Fenomena MIA AHMAD Dan SYARUL RIDZWAN Dalam “Hati Perempuan”

Hati Perempuan, drama yang menjadi bualan hangat para peminat drama melayu yang bersiaran di slot Akasia bakal berakhir pada 14 Mei ini. Drama yang mendapat jumlah tontonan lebih 2 juta setiap hari ini menggandingkan dua pelakon baru yang semakin meningkat naik iaitu Syarul Ridzwan dan Mia Ahmad. Mia Ahmad yang pertama kali memegang watak utama sebagai heroin diterima baik oleh para penonton walaupun pada awalnya dikatakan kaku membawakan watak Yuhanis. Penerimaan baik oleh para peminat apabila Mia Ahmad menjadi fenomena apabila penggayaan tudungnya turut diikuti para peminat. Tudung bawal satin yang menjadi “trademark” Mia di dalam drama itu turut diberi penjenamaan sempena wataknya di dalam drama Hati Perempuan ini iaitu Tudung Yuhanis mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

HP 15

Fenomena gandingan serasi dua pelakon baru ini juga terbukti apabila siri jelajah bas #dramasangat yang berlangsung pada 18 dan 19 April lalu dipenuhi oleh puluhan ribu peminat yang setia menunggu kehadiran dan sanggup bersesak-sesak di kesemua lokasi jelajah semata-mata untuk menemui si pembawa watak Yuhanis dan Tengku Zaril ini. Keserasian mereka turut menjadi bualan apabila ada yang mengandaikan dua pasangan muda ini sedang hangat bercinta.

HP 20

“Hati Perempuan” menemui para peminat drama Melayu bermula 30 Mac lalu ini merupakan karya yang diadaptasi daripada novelis Nur Ain Al-Abas. Hati Perempuan berkisarkan mengenai Yuhanis (Mia Ahmad), seorang gadis bekerjaya namun tegas dan berdikari yang berkahwin dengan peneraju Paradigma Holding, Tengku Zaril yang menjadi kegilaan gadis-gadis kerana ketampanan dan kekayaannya. Perkahwinan yang terbina bukan atas dasar cinta ini diuji apabila Yuhanis sering meragui kesetiaan kasih sayang Tengku Zaril lebih-lebih lagi apabila bekas kekasihnya, Tengku Amalin pulang ke Malaysia. Tengku Amalin sangat obses terhadap Tengku Zaril dan dia akan melakukan apa sahaja demi memiliki Tengku Zaril. Puas Tengku Zaril menyatakan keikhlasannya mencintai Yuhanis namun sering sahaja hati perempuannya itu ragu dengan kesungguhan suaminya itu. Konflik ditambah lagi dengan kehadiran bekas kekasih Yuhanis, Danial Idrus yang cuba memenangi kembali hati Yuhanis. Drama terbitan Creative Skill Solution dan diarahkan oleh Kas Roshan ini turut membariskan bintang baru yang mula mencipta nama seperti Hafreez Adam, Aidil Aziz, Bella Nazari, Hafeez Mikail dan Nazmi Adhwa.

HP 25

Ikuti penamat kisah cinta penuh berliku di antara Yuhanis dan Tengku Zaril pada 14 Mei ini, jam 6.55 petang hanya di TV3. Satu sesi viewing party akan turut diadakan oleh kelab peminat Hati Perempuan pada hari yang sama bertempat di Finas untuk sama-sama menyaksikan episod akhir bersama para pelakon utamanya bermula dari jam 4 petang hingga 9 malam. Untuk maklumat lanjut sila layari www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram TV3 di @TV3Malaysia untuk informasi terkini mengenai Hati Perempuan.

Check Also

The Rock Emperor Penang Chapter Sukses Hiburkan 8,000 Penonton, Wings Bakal Bawa Konsert Ke Pantai Timur

Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang menjadi saksi 8,000 peminat rock pulang dengan senyuman selepas …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *