HOS ‘JEJAK TERER’ MEMPEROLEH RM52,702 BAGI RUMAH ANAK-ANAK YATIM

Misi berjaya dicapai! Hos Jejak Terer berjaya memperoleh sejumlah RM52,702 untuk lima buah rumah anak-anak yatim susulan kejayaan mereka berbasikal sejauh lebih 500 kilometer dari Kuala Lumpur sehingga ke Langkawi dalam tempoh lima hari selaku usaha mengumpul dana kebajikan disokong oleh penyedia perkhidmatan e-Kerajaan terbesar Malaysia, MY E.G Services Berhad.

Eksperimen sosial unik ini ditayangkan di program travelog waktu sebenar, Jejak Terer dan disiarkan di laman online gaya hidup dan platform strim video Malaysia, hurr.tv bermula 19 Ogos hingga 23 Ogos 2017. Dua hos, Mior Luqman Hakim atau lebih dikenali sebagai Myo Oh Chentaku dan Zahir Zainuddin mula berbasikal dari Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sehingga ke Dataran Lang, Pulau Langkawi tanpa sebarang wang dan hanya berbekalkan makanan yang terhad serta telefon bimbit. Sepanjang perjalanan, mereka hanya bergantung kepada ihsan orang ramai dan peminat yang memberikan sumbangan makanan serta tempat tinggal dan sebagai balasan mereka perlu melakukan sesuatu sebagai tanda berterima kasih.

Hari pertama menyaksikan Myo dan Zahir mula melakukan kayuhan tepat jam 7 pagi dari Dataran Merdeka. Perjalanan diteruskan sehingga ke Sungai Buloh sebelum mereka berhenti di Kuala Selangor dan membantu peniaga berhampiran berniaga untuk mendapatkan minuman penghilang dahaga. 100 kilometer pertama berjaya dicapai di Sekinchan. Ihsan Mak Edah, mereka berdua mendapat tempat berehat dan menamatkan perjalanan bagi hari pertama.

Perjalanan hari kedua menyaksikan Myo dan Zahir menuju ke Sungai Besar di mana mereka bertemu dengan Pak Jamal yang menyediakan makanan tengahari kepada mereka setelah membantu menyiram tumbuhan di sekitar rumahnya. Kayuhan diteruskan sehingga ke Teluk Intan. Melepaskan lelah di Menara Condong Teluk Intan, mereka dihampiri peminat yang mengikuti siaran langsung perkembangan mereka dari semasa ke semasa dengan bekalan makanan dan minuman. Terus bernasib baik, mereka dapat bermalam di rumah individu bernama Dhia. Sebagai balasan atas budi baik Dhia dan keluarga, Myo dan Zahir membantu membasuh pinggan dan memotong buah.

Pada hari ketiga, duo berkenaan berjaya mencapai jarak 200 kilometer di Kampung Gajah dari Teluk Intan. Perjalanan mereka kemudiannya menemui masalah apabila Zahir kehilangan jejak Myo. Meneruskan kayuhan selepas bertemu semula, mereka berdua terlibat dalam kemalangan menyebabkan Myo mengalami kecederaan di bahagian bahunya dan terpaksa dikejarkan ke hospital. Misi perlu diteruskan. Zahir menggalas tanggungjawab dengan berkayuh secara solo sehingga ke Trong dan berjaya mencapai jarak 300 kilometer. Mereka bermalam di Taiping di rumah peminat bernama Hanif. Sebagai balasan atas ihsan Hanif, mereka melakukan kerja-kerja rumah antaranya membasuh pinggan dan pakaian.

Perjalanan hari keempat bermula dari Taiping dan setibanya di Simpang Ampat, Pulau Pinang mereka berjaya merekodkan jarak sejauh 400 kilometer. Berehat seketika di Permatang Pauh, mereka berdua menolong peniaga jalanan yang menjual aneka kuih untuk mendapatkan minuman dan makanan. Meneruskan kayuhan sehingga ke Sungai Petani, mereka bermalam di rumah kenalan lama Myo, Haziq. Sebagai tanda berterima kasih, Myo menyanyikan lagu terbaharunya kepada Haziq dan rakan-rakan. Mereka turut menikmati makan malam barbeku yang disediakan.

Kayuhan terakhir di hari kelima! Duo berkenaan memulakan cabaran berbasikal dari Sungai Petani sehingga ke Gunung Jerai. Hanya berbaki 10 kilometer ke Kuala Kedah, namun keadaan angin yang kuat melambatkan kayuhan mereka. Setibanya di Kuala Kedah mereka berdepan cabaran untuk mendapatkan tiket feri ke Pulau Langkawi tanpa sebarang wang. Ihsan orang awam yang membelikan tiket feri, mereka akhirnya selamat tiba di Pulau Langkawi dan berjaya menamatkan misi berkenaan!

Lima hari penuh keringat yang sangat bermakna kepada Myo dan Zahir. Pengalaman mereka berjaya menemukan orang ramai dan peminat yang sentiasa menyokong dan membantu mereka sekaligus membuktikan bahawa rakyat Malaysia terdiri daripada warga prihatin dan berhati mulia.

Sebagai penaja utama program, MY E.G Services Berhad akan menyumbangkan sejumlah RM10,000 bagi setiap 100 kilometer kayuhan dicapai dan menggandakan derma yang diterima oleh orang ramai sepanjang program ini berlangsung. Hasilnya, sejumlah RM52,702 telah berjaya dikumpul dan akan diserahkan kepada lima rumah anak-anak yatim terpilih iaitu Rumah Kebajikan Anak Yatim Alkhairiyah, Rumah Amal Cahaya Kasih Bestari, Rumah Anak Yatim & Hidayah Al-Hijrah, Rumah Kasih Nurul Hasanah dan Rumah Anak-Anak Yatim At-Taqwa.

Tahniah Myo dan Zahir! Anda berpeluang menyaksikan semula program berkenaan di http://hurr.tv/jejak-terer/. Untuk maklumat lanjut, layari www.hurr.tv atau ikuti kami di:

Facebook https://www.facebook.com/hurr.tv/

Instagram https://www.instagram.com/hurr.tv/

Twitter: https://twitter.com/hurr_tv

Check Also

AirAsia rai penerbangan pertama dari Kuala Lumpur ke Kertajati

AirAsia Malaysia (AK) hari ini meraikan penerbangan pertamanya dari Kuala Lumpur ke Kertajati di Jawa …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *