FEMFORWARD 2025 ANJUR PROGRAM BERPRESTIJ KEMBANGKAN POTENSI WANITA

BANDAR UTAMA, 7 MEI 2025 – Program berprestij Femforward 2025 telah berlangsung dengan jayanya di M World Hotel, Bandar Utama bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia dan Hari Ibu. Dengan tema “Accelerate Action in Women Community”, acara ini menganjak peranan wanita ke tahap lebih tinggi melalui pengiktirafan, dialog profesional dan jaringan strategik.

Program ini dianjurkan oleh Women in Logistics and Transport (WiLAT) dan The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) Malaysia, dengan kerjasama HAWA Malaysia, Balai Ikhtisas Malaysia (BIM), serta diuruskan oleh Synergy Connect Holdings Sdn Bhd selaku pengurusan utama Femforward.

Majlis diserikan dengan kehadiran YBhg. Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Pengerusi HAWA Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perundingan WITI (MITI). Dalam ucapan beliau, Tan Sri menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan luar biasa kaum wanita:

“Dedikasi dan semangat wanita memungkinkan kita berhimpun pada hari ini untuk mengiktiraf sumbangan wanita yang tidak ternilai dalam pelbagai aspek kehidupan. Hari ini, kita tidak hanya meraikan wanita yang cemerlang dalam bidang masing-masing, tetapi juga menzahirkan penghargaan kepada kaum wanita.”

Salah satu pengisian utama ialah forum khas bertajuk Driving ESG Excellence yang menghimpunkan tokoh industri, pemimpin korporat dan pakar ESG untuk membincangkan bagaimana wanita boleh menjadi agen perubahan dalam memperkukuh amalan lestari berdasarkan prinsip Environmental, Social, and Governance (ESG).

Dalam sesi forum tersebut, Presiden CILT Malaysia, Prof. Ts. Muhammad Zaly Shah turut mengumumkan bahawa Saito University College akan menawarkan biasiswa khas kepada wanita dalam bidang logistik yang juga ahli WiLAT Malaysia — satu langkah penting dalam memupuk bakat dan kepimpinan wanita dalam industri yang semakin berkembang itu.

Kemuncak acara menyaksikan penyampaian Anugerah Khas Kecemerlangan Sepanjang Hayat kepada Tan Sri Dato’ Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad atas sumbangan beliau yang luar biasa dalam bidang kepimpinan dan pembangunan wanita di Malaysia.

Femforward 2025 bukan sekadar program anugerah, tetapi sebuah platform inklusif yang menghimpunkan pemimpin wanita, usahawan, profesional dan aktivis masyarakat bagi memperkukuh jaringan kerjasama, memacu tindakan kolektif dan memperjuangkan aspirasi wanita ke arah masa depan yang lebih progresif dan saksama. Acara ini juga dijangka dijadikan program tahunan bagi memperkukuh lagi peranan wanita dalam pembangunan negara.

Check Also

PERIKATAN STRATEGIK ANTARA MALAYSIA DAN JEPUN MEMPERKASA INDUSTRI KREATIF SERANTAU

Tokyo, 22 April 2025 – Satu detik bersejarah telah tercipta apabila Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) …

KERJASAMA MDEC–UNIVERSITI ZHEJIANG PERKUKUH HUBUNGAN DIGITAL MALAYSIA DENGAN CHINA

KUALA LUMPUR, 22 April 2025 – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Universiti Zhejiang baru-baru …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *