Cadangan Hukuman Rotan Anak Akan Diperhalusi

RK8SHAH ALAM, 26 Januari: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bakal meneruskan cadangan hukuman merotan anak dalam penggubalan Rang Undang-undang Kanak-kanak pada Julai ini.

Menerusi sebuah kenyataan Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini, pihak kementerian berkata, ia selaras dengan amalan konsultasi dan hubungan berterusan dengan pihak berkepentingan dalam penggubalan rang undang-undang terbabit.

Bagaimanapun, cadangan tersebut akan diperhalusi dengan lebih mendalam, di samping mempertimbang peruntukan baharu iaitu hukuman alternatif khidmat masyarakat atau kaunseling atau kursus ke ibubapaan.

“Pihak kementerian sedang meneliti dan memperhalusi cadangan untuk memasukkan peruntukan undang-undang yang lebih terperinci supaya apa-apa perbuatan kepada kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi kepada kanak-kanak merupakan suatu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara atau denda yang lebih tinggi.

“Pada masa ini, peruntukan yang dicadangkan dalam Rang Undang-undang Kanak-Kanak baharu bukanlah bermaksud supaya setiap perbuatan merotan menjadi kesalahan jenayah.Perlakuan merotan, sekiranya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau mental boleh terjumlah kepada melakukan kesalahan jenayah,” katanya seperti yang dipetik menerusi sebuah kenyataan hari ini.

Menurut pihak kementerian lagi, ibu bapa masih boleh dikenakan hukuman di bawah peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya didapati memukul anak sehingga mendatangkan kecederaan fizikal.

“Perbuatan memukul sehingga mencederakan itu telah dijadikan suatu kesalahan di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau denda tidak melebihi dua puluh ribu atau kedua-duanya,” katanya lagi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim baru-baru ini mengumumkan cadangan merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah bagi ibu bapa di negara ini.

Menurut Rohani cadangan tersebut akan dilaksanakan jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan, diluluskan.

Jelas Rohani dalam satu majlis semalam, penggubalan akta baharu itu kini dalam peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara dan ia perlu dilaksanakan kerana negara telah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC)

Check Also

selebritionline portal hiburan – peserta Junior Celebrity World 2025 di Pavilion Damansara Heights

JUNIOR CELEBRITY WORLD 2025 TAMPILKAN BINTANG CILIK GLOBAL DI KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR, 23 JUN 2025 — Junior Celebrity World 2025 – 1st Edition mencetus sensasi …

selebritionline portal hiburan Lapisan Pâtissierie Johor Bahru

LAPISAN PÂTISSERIE JOHOR BAHRU DIBUKA – DESTINASI DESSERT TERKINI DI MID VALLEY SOUTHKEY

JOHOR BAHRU, 25 JUN 2025 — Lapisan Pâtisserie terus mengembangkan legasi pastri berlapis 12 laminasinya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *