Sunday , May 16 2021

“KERAMAT”

 

Metrowealth (MIG) sebuah produksi filem tempatan yang berterusan aktif menerbitkan filem filem berkualiti untuk tontonan penggemar filem. Untuk pembuka tahun 2012, MIG menampilkan sebuah lagi filem iaitu KERAMAT. Filem ke-53 terbitan MIG ini menampilkan genre seram arahan Azhari Zain. Seperti yang sedia maklum, beliau merupakan salah seorang pengarah Skim 10 Pengarah Muda dan menjadi pengarah pertama yang sudah lengkap menghasilkan 10 buah filem di bawah terbitan MIG. Filem ini merupakan filem ke-6 arahan beliau yang ditayangkan dan pada tahun ini juga akan menyaksikan 4 buah lagi filem beliau di pawagam.

Filem ke-6 arahan beliau ini menjalani pengambaran di sekitar Shah Alam, Kuala Lumpur dan Ijok, Kuala Selangor. Pemilihan lokasi tersebut bersesuaian dengan kehendak skrip dalam membantu pelakon-pelakon menimbulkan mood untuk genre sebegini. Filem ini diperkuatkan lagi dengan lakonan daripada Zul Suphian, Mon Ryanti, Diana Amir, Adey Syafrien dan Alex Yanz yang merupakan artis naungan Unit Talent MIG. Selain itu, filem ini turut dibintangi pelakon-pelakon berpengalaman antaranya Rebecca Nur Islam, Putri Mardiana, Hairul Azreen dan ramai lagi.

Dalam perkembangan terkini, filem-filem terbitan MIG yang akan menemui penonton adalah filem Sumpahan Kum Kum pada 26 Januari arahan Ismail Bob Hasim, Hantu Dalam Botol Kicap pada 9 Februari arahan Azhari Zain, Adnan Sempit 2 pada 23 Februari arahan Ismail Bob Hasim, 7 Petala Cinta pada 15 Mac arahan Azhari Zain, 3 Temujanji pada 5 April arahan Hashim Rejab, Nongkrong pada 10 Mei arahan Ismail Bob Hasim dan X pada 7 Jun arahan Ollyn. Sementara itu, filem yang sedang menanti tarikh tayangan adalah Hanya Aku Cinta Kau Seorang pada 14 Jun arahan Ollyn. Dan bagi peminat filem seram tempatan, jangan lupa saksikan Keramat di pawagam pada 12 Januari ini.

SINOPSIS

Di tahun 1900, seorang lelaki bernama Habib (Zul Suphia’an) telah difitnah merosakkan kehormatan Mustika (Diana Amir). Akibat dari itu, Habib telah dikerumuni dan dipukul oleh orang kampong diketuai oleh Jabar, abang kandung Mustika. Habib yang merupakan bukan calang-calang orang terus dipukul dan kain yang selama ini menutupi wajahnya ditarik oleh orang kampong dan berlakulah satu peristiwa yang amat dasyat di mana semua penduduk kampong mati dek cahaya terang yang terpancar dari wajah Habib.

Di zaman ini, kehidupan dua beradik iaitu Nazmir dan Nasti (Hairul Azreen) mula dihantui pelbagai peristiwa pelik dan menyeramkan bermula denga kehilangan bayi yang dikandung Syazura (Rebecca Nur Al-Islam), isteri Nazmir. Sejak itu, seorang demi seorang ditimpa pelbagai peristiwa di luar fikiran termasuk Munirah (Mon Ryanti), isteri Nasti.

Keinginan Syazura untuk pulang ke kampong halaman suaminya menjadikan keadaan bertambah rumit. Satu persatu rahsia terbongkar dan mendedahkan sebuah sejarah yang mengejutkan Nazmir, Syazura, Nasti dan Munirah.

Siapa sebenarnya dalang dalam perkara ini dan apakah rahsia tersebut?

 

Check Also

Anugerah Pemaju Hartanah ASEAN 2020 Iktiraf Para Pemaju Di Rantau ASEAN

Anugerah Pemaju Hartanah Des Prix Infinitus Media ASEAN 2020 telah menganugerahkan lebih daripada 50 gelaran …

error: Content is protected !!