FATTAH AMIN KEMBALI DENGAN SINGLE TERBARU “LELAKI TERAKHIR”

Pelakon dan penyanyi terkenal, Fattah Amin, kembali menghangatkan industri muzik dengan single terbarunya yang berjudul “Lelaki Terakhir”.

Single ini merupakan sebuah balada romantik yang mengisahkan tentang cinta sejati, kesetiaan, dan perjuangan dalam sebuah hubungan. Dengan lirik yang puitis serta melodi yang menyentuh jiwa, “Lelaki Terakhir” menampilkan sisi emosional Fattah sebagai seorang lelaki yang berjanji untuk sentiasa menjaga dan melindungi cinta sejatinya.

Lebih istimewa, lirik video “Lelaki Terakhir” yang dilancarkan di platform YouTube rasmi @FattahAminYT pada 21 Februari lalu kini menduduki carta trending bagi kategori muzik.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu dengan sambutan luar biasa daripada peminat terhadap lagu ini. Saya tidak menyangka lagu ini akan diterima dengan begitu baik dan trending di YouTube dalam masa yang singkat.

“Ini adalah satu pencapaian yang sangat bermakna bagi saya, dan saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menyokong lagu ini.

“Sejujurnya, perjalanan menghasilkan lagu ini bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi dengan sokongan pasukan yang hebat serta peminat yang sentiasa memberikan dorongan, saya berasa lebih bersemangat untuk terus berkarya. Saya berharap lagu ini dapat memberi inspirasi dan menyentuh hati pendengar,” katanya.

Lagu ini dicipta oleh komposer dan produser muzik terkenal, Mel Ramlan, yang sebelum ini pernah mencipta lagu hits “Wanita Terakhir”. Lebih menarik, “Lelaki Terakhir” turut mendapat sentuhan lirik daripada Fattah sendiri.

“Lagu ini sangat bermakna bagi saya kerana ia menggambarkan perjalanan cinta yang penuh cabaran, tetapi jika disertai dengan kesetiaan dan doa, cinta itu akan terus kekal hingga ke akhir hayat.

“Saya harap lagu ini dapat memberikan inspirasi kepada semua pendengar. “Lelaki Terakhir” menampilkan gabungan muzik moden dengan sentuhan balada klasik, menjadikannya sesuai untuk dinikmati oleh semua peringkat usia.

“Selain itu, lagu ini turut dijadikan runut bunyi untuk drama bersiri terbaru lakonan saya, “Keluarga Itu”, di mana saya memegang watak sebagai Ansara. Drama arahan Nur Ain Sharif dan tulisan Eirma Fatima ini bakal ditayangkan pada 28 Februari ini di slot eksklusif TV3, terbitan Rumah Karya Citra Sdn. Bhd.,” tambahnya.

“Lelaki Terakhir” menonjolkan vokal Fattah yang semakin matang dalam menyampaikan emosi dan makna di sebalik setiap bait lirik. Single ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, dan lain-lain.

Video muzik rasmi “Lelaki Terakhir” juga bakal dilancarkan dalam masa terdekat di saluran YouTube rasmi Fattah Amin.

Check Also

Poster rasmi Demon Slayer In Concert 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur.

DEMON SLAYER IN CONCERT GEGAR MEGA STAR ARENA KUALA LUMPUR

Peminat anime popular Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba bakal disajikan dengan pengalaman luar biasa apabila …

Poster rasmi konsert Arasy 7 Sumpahan 7 Benua 7 Lautan di BEKL

FARASU GEGAR BEKL DENGAN SIRI JELAJAH 7 SUMPAHAN 7 BENUA 7 LAUTAN

Kumpulan Farasu, antara nama besar dalam dunia muzik metal tempatan, bakal menutup tahun 2025 dengan …

Leave a Reply