HONG KONG TINGKATKAN PENGALAMAN PELANCONGAN MESRA MUSLIM

Pelancong Muslim kini boleh menikmati pengalaman percutian yang lebih baik di Hong Kong dengan pertambahan hotel mesra Muslim dan restoran bersijil Halal, menjadikan lawatan mereka lebih autentik dan tidak terlupakan.

Hong Kong terus komited menjadi destinasi pilihan utama pelancong Muslim menerusi peningkatan perkhidmatan dan fasiliti mesra Muslim. Inisiatif penting oleh Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) ini menyaksikan lebih banyak hotel menyertai program akreditasi Crescent Rating, iaitu sistem penarafan hotel berdasarkan kemesraan terhadap keperluan pelancong Muslim yang dibangunkan oleh Crescent Rating, sebuah syarikat pemasaran pelancongan Muslim yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Setakat Februari 2025, sebanyak 52 hotel di Hong Kong telah berjaya mendapat penarafan daripada Crescent Rating berdasarkan kemudahan mesra Muslim yang ditawarkan. Selain itu, Hong Kong turut memperluaskan pilihan restoran Halal dan mesra Muslim yang menerima akreditasi daripada Incorporated Trustees of the Islamic Community Fund of Hong Kong (Board of Trustees). Kini, terdapat 153 restoran bersijil Halal dan dimiliki oleh Muslim di Hong Kong, meningkat daripada kira-kira 100 restoran pada pelancaran inisiatif ini oleh HKTB pada Jun 2024.

Kesan positif inisiatif ini jelas kelihatan dengan peningkatan ketibaan pelancong dari Indonesia sebanyak 43% dan Malaysia sebanyak 50% berbanding tahun sebelumnya. Ini mencerminkan minat tinggi dari pelancong Indonesia dan Malaysia ke Hong Kong, sekali gus menggalakkan lebih banyak perniagaan tempatan menyertai usaha ini untuk memenuhi keperluan pelancong Muslim.

Pengarah Serantau Asia Tenggara HKTB, Cik Liew Chian Jia, berkata, “Kami sangat gembira dengan perkembangan positif yang dicapai sepanjang tahun lalu. Hari ini, lebih banyak tarikan, restoran, dan hotel menerima akreditasi, menunjukkan komitmen tinggi Hong Kong dalam memberikan pengalaman terbaik kepada pelancong Muslim. Kami komited menjadikan Hong Kong destinasi mesra Muslim utama, khususnya bagi pelancong dari Indonesia dan Malaysia.”

5 Destinasi Makan Bersijil Halal Wajib Cuba di Hong Kong:

  1. Chinesology – Restoran fine dining Cina pertama di Hong Kong yang mesra Muslim, menawarkan hidangan Cina Halal dengan suasana elegan dan moden di IFC Mall, Central.
  2. Cuisine Cuisine – Restoran di The Mira Hong Kong yang menyajikan hidangan Kantonis autentik dan dim sum kreatif dengan pilihan halal, disenaraikan dalam Michelin Guide Hong Kong & Macau sejak 2012.
  3. Dorsett Café, Dorsett Tsuen Wan – Menyediakan menu halal lengkap serta bufet khas Ramadan, menjamin keselesaan pelancong Muslim.
  4. Café Kool, Kowloon Shangri-La – Menawarkan bufet Ramadan istimewa dengan hidangan pelbagai cita rasa, memudahkan pelancong Muslim menikmati makanan halal berkualiti tinggi.
  5. Kedai Manisan Tempatan – Termasuk Kee Wah Bakery, PIN Cookies, dan Fine Foods Shop, menawarkan pelbagai manisan tradisional bersijil Halal yang sesuai dijadikan cenderahati.

HKTB terus komited memperkaya tawaran mesra Muslim dengan kerjasama rakan industri perhotelan dan makanan & minuman (F&B), memastikan pengalaman yang inklusif untuk semua pelancong. Pelancong Muslim boleh merujuk laman sesawang rasmi HKTB untuk maklumat terkini mengenai kemudahan mesra Muslim di Hong Kong.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi pautan berikut: https://www.discoverhongkong.com/seasia/explore/muslim-travel.html

Check Also

LG Perkenalkan TV OLED 4K Transparent & Tanpa Wayar Pertama di Dunia

LG Electronics (LG) kini bersedia melancarkan LG SIGNATURE OLED T bersaiz 77 inci, TV OLED …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *