EXTREME YANG EKSTRIM!

Mendengarkan nama mereka sahaja sudah buat adrenalin teruja tahap maksima apatah lagi saat menyaksikan mereka beraksi di hadapan mata. Gila! Ekstrim dan memukau. Impian dan cita-cita selama 25 tahun menantikan seorang Nuno Bettencourt, Gary Cherone, Pat Badger dan Kevin Figueiredo menjejakkan kaki mereka ke Kuala Lumpur akhirnya terlaksana! Tampil di pentas KL Live pada tanggal 10 Jun 2018, sebaik sahaja usai umat islam berbuka puasa tepat jam 8:45 malam, sosok 4 pemuzik hebat ini disambut penuh antusiastik. Terdahulu, Estranged yang terpilih sebagai pembuka tirai konsert tidak kurang hebatnya di beraksi pentas.

Extreme yg ditubuhkan seawal tahun 1985 ini sememangnya tak makan dek usia. Tampak begitu bertenaga sekali dengan energi yg luar biasa. Crowd mulai tak tentu arah sebaik sahaja lagu pertama di persembahkan. 3 buah lagu dari album Pornograffitti di hidangkan sebagai mukadimah, “It (‘s a Monster)”, “Lil’ Jack Horny” dan “Get The Funk Out”, yang mula memanaskan nuansa KL Live. Bahkan Nuno sendiri yang sering berkomunikasi dengan peminat secara dekat merasa kagum. “Kami fikir kami band tua, siapa yang mau menonton? Sungguh tak sangka ketika kami dipentas, ramai anak muda yang hadir. Luar biasa. Itu semangat kami,” kata Nuno. Kemistri di antara Nuno dan Gary adalah sesuatu yg tidak perlu dipertikaikan, dengan persembahan Gary yang beranimasi dan stamina tinggi, begitu juga Nuno yang kekal kental jiwa ‘rocker’ nya.

Cukup terkenal dengan riff-riff gitar rocking, ballad yang cheesy dan stail ‘flamboyant’ mereka, Extreme meneruskan set dengan seleksi lagu-lagu seperti “Rest in Peace”, “Hip Today” dan “Play with Me”. Gitar shred Nuno kedengaran sangat mantap dan rangup. Pat mengendalikan bass beliau dengan cool dan bersahaja tetapi memilih untuk tidak begitu menyerlah dengan membiarkan Gary dan Nuno mendominasi pentas. Manakala Kevin dengan aksi tersendirinya tetap padat di bahagian dram dan perkusi menambah perisa menjadikan muzik Extreme lebih lazat lagi. Set mini akustik memperdengarkan “Tragic Comic” dan “Hole Hearted” dimana Nuno memukau dengan gitar 12-string beliau. Interaksi audiens yang sing-along  menghangatkan lagi suasana malam. Nuno kemudiannya duduk seorang diri di tengah-tengah pentas, menghadiahkan lagu hipnotik drop D-shred nya “Midnight Express” sebagai bonus ketika Nuno berjenaka mengatakan mereka dibayar untuk datang beraksi di Kuala Lumpur sekiranya beraksi berdasarkan setiap note yang dimainkan.

Nuno menyelinap seketika untuk menukar penampilan nya. Kali ini siap bertopi penuh karisma, segak berjaket, kembali menggempurkan audiens dengan lagu “Cupid’s Dead”, “Am I Ever Gonna Change” dan “Take Us Alive” Tak terasa sudah 11 lagu, belum cukup puas selagi lagu yang ditunggu-tunggu belum berkumandang. Seperti yang dijangka, “More Than Words” menjadi sebuah lagu favourite yang menenggelamkan vokal harmoni antara Gary dan  Nuno, kerana keseluruhan audiens akan turut sama mendendangkan lagu mega-hit itu. Pertama kali melihat Extreme membawakan lagu ballad tersebut secara live dihadapan mata, bagaikan tak percaya, begitu menggamit memori setelah sekian lama hanya melihat mereka di dalam muzik video original dan video-video yang dimuat naik di channel youtube. Meremang bulu roma!

Kembali mengganas dengan riffing energetik, lagu “Flight of the Wounded Bumbleebee”, “He-Man Woman Hater” dan “Decadence Dance” menguasai gegendang telinga setiap seorang peminat fanatik Extreme malam itu. Crowd terus tidak berganjak dan mengharapkan lebih dari mereka. Lampu dimalapkan, Extreme menghilang ke belakang pentas. Tidak puas. Belum lagi. Jangan habis dulu. Ruang legar KL Live riuh dengan laungan “We want more” berulangkali. Malam masih muda. Tak sampai 10 minit, Extreme muncul kembali dalam jerit-pekik yang mahukan lebih banyak dari mereka. Menunggu 25 tahun, pastinya tak cukup hanya 15 lagu. Bagaimanapun lagu terakhir “We Are The Champions” menutup tirai malam yang penuh nostalgia bagi peminat setia muzik Rock. Tiada siapa dapat menidakkan kehebatan Extreme. Semua puas hati. Malam yang hebat!

Terima kasih Extreme! Untuk sebuah persembahan mantap yang buat kami semua terpegun dan terkesan sehingga ke lubuk hati. Kami mahu lihat Extreme lagi. Singgahlah ke Malaysia jika ada kelapangan. Teruskan menghasilkan muzik yang indah.

Review: Zizie Hashim

Kredit Photo : IMC Live Group Malaysia

Check Also

The Rock Emperor Penang Chapter Sukses Hiburkan 8,000 Penonton, Wings Bakal Bawa Konsert Ke Pantai Timur

Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang menjadi saksi 8,000 peminat rock pulang dengan senyuman selepas …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *