“Kisah Cinta Kita” terbaru dari Hafiz Suip

Walaupun drama bersiri ‘Dia Menantu Rahsia’ lakonan  Ashraf Muslim dan Raysha Rizrose yang bersiaran di slot ‘Akasia’ TV3 sudah tamat siarannya pada 7 Mac 2019 lalu, lagu tema “Kisah Cinta Kita” nyanyian penyanyi terkenal Hafiz Suip masih menjadi siulan ramai dan semakin mendapat tempat di hati pendengar.

Bagi memenuhi permintaan ramai, Nova Music (M) Sdn Bhd bakal melancarkan video muzik rasmi “Kisah Cinta Kita” arahan pengarah berbakat, Khairul Hazwan. Video muzik yang menjalani penggambaran di Pulau Redang ini menyediakan visual yang berani dan luar biasa apabila Hafiz dipaparkan bercumbu mesra dengan seorang wanita di tepian pantai. Penyanyi berstatus suami dan bapa ini dilihat tidak segan silu memberikan kucupan romantis buat wanita tersebut. Siapakah pelakon wanita itu dan mengapakah dia berani melakonkan adegan-adegan mesra tersebut? Temui jawapannya dengan menyaksikan video muzik rasmi “Kisah Cinta Kita” yang boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos bermula 19 APRIL 2019 jam 8.00 malam.

Sebagai lagu runut bunyi yang melatari drama ‘Dia Menantu Rahsia’, pastinya lagu “Kisah Cinta Kita” ini tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan penceritaan visual dalam plot drama tersebut. Sebagai pendamping visual yang melengkapi penceritaan sesebuah lagu itu, lazimnya sesebuah video muzik itu seharusnya cuba merakam setiap nuansa yang terkandung dalam setiap patah lagu itu dalam bentuk visual. Namun begitu, Hafiz dan pasukan produksi cuba mengambil pendekatan yang lebih universal dalam video muzik rasmi “Kisah Cinta Kita”.

Rata-rata peminat mempunyai terjemahan tersendiri dalam mendalami maksud sesebuah lagu itu. Apa yang kami cuba paparkan dalam video muzik rasmi ‘Kisah Cinta Kita’ adalah penceritaan sebuah kisah cinta yang relevan dengan sesiapa pun”, ulas Hafiz yang menyifatkan video muzik ini menjadi pelengkap visual yang tepat kepada single “Kisah Cinta Kita”.

Single “Kisah Cinta Kita”, taruhan terbaru Hafiz  yang berentak balada sudah pun menemui pendengar sejak 8 MAC 2019. Penyanyi bersuara lunak ini sememangnya sinonim dengan genre balada malah semua lagu hitsnya sebelum ini berpaksikan kepada genre tersebut antaranya “Awan Nano”, “Bahagiamu Deritaku”, “Ku Akui”, “Noktah Cinta”, “Matahari’ dan lagu duetnya “Ombak Rindu” bersama Adira. Kali terakhir Hafiz menerbitkan single pada tahun 2018 menerusi lagu berentak pop rancak berjudul “Hari Ini Dalam Sejarah”.

Mengulas tentang keputusan untuk kembali mendendangkan irama balada setelah terdahulunya muncul dengan lagu berentak rancak, Hafiz berkata, “Lagu-lagu yang berentak rancak itu sebenarnya eksperimentasi saya dalam meneroka genre baru. Walaupun reaksi peminat ketika itu bercampur baur, namun saya kira eksperimen saya itu berjaya apabila dapat menarik perhatian pendengar generasi baru. Apabila Nova Music menawarkan kepada saya untuk menyanyikan lagu “Kisah Cinta Kita”, saya ambil peluang ini untuk mengubati rindu peminat yang memang menantikan saya kembali menyanyikan lagu balada. Namun begitu, taruhan saya yang terkini ini bukan sebarang lagu balada. Ia tetap menawarkan kelainan daripada lagu balada saya yang sebelumnya. Kalau dulu saya mungkin sinonim dengan lagu balada yang mendayu-dayu dengan unsur kesedihan, tetapi kali ini saya membawakan lagu pop balada yang penuh dengan rasa bahagia pula.”

“Kisah Cinta Kita” merupakan hasil gubahan komposer Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali manakala lirik pula ditulis oleh Dato’ A. Aida yang juga penerbit drama ‘Dia Menantu Rahsia’. Susunan muzik yang membuai rasa dan senikata yang sarat dengan mesej romantis ini menjadikan lagu ini sangat indah untuk dinikmati. Dijiwai pula dengan nyanyian merdu Hafiz yang penuh penghayatan, pastinya “Kisah Cinta Kita” bakal diangkat antara karya romantis tempatan yang menjadi siulan pasangan yang sedang hangat dilamun cinta.

Penyanyi yang pernah tiga kali dinobatkan sebagai pemenang ‘Vokal Terbaik’ Anugerah Juara Lagu ini turut menzahirkan rasa gembiranya dengan penerimaan luar biasa peminat terhadap single terbarunya ini. Hafiz berkata, “Peminat memberikan maklumbalas yang sangat luar biasa sehinggakan ramai termasuklah rakan-rakan artis yang mahu nyanyikan lagu itu dengan versi mereka sendiri. Jumlah tontonan video lirik di YouTube sudah pun mencapai jutaan tontonan dalam tempoh lebih kurang 2 bulan. Syukur Alhamdulillah, permulaan yang cukup baik buat kerjaya saya untuk tahun 2019 ni. Saya cukup berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk membawakan lagu ini.”

“Kisah Cinta Kita” merupakan single pertama Hafiz di bawah naungan syarikat rakaman Nova Music (M) Sdn Bhd. Sejak dimuatnaik di saluran YouTube Nova Music Videos pada 18 Februari 2019 yang lalu, video lirik “Kisah Cinta Kita” sudah pun mencapai tontonan melebihi  5 juta! Single tersebut juga kini berada di dalam Top 3 carta ‘VIRAL 50 MALAYSIA’ SPOTIFY, Top 5 ‘CARTA RIM’ dan Top 10 carta ‘ERA 40’ dan ‘MALAY TOP HITS’ JOOX!

“Kisah Cinta Kita”  merupakan single terbitan dan edaran Nova Music (M) Sdn Bhd. Single ini boleh didapati di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KK Box, Deezer dan juga iTunes bermula 8 MAC 2019. Manakala video muzik rasmi “Kisah Cinta Kita”  boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos bermula 19 APRIL 2019 jam 8.00 malam.

Check Also

The Rock Emperor Penang Chapter Sukses Hiburkan 8,000 Penonton, Wings Bakal Bawa Konsert Ke Pantai Timur

Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang menjadi saksi 8,000 peminat rock pulang dengan senyuman selepas …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *