KLANG, 13 JULAI 2025 – Ikon seni negara, Dato’ Khadijah Ibrahim, atau lebih dikenali sebagai Ibu, mengorak langkah baharu dalam memperkasakan dunia seni apabila beliau melancarkan produk terbaharu, Sos Cili Pedas Ibu, buat julung kalinya di pasar raya ST Rosyam Mart, Jalan Kebun hari ini.

Pelancaran ini merupakan sebahagian daripada inisiatif usaha kendiri beliau untuk membantu anak seni yang memerlukan sokongan, bukan sekadar menerusi suara dan karya, tetapi juga melalui platform keusahawanan yang mampan. Menariknya, Sos Cili Pedas Ibu kini boleh didapati secara eksklusif di ST Rosyam Mart, serta di platform dalam talian seperti Shopee dan TikTok Shop.

Menerusi hasil jualan produk ini, Dato’ Khadijah Ibrahim menyalurkan bantuan kepada insan seni yang menghadapi cabaran hidup, termasuk wartawan dan artis veteran yang terkesan selepas pandemik. Produk ini disasarkan mencapai jualan sehingga 3,000–4,000 botol sebulan, selain memperkenalkan variasi baharu seperti sos tiram dan sos cili khas untuk nasi ayam menjelang akhir tahun ini.

Beliau turut menjalin kerjasama dengan agensi seperti FAMA, DMDI dan MATRADE bagi menembusi pasaran eksport ke Singapura dan Brunei. Peluang ini bukan hanya membuka ruang perniagaan, malah menjadi sumber dana kendiri bagi membantu rakan-rakan seni melalui program khas yang bakal diumumkan.

Dalam dunia persembahan, Dato’ Khadijah menerajui projek Konsert Telan Kaset — satu usaha menghimpunkan lagu-lagu nostalgia era 80-an dan 90-an. “Kalau penyanyi asal sudah tiada, kita tetap teruskan dengan artis yang mampu menyampaikan lagu dengan semangat dan jiwa yang sama,” ujar beliau. Konsert ini dijangka memberi ruang kepada artis lama dan baharu untuk kembali berkarya dan menjana pendapatan.

Selain itu, beliau akan menganjurkan dinner show eksklusif pada September 2025, yang menampilkan Dayang Nurfaizah, Dato’ Hattan dan Mimi Fly, khusus untuk pasaran korporat. Beliau juga sedang membangunkan pusat seni dan restoran di atas tanah seluas 14 ekar di Batang Kali, Hulu Yam, sebagai hab seni dan kebudayaan.

Dalam dunia rakaman, beliau kini dalam persiapan merakam lagu baharu berjudul “Hati Ini”, ciptaan Rendra Zawawi, anak kepada Allahyarham Dr. Wan Zawawi Ibrahim, sebagai penghormatan kepada legasi seni keluarganya.
Dengan pengalaman lebih 40 tahun, Dato’ Khadijah Ibrahim menyeru semua warga seni agar bersatu dan terus menyumbang secara jujur dan ikhlas. “Peminat setia tidak boleh dibeli dengan wang. Jagalah maruah seni, dan jangan sesekali tinggalkan perjuangan,” tegas beliau.