KUALA LUMPUR, 18 JULAI 2025 – Buat julung kalinya, kumpulan muzik popular dari Jepun, SEKAI NO OWARI, akan mengadakan konsert sulung mereka di Malaysia menerusi SEKAI NO OWARI ASIA TOUR 2025「Phoenix」in KUALA LUMPUR yang dijadual berlangsung pada 8 Oktober 2025, jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert ini dibawakan khas oleh iMe Malaysia, menjanjikan pengalaman audio visual yang luar biasa kepada para peminat tempatan yang telah lama menantikan kehadiran kumpulan unik ini.

Sejak kemunculan sulung mereka pada tahun 2010, SEKAI NO OWARI yang terdiri daripada Fukase (vokalis), Nakajin (gitaris & komposer), Saori (pianis), dan DJ LOVE (DJ), telah menawan hati pendengar dengan gaya muzik mereka yang puitis dan penuh imaginasi. Persembahan mereka sering dihiasi dengan visual pentas imersif serta lirik yang menyentuh perasaan, menjadikan setiap persembahan seperti dunia fantasi yang hidup.
Antara lagu hits mereka termasuklah ‘RPG’, ‘Starlight Parade’, ‘Habit’ dan ‘Dragon Night’ yang bukan sahaja meletup di carta muzik Jepun, malah mendapat pengiktirafan antarabangsa. Kumpulan ini turut pernah berkolaborasi dengan artis antarabangsa seperti Clean Bandit dan Owl City, sekaligus mengukuhkan reputasi mereka di pentas global.
Konsert ini merupakan penampilan pertama SEKAI NO OWARI di Malaysia, dan pasti menjadi detik bersejarah buat peminat mereka di sini. Jangan lepaskan peluang eksklusif ini untuk merasai sendiri magis muzik mereka secara langsung!

Harga tiket konsert SEKAI NO OWARI ASIA TOUR 2025「Phoenix」in KUALA LUMPUR adalah seperti berikut:
- VIP BOX (untuk 8 orang) – RM4,624
- PS1 (Berdiri) – RM658
- PS2 (Duduk) – RM458
- PS3 (Duduk) – RM358
Semua harga belum termasuk caj pemprosesan RM4 dan SST 8%.
Tiket akan mula dijual pada Rabu, 23 Julai 2025 jam 12.00 tengah hari melalui platform rasmi:
Peminat dinasihatkan untuk membeli tiket hanya melalui saluran rasmi bagi mengelakkan penipuan.
Maklumat lanjut dan pengumuman terkini boleh diikuti melalui saluran rasmi iMe Malaysia di Facebook, Instagram, TikTok, X, YouTube dan XiaoHongShu.