Jatuh cinta pada hari Jumaat… Putus cinta pada hari Khamis… Kembali jatuh cinta pada hari Jumaat, dan sekali lagi cinta berakhir pada hari Khamis.Inilah intipati dan konsep kreatif drama bersiri terbaru, Friday I’m In Love yang akan mula bersiaran pada 19 April ini, setiap Khamis, 8.30 malam melalui slot Aurora di stesen televisyen nombor dua negara, TV9 (Saluran 119).
Drama ini diterbitkan oleh Primeworks Sdn Bhd dan diterajui oleh Jalena Rejab sebagai penerbit dan Faizul Abdul Rashid selaku pengarah.
Drama bersiri 13 episod yang diterajui oleh Qushairi Razali (Qi) sebagai Awang turut memberi peluang kepada pelakon-pelakon muda dan nama-nama baru untuk mengekspresikan bakat mereka. Mereka adalah Nellydia Senrose, Ryzal Jaafar, Aiman Mentor, Zoey Rahman, Bella Dally yang melakonkan watak sahabat-sahabat Awang. Penampilan istimewa pelakon-pelakon wanita popular Malaysia seperti Fouziah Gous, Puteri Sarah Liyana, Izara Aishah, Nabila Huda, Ayang Hussein sebagai kekasih hati Awang pastinya akan lebih menghangatkan lagi drama ini.
Sinopsis
Friday I’m In Love mengisahkan tentang Awang (Qi Razali), seorang remaja yang juga merupakan seorang pembantu kepada sebuah kedai buku dan bersahabat baik dengan Ana (Bella Dally), Nisha (Nellydia Senrose), Pitt (Zoey Rahman), Jo (Aiman Mentor) dan Hansem (Ryzal Jaafar). Awang menyambut hari jadinya yang ke-21 bersama mereka pada hari Jumaat di kedai kopitiam milik bapa Nisha. Sedang mereka sibuk berbual, Awang terlihat seorang gadis cantik iaitu Amy dan secara tiba-tiba juga Awang cuba sedaya-upaya untuk berkenalan dengan dia. Tanpa disedari, mereka menjadi serasi dan Awang telah jatuh cinta kepada Amy dan kisah cinta mereka berterusan pada hari Sabtu, Ahad, Isnin, Selasa, Rabu… tetapi pada hari Khamis, Amy menamatkan percintaan mereka dengan mengakui bahawa dia telah pun berkahwin. Awang berasa sangat kecewa, namun pada hari seterusnya, dia bangun dengan ingatan kabur tentang Amy dan bertemu pula dengan Bella, dan jatuh cinta sekali lagi.