Jackie Chan Terus Beraksi Di Usia 70 Tahun Dalam Filem Terbarunya “Panda Plan”

Bintang aksi terkenal Hong Kong, Jackie Chan, membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk terus beraksi dalam filem terbarunya, “Panda Plan”. Pada usia 70 tahun, Chan masih menunjukkan semangat dan dedikasi yang mengagumkan dalam melakukan aksi lagak ngeri tanpa bantuan pelakon pengganti.

Semasa penggambaran “Panda Plan”, Chan mengalami insiden di mana dia pengsan ketika melakukan aksi berbahaya. Walaupun mengejutkan kru penggambaran, Chan dengan cepat pulih dan berkeras untuk meneruskan penggambaran. “Ia bukan masalah besar,” ujar Chan, menambah bahawa dia perlu meyakinkan semua orang bahawa dia baik-baik saja untuk mengelakkan penggunaan pelakon pengganti.

Filem ini turut menyaksikan Chan melakukan pelbagai aksi mencabar lain. Dalam satu adegan, Chan menunggang motosikal besar menembusi tingkap, yang mengakibatkan beliau tercampak beberapa meter apabila motosikal hilang kawalan. Walaupun begitu, Chan tetap menenangkan krew dengan menyatakan bahawa ia hanya kecederaan kecil. Dalam adegan lain pula, Chan perlu melompat dari lantai ke atas kotak kayu besar sebelum melompat ke tingkat dua, satu aksi yang sangat mencabar untuk seseorang berusia 70 tahun. Dedikasi dan profesionalisme Chan dalam melakukan aksi-aksi ini telah mengharukan seluruh kru penggambaran.

“Panda Plan” adalah filem komedi aksi yang menampilkan Jackie Chan sebagai bintang kung fu yang diundang untuk menjaga anak panda popular bernama Hu Hu. Apabila Hu Hu menjadi sasaran organisasi jenayah antarabangsa, Chan bersama watak-watak lain harus bekerjasama dalam misi penyelamatan yang menarik. Filem ini turut menampilkan pelakon-pelakon seperti Wei Xiang, Shi Ce, dan Han Yanbo, dengan penampilan khas oleh Jia Bing.

Diarahkan oleh Zhang Luan, “Panda Plan” dijadualkan ditayangkan di pawagam-pawagam Malaysia pada 10 Oktober 2024. Dengan kombinasi aksi menarik, komedi, dan kehadiran panda yang comel, filem ini dijangka akan menjadi tontonan menarik untuk pelbagai peringkat umur, khususnya peminat tegar Jackie Chan yang ingin menyaksikan lagak ngeri beliau di usia emas.

Check Also

Boyz II Men Bakal Gegar Kuala Lumpur Mei 2025

Bagi peminat muzik R&B, bersiap sedialah untuk satu pengalaman konsert yang tak ternilai! Kumpulan legenda …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *