALLET NIGHTS KUALA LUMPUR!

Debaran semakin terasa apabila Ballet Nights mengumumkan bahawa Duta Muda Malaysia mereka, Sophia Ong, 14 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *