Sudah setahun Ceria Pagi bersama Halim Othman dan Adibah Noor keudara di Sabah, kini atas permintaan ramai, program Ceria Pagi di Suria FM Sabah akan kembali keudara. Program ini akan bermula pada 3 Mac 2014 dari jam 6 pagi hingga 10 pagi, Isnin hingga Jumaat. Program pagi di Suria FM Sabah dahulunya dikenali dengan nama Ceria Pagi Kinabalu kini bertukar nama baharu iaitu Ceria Pagi Sabah bersama Farish Aziz dan Reynaldo Pagi atau lebih dikenali sebagai Rey.
Pada satu sidang media yang telah berlangsung di Kota Kinabalu semalam, Program ini menjanjikan sesuatu yang lebih baru, menarik dan segar. Program yang disajikan bersesuaian dengan para pendengar di Sabah yang inginkan satu kelainan yang lebih unik, hiburan berterusan serta bercitarasa tempatan. Diantara sajian Ceria Pagi Sabah yang menarik ialah ‘Adui Punya Terkejut’ yang sama seperti ‘Terkejut Tak’ Ceria Pagi di Suria FM, ‘Cuba Ingat Balik’ berkisahkan jejak kasih, ‘Dibawa Bayu’ temubual bersama orang Sabah yang berjaya dan ‘Ole Ole’, khas mengenai sukan. Ceria Pagi Sabah juga akan menyiarkan pilihan lagu-lagu tempatan Sabah dan akan diselitkan juga lagu-lagu terbaru dan 90-an oleh penyanyi-penyanyi popular tanahair.
Bercakap di sidang media untuk mengumumkan kewujudan semula program ini, Ivy Stanislaus, Pengurus Operasi Suria FM Sabah berkata “Ceria Pagi Sabah telah diberikan nafas baru dengan segmen lebih menarik serta terkini dan diwujudkan semula setelah maklumbalas memberangsangkan dari pendengar Suria FM Sabah”. Turut bersama dengan Suria FM Sabah adalah Lotter@dudu menerusi segmen Sampaikan Sabah dan Obie menerusi segmen Kupi Obie. Untuk maklumat lanjut, layari www.suriafm.com.my dan klik pada Suria Sabah.