FILEM BALAS BALIK BAWA PENONTON MENYELAMI DUNIA PENYIASATAN DAN DENDAM YANG MEMBARA

KUALA LUMPUR, 29 MEI 2025 – Sebuah kematian yang pada mulanya disangka biasa, rupanya menyimpan seribu rahsia dan dendam. Itulah premis utama filem penyiasatan jenayah terbaru bertajuk BALAS BALIK, arahan Feroz Kader dan terbitan Shaibha Vision Entertainment Sdn. Bhd., yang mula menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 29 Mei 2025.

Diterajui oleh pelakon versatil Shukri Yahaya sebagai Detektif Zul, Balas Balik mengisahkan penyiasatan terhadap kematian mengejut seorang CEO syarikat telekomunikasi ternama, Datuk Roslan (Tony Eusoff), yang pada awalnya dikatakan akibat serangan jantung. Namun, kepekaan Detektif Zul terhadap beberapa elemen mencurigakan membawanya kepada penemuan mengejutkan yang menyelak sisi gelap si mati, termasuk penyalahgunaan kuasa dan sejarah hitam yang membabitkan pekerja-pekerja serta ahli keluarga mangsa.

poster filem balas balik

“Cerita ini cuba menekankan bahawa tidak semua kematian adalah penamat. Ada kalanya ia adalah permulaan kepada satu kebenaran yang selama ini dipendam. Kami pilih genre penyiasatan kerana ia membuka ruang untuk emosi, teka-teki dan ketegangan yang lebih berlapis,” kata Feroz Kader, yang turut menjelaskan bahawa skrip filem ini mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan demi memastikan naratifnya benar-benar kukuh.

Filem ini juga mengambil inspirasi daripada isu sosial semasa, terutama polemik buli di tempat kerja dan kesannya terhadap mangsa dari segi psikologi dan emosi. Menurut penerbit Datin Sri Shaila V., filem ini diangkat untuk mencetuskan empati dan kesedaran bahawa trauma yang tidak dirawat boleh menjadi benih kepada tindakan luar jangka.

“Buli bukan perkara remeh. Ia boleh merosakkan manusia perlahan-lahan hingga sanggup melakukan perkara yang tidak diduga. Inilah yang ingin kami sampaikan melalui Balas Balik,” ujarnya.

Shukri Yahaya yang sering dikaitkan dengan watak romantis, antagonis dan aksi, tampil dengan sisi baharu sebagai penyiasat yang bergelut dengan dilema dan tekanan mental dalam membongkar kes ini. “Kalau sebelum ni orang tengok saya ‘redflag’ atau kaki belasah, kali ini saya kena nampak bijak dan buat orang percaya saya benar-benar Detektif Zul,” katanya berseloroh.

shukri yahaya sebagai detektif zul
Shukri Yahaya sebagai detektif zul

Antara pelakon lain yang menjayakan filem ini termasuk Marissa Yasmin (Angel), Adam Lee (Adam), Isyariana (Nadia), Zarul Umbrella (Tuan Kamal), Meor Mohd (Inspektor Jauhari), Razman Mahayuddin (Ikhwan), Josiah Lim (Danial) dan Maisara Sufia (Mimi). Setiap watak mempunyai latar belakang tersendiri, menjadikan siasatan Zul seperti menyusun puzzle yang kompleks dan penuh kejutan.

Menyempurnakan pengalaman sinematik adalah lagu tema bertajuk “Balas”, nyanyian Hariz Fayahet dan ciptaan Nurzaidi Abd Rahman, yang mengiringi filem ini dengan nada misteri dan emosi yang mendalam.

Check Also

KAMAL HAASAN KEMBALI DENGAN NAFAS BAHARU DALAM FILEM EPIK “THUG LIFE” MULAI 5 JUN 2025

KUALA LUMPUR, 1 JUN 2025 — Sebuah naskhah sinematik berskala besar bakal menemui peminat filem …

KONSERT BARBARIK: PENTAS PELURU COKELAT BAKAL GEGAR ZEPP KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR, 29 MEI 2025 – Kumpulan rock BARBARIK bakal menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *