SHAH ALAM, 19 September 2025 – Rezeki menyebelahi penyanyi dan komposer muda Najmi Niery apabila lagu ciptaan dan nyanyiannya bertajuk Asing terpilih menjadi OST drama Hospital Loveline yang kini bersiaran di Slot Akasia TV3.

Najmi mengakui, berita itu menjadi antara detik paling bermakna dalam kerjaya seninya yang masih baharu. “Saya sangat gembira dan teruja. Ini pengalaman pertama saya terlibat dalam projek OST drama. Saya anggap peluang ini sebagai satu penghormatan besar,” katanya penuh syukur.
PENGALAMAN PERTAMA CIPTA OST TV3
Menurut Najmi, lagu Asing sebenarnya sudah lama dicipta namun hanya bahagian korus siap sejak dua tahun lalu. “Saya pernah rancang nak beri lagu ini kepada artis lain, termasuk dari Indonesia. Tapi tak sangka pihak TV3 berminat hanya selepas dengar bahagian korusnya,” jelasnya.

Tanpa berlengah, Najmi segera menyiapkan lagu itu bersama dua rakan pemuziknya. Menurutnya lagi, versi asal Asing lebih rancak, namun diubah menjadi lebih santai dan relaks agar sesuai dengan jalan cerita drama Hospital Loveline.
MAKNA DI SEBALIK LAGU ASING
Lagu Asing mengisahkan seseorang yang kehilangan insan tersayang dan berdepan kekosongan hidup. Segalanya terasa janggal — meja makan kini kosong, gelak tawa berubah menjadi sunyi.

“Tema kehilangan ini dekat dengan ramai orang. Saya nak sampaikan mesej bahawa rasa janggal dan ‘asing’ selepas kehilangan itu adalah sesuatu yang normal,” ujar Najmi.
SENTUHAN BAHARU DAN MUZIK AKUSTIK TENANG
Asing menampilkan gaya berbeza berbanding karya Najmi sebelum ini. Jika sebelum ini dia dikenali dengan lagu-lagu perlahan dan galau, kali ini dia tampil dengan rentak ‘easy listening’ berunsur akustik.
“Ia bukan lagu berat, tapi ada jiwa. Saya mahu pendengar rasa tenang, bukan sedih semata-mata,” katanya.
Lagu ini diterbitkan oleh Alternate Records Sdn. Bhd., Naj&CO, dan Malika Entertainment, manakala edaran rasmi oleh Universal Music Malaysia.